5 Fakta Menarik Tentang Pengasas IKEA, Ingvar Kamprad

0
1062

Nama IKEA sudah tentunya tidak asing lagi di kalangan kita. IKEA merupakan syarikat penjual perabot terbesar di dunia. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1943 oleh Ingvar Kamprad di Sweden. 

Sejak penubuhannya, IKEA perlahan-lahan membangun sehingga menjadi syarikat perabot yang berjaya. Bermula dari Sweden, perniagaan IKEA terus berkembang ke seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Ingvar Kamprad memulakan perniagaan IKEA dari sifar serta memainkan peranan yang penting dalam kejayaannya sehingga ke hari ini. Kejayaan yang dicapai adalah berkat daripada usaha gigih beliau. Bukan itu sahaja, Ingvar Kamprad merupakan seorang tokoh yang mempunyai kisah hidup yang menarik serta akan dikongsikan seterusnya dalam artikel ini.

1. Memulakan perniagaannya sejak berusia 5 tahun

Ingvar Kamprad dilahirkan di Sweden pada 30 Mac 1926 dan merupakan anak bongsu kepada Frans Feodor Kamprad dan Berta Linnéa Matilda Nilsson. Ibubapanya merupakan pasangan petani miskin yang tinggal di kawasan desa.

Bakat berniaganya tampak sejak muda lagi. Menurut Wikipedia, Ingvar Kamprad memulakan perniagaannya dengan menjual mancis pada usia lima tahun sehingga berusia sepuluh tahun. Beliau kemudiannya memperkembangkan perniagaan dengan menjual ikan, hiasan pokok Krismas, biji benih dan alat tulis.

2. Mengasaskan IKEA pada usia 17 tahun

Ingvar Kamprad didapati mengidap disleksia. Oleh itu, dia menghadapi kesukaran untuk membaca dan menulis dengan lancar. Walau bagaimana pun, keadaan ini tidak menjadikannya putus asa. Ingvar terus berusaha untuk menghabiskan pengajian. Beliau menamatkan persekolahan dengan baik pada usia 17 tahun. Sebagai ganjaran atas usaha gigih, ayahnya telah menghadiahkannya dengan wang tunai.

Dengan wang tersebut, beliau mengasaskan IKEA. Nama tersebut merupakan akronim namanya sendiri, Ingvar Kamprad, tempat kelahirannya, Elmtaryd, dan desanya, Agunnaryd.

3. Menerapkan konsep flat-pack

Ingvar Kamprad menerapkan konsep flat-pack bagi perabot jualannya. Konsep ini membolehkan IKEA menyimpan jumlah perabot yang banyak tanpa memakan banyak ruang simpanan. Perabot jualannya terdiri daripada komponen-komponen berasingan dan perlu dipasang sendiri oleh pembeli. Tetapi yang bagusnya, pembeli dapat membeli lebih banyak perabot, manakala IKEA pula tidak perlu risau tentang masalah ruang penyimpanan. Para pembeli hanya perlu memikirkan sendiri bagaimana untuk memasangnya. Dengan penerapan konsep ini, Kamprad mendapat penjimatan besar dari segi kos pengiriman perabot.

4. Meluaskan pasaran ke banyak negara

Syarikat perabot Ingvar Kamprad terus berkembang. Beliau mula membuka IKEA di beberapa buah negara. Mula-mula beliau membuka cawangan di Norway dan Denmark. Kemudian ke Jerman, dan seterusnya ke negara-negara lain di seluruh dunia.

IKEA mempunyai lebih daripada 400 kedai di 38 buah negara. Kedainya diidentifikasikan dengan warna biru dan kuning dan kehadirannya amat dinanti-nanti di seluruh dunia. Buktinya, ketika pertama kali membuka pintu di cawangan Shanghai, China, ia dikunjungi seramai 80 ribu pengunjung pada hari pertama.

5. Antara individu terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai USD46.8 billion

Usaha Ingvar Kamprad membangunkan IKEA tidak sia-sia. Perniagaannya telah berkembang maju dan mempunyai kehadiran di pelbagai negara. Bloomberg 2017 melaporkan bahawa beliau memiliki kekayaan bernilai USD46.8 billion.

Kamprad sendiri sempat tersenarai sebagai orang terkaya ke-8 di dunia versi Bloomberg Billionaires Index tahun 2015. Ketika itu nilai kekayaannya dianggarkan sekitar USD 43.2 bilion.

Demikianlah kisah menarik pengasas IKEA, Ingvar Kamprad. Sayangnya, pada 27 Januari 2018, billionaire ini meninggal dunia pada usia 91 tahun. Namun begitu, usaha, semangat, dan kerja kerasnya memulakan perniagaan dari sifar memang layak dipuji dan menjadi inspirasi semua yang sedang berusaha mendirikan perniagaan.