Bebas Hutang, Lifestyle

Hutang Lapuk dan Cara-Cara Mengatasinya

Credit Trap,     Predatory Lending,     Man Caught

Hutang…..itu biasa dengar.

Hutang dalam bahasa Arab di sebut Qardh iaitu bermaksud potong. Hutang dari segi istilah bermaksud memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan gantinya tanpa sebarang tambahan.

Tetapi hutang lapuk? Apa tu?

Hutang lapuk adalah pinjaman yang diambil untuk membeli atau membiayai perkara yang akan susut nilainya. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai  bad debt.

Jenis hutang ini sangat mudah dikenali. Cuma namanya sahaja yang beraneka seperti pembiayaan peribadi, pinjaman kenderaan, ansuran mudah, sewa beli, kad kredit dan pelbagai jolokan lagi. Masalah dengan hutang jenis ini, bukannya kita tidak cuba elakkan tetapi ianya meresap ke dalam hidup kita dengan amat perlahan sekali. Ia menyamar seolah-olah sebahagian daripada kehidupan padahal ianya adalah barah kewangan dan kesannya sungguh teruk serta membawa akibat buruk.

Antara beribu-ribu sebab untuk berhutang, berikut adalah 5 situasi yang selalu menyebabkan kita berhutang lapuk:

1. Hutang kerana perkahwinan

Perbelanjaan kahwin pada hari ini amatlah besar. Kos perkahwinan yang BIASA-BIASA sahaja di bandar sudah mencecah hampir RM 30, 000! Maka apa lagi, hutang merupakan alternatif paling senang. Malah Bank Rakyat juga sedang mempertimbangkan keadaan ini, mereka bakal perkenalkan skim pinjaman perkahwinan tidak lama lagi. Hebat?

Mengikut statistik nikah, cerai dan rujuk yang direkodkan Jabatan Agama Islam Selangor sehingga julai tahun 2010, terdapat 2, 247 kes perceraian di Selangor, tidak termasuk kawasan Hulu Langat, manakala rujuk dengan 356 kes dan perkahwinan sebanyak 7, 280 pasangan.

Bagi 2008, sebanyak 16, 021 pasangan direkodkan melangsungkan perkahwinan manakala perceraian 4, 069 kes, dengan rujuk 628 kes, meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan 14, 747 perkahwinan, 3, 685 kes cerai dan 521 kes rujuk. JAIS membuat ulasan yang berbunyi “Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumah tangga dikesan menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan.”

Dinasihatkan kepada pasangan yang bercinta supaya merancang kewangan dengan lebih awal, jangan terlalu asyik bermain cinta sahaja.

2. Hutang membeli kenderaan

Mengikut statistik kadar muflis antara tahun 2005 sehingga Mei 2010 yang direkodkan bank, sebab utama penyumbang kepada fenomena ini ialah hutang kereta, merangkumi 24% daripada jumlah kes. Fenomena ini tidak menghairankan kerana di Malaysia ramai orang sebenarnya tidak mampu membeli kereta yang mereka beli. Kriteria yang digunakan ialah sama ada gaji cukup atau tidak untuk menampung ansuran bulanan.

Faktor utama yang menyebabkan ramai yang tidak dapat membayar pinjaman ialah bayaran wang muka 0% yang ditawarkan untuk membeli kereta. Jika mengikut pengiraan yang sebenar, sekiranya seseorang individu itu tidak mampu membayar sekurang-kurangnya 10% sebagai wang muka, maka individu tersebut tak layak untuk beli kereta. Ada sesetengah orang yang serahkan sahaja kereta mereka kepada bank apabila tak mampu bayar kerana harga jualan lebih rendah daripada nilai hutang. Tetapi harus diingat, mereka bertanggungjawab membayar bank perbezaan antara harga jualan kereta dan nilai hutang.

Jika tidak bank akan terus mengenakan faedah atas hutang dan apabila hutang mencecah angka RM30, 000, mereka akan diisytiharkan muflis. Nama mereka juga akan dimasukkan dalam senarai hitam kredit, walaupun anda belum diisytiharkan muflis.

Ramai yang tidak sedar betapa seriusnya masalah orang muflis ini. Seorang muflis tidak boleh pergi ke luar negara, tak boleh memegang aset, tak boleh mendapatkan pinjaman lain dan dikenakan beberapa sekatan lain.

3. Hutang membeli rumah kediaman

Sebagai contoh, kini anda telah memiliki sebuah rumah untuk berteduh dari hujan dan panas. Tentunya rumah anda itu kurang serinya tanpa perabot yang menawan. Penghawa dingin yang menyamankan di kala tengah hari. Pemanas air yang menyegarkan. Penapis air yang menambah kualiti hidup. Menghilangkan penat lelah sambil menonton siaran TV berbayar. Mendengar muzik sambil menonton dengan set teater rumah. Anda juga memerlukan sebuah komputer peribadi untuk memudahkan kerja atau melayari internet. Anda mahu memiliki kesemuanya. Kemampuan kewangan anda pula membatasi. Tapi itu bukan masalah besar kerana anda boleh memiliki kesemuanya sekali gus dengan cara berhutang. Pelbagai skim ditawarkan kini. Tanpa anda sedari hutang sudah di paras hidung dan anda semakin lemas di dalamnya. Itulah senario ramai orang pada hari ini, kan?

