Kesihatan, Lifestyle

Penyebab Kanser Hati

heart-cancer

Kanser hati agak kurang popular berbanding kanser jenis lain walaupun tersenarai dalam 10 kanser utama di negara kita. Memang jumlah pesakit kanser hati tidak terlalu ramai iaitu sekitar 1, 000 orang, tetapi ia antara kanser yang sukar dirawat kerana kebanyakan kes lewat dikesan akibat ketiadaan gejala penyakit.

Meskipun kanser hati berlaku di seluruh dunia, yang membimbangkan ialah lebih 50 peratus kes membabitkan penduduk Asia dan lebih 70 peratus kes baru dilaporkan setiap tahun datangnya daripada negara Asia, termasