Step by Step Cara Untuk Menubuhkan Syarikat Sdn Bhd

0
1853

Sudah tentu anda biasa mendengar syarikat sendirian berhad. Lihat sahaja sekeliling anda, ramai usahawan yang berniaga dengan menggunakan jenis perniagaan ini. Secara umumnya, syarikat sendirian berhad merupakan jenis syarikat berhad yang dihadkan oleh saham dalam syarikat tersebut, maksudnya jenis perniagaan ini tidak seperti milikan tunggal di mana pemilik syarikat mesti mempunyai lebih daripada satu orang pemilik, paling kurang adalah dua orang. Selain itu, modal untuk menubuhkan syarikat sendirian berhad diperoleh daripada pemilik dengan bermatlamatkan keuntungan.

Untuk menubuhkan syarikat sendirian berhad,perkara asas anda perlu mengetahuinya agar tidak tersalah langkah dalam menubuhkan sebuah perniagaan. Berikut merupakan langkah-langkah untuk menubuhkan syarikat sendirian berhad.

1-Melantik Setiausaha Syarikat

Pelantikan setiausaha mestilah bertauliah di mana individu tersebut akan membantu menubuhkan syarikat sendirian berhad dari mula hingga akhirnya. Sekurang-kurangnya syarikat perlu melantik seorang setiausaha yang akan bertindak sebagai pegawai dan penasihat syarikat tersebut. Kelayakan bakal setiausaha syarikat mestilah mempunyai Licensed Secretary yang boleh didapati di SSM atau berasal dari Ahli Badan Profesional seperti MIA.

2-Menyediakan Maklumat Berkaitan


Maklumat yang dimaksudkan adalah seperti cadangan nama syarikat yang akan digunakan sekurang-kurangnya 3 nama syarikat dan 3 nama tersebut perlu disusun mengikut keutamaan. Pencadangan 3 nama adalah untuk mengelakkan nama syarikat bertindih dengan syarikat lain. Pendaftar syarikat akan menyemak nama yang dipilih sama ada nama tersebut sudah wujud atau belum.

Selain itu, anda juga perlu menyenaraikan aktiviti perniagaan yang bakal dijalankan. Hal ini adalah untuk memastikan syarikat yang didaftar diyakini boleh beroperasi dengan baik. Tidak lupa juga untuk menyediakan akaun bank yang akan dibuka. Akaun bank sangat penting untuk syarikat bagi mengelakkan penyelewengan wang berlaku. Anda perlu tentukan bank apa yang akan anda gunakan.

3- Menyediakan Dokumen Sokongan


Penting untuk menyediakan dokumen sokongan untuk mengelakkan kemusykilan pendaftar syarikat. Oleh itu, anda perlu menyediakan salinan kad pengenalan bakal pengarah syarikat, bakal pemegang saham dan salinan passport serta visa jika terdapat pekerja asing di syarikat anda.

4-Buat Temujanji dengan Bakal Setiausaha Syarikat


Bersemuka dengan bakal setiausaha syarikat anda adalah penting untuk memulakan perbincangan mengenai penubuhan syarikat. Lagipun, Setiausaha Syarikat merupakan individu penting dalam membantu menubuhkan syarikat tersebut. Sesetengah setiausaha akan meminta bayaran penuh diawal proses penubuhan syarikat, terdapat juga setiausaha yang hanya meminta deposit sahaja.

5- Memulakan Proses Penubuhan Syarikat Sdn Bhd


Proses ini akan diuruskan oleh Setiausaha Syarikat anda di mana Setiausaha anda akan menyiapkan proses penubuhan syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh antara 5 hingga 10 hari waktu bekerja selepas selesai pemilihan nama syarikat.

Dalam tempoh proses penubuhan tersebut, SSM akan menyediakan dokumen-dokumen seperti  yang termaktub di Akta Syarikat 2016 iaitu Seksyen 14, Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 58 dan 236 (2). Pada tempoh ini juga, anda akan dikehendaki menandatangani dokumen untuk memperoleh sijil penubuhan syarikat.

6-Langkah Terakhir Proses Penubuhan


Di akhir proses, SSM akan menyerahkan Borang Seksyen 17 iaitu sijil penubuhan syarikat sdn bhd. Semua sijil dan dokumen yang lengkap akan diberi kepada Setiausaha anda yang menandakan pendaftaran syarikat anda berjaya dan anda boleh membuka akaun bank.

7-Anda Boleh Memulakan Perniagaan


Kini, anda telah menerima semua dokumen dan sijil-sijil penubuhan syarikat sendirian berhad. Anda boleh memulakan syarikat sendirian berhad anda. Jangan lupa untuk mencari “connection” dan membuat hubungan untuk mencapai matlamat syarikat anda.

Ikuti langkah tersebut untuk memulakan penubuhan syarikat anda! Semoga berjaya.

Rujukan: 
https://www.smartrich.my/home/bagaimana-menubuhkan-syarikat-sendirian-berhad/
http://shaihamibrahim.com/?p=135



Berminat nak mulakan bisnes sendiri?


Dapatkan Konsultansi Bisnes



Lihat artikel menarik yang lain