Dari sudut pandangan agama, Islam menekankan dengan tegas tanggungjawab membayar hutang walaupun selepas kematian penghutang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.  Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:  Dan barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati maka Allah akan bertanya di hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hamba ku? Maka dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan pada orang yang berhutang.

Rasulullah SAW mengingatkan, orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia kerana apabila dia sudah mati dan masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang itu. Maka, apabila waris enggan melunaskan hutang si mati, apakah yang terjadi kepada rohnya? Pembayaran hutang si mati perlu didahulukan supaya roh si mati tidak tergantung selagi mana hutang tidak diselesaikan. Rasulullah SAW mengingatkan, orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia kerana apabila dia sudah mati dan masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang itu. Betapa Rasulullah SAW menitikberatkan isu hutang.

Sudah gerun? Bolehkah perkara ini diatasi?

Jangan takut. Semua orang mempunyai masalah masing-masing. Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang , hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan keluarnya.

Begitu juga dengan hutang. Islam sendiri ada cara-cara berhutang yang betul.

Apa yang penting, berhutang ikut kemampuan kita dan bukan buat hutang mengikut apa yang bank beritahu kita. Apabila kita berhutang di luar kemampuan, itulah yang selalu menyebabkan kita terperangkap dengan hutang-hutang lapuk. Berikut adalah terjemahan doa yang Rasulullah SAW ajarkan baik untuk diamalkan pagi dan petang untuk mengatasi masalah bebanan hutang.

Ya Allah aku berlindung dari kesusahan dan kedukaan, dari lemah kemahuan dan rasa malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dari belenggu hutang dan tekanan manusia.

Tetapi, berdoa sahaja tidak menyelesaikan masalah. Namun doa yang Rasulullah SAW ajar ini mengandungi pengajaran yang penting, antaranya ialah:

1. Ketepikan emosi negatif

Langkah pertama ialah membuang perasaan-perasaan negatif sebab memang secara automatik bagi mereka yang mempunyai belenggu hutang yang besar untuk berasa takut, sedih, kecewa dan buntu. Adalah penting untuk seseorang yang berhutang untuk tidak berada penafian ( mode of denial ). Jangan dinafikan dan jangan ditangguh.

Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya  “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”

2. Tanamkan sifat rajin

Orang yang berjaya semuanya orang yang rajin. Bak kata Dr. Shukri Abdullah, rajin itu adalah punca segala kejayaan dan MALAS pula punca segala kegagalan. Orang yang berjaya dalam hidupnya bukan orang tanpa kekurangan tapi dia gigih memperbaiki diri. Tanamkan sifat rajib bekerja, dengan lebih baik lagi, mulakan usaha cari pendapatan tambahan. Kerja siang demi menyara hidup, kerja malam atau hujung minggu untuk bayar hutang.

3. Ubah diri jadi lebih berani dan banyak kan bersedekah

Antara beberapa situasi yang memerlukan sifat berani. Contohnya, sekiranya bos tidak menghargai kita dengan memberi gaji rendah, kita mesti berani berhenti kerja dan mencari kerja di tempat lain. Sekiranya kita sudah tak lalau hendak bekerja demi membuat orang lain jadi kaya, mula berniaga. Bisnes pertama gagal, berani untuk tutup kedai dan mula semula dengan buat bisnes yang lain. Allah s.w.t telah menghalalkan perniagaan tapi ramai yang takut untuk mencuba dek kerana pelbagai jenis alasan.

Itu sahaja tidak cukup, pada masa yang sama, banyak kan beri sedekah, bantu orang lain walaupun kita masih lagi belum keluar dari belenggu hutang sepenuhnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:  Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.

Tetapi jangan pula terdesak sampai meminta sedekah! Islam amat tidak galakkan meminta sedekah, terutama bagi mereka yang berkemampuan, kerana sifat ini tidak menggalakkan produktiviti dalam masyarakat. Mereka yang berkemampuan untuk bekerja, lalu meminta sedekah, menjadikan institusi masyarakat tidak produktif. Contohnya, skim pelaburan piramid- salah satu bentuk pengaliran wang yang tidak produktif dan merosakkan masyarakat. Hakikatnya skim piramid sama sahaja dengan meminta sedekah, wang di beri kepada orang ‘atas’ dan wang lain diminta daripada ‘orang bawah’. Tak ke songsang namanya?

Dengan tiga cara di atas ini, jika diamalkan secara konsisten, mampu mengeluarkan kita daripada bebanan hutang lapuk yang disangka tidak berkesudahan. Penglibatan dalam hutang lapuk bukanlah penghujung dunia, ia hanyalah satu ujian Allah. Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Maka, ambil masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukannya semata-mata untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

(Al-Baqarah: 216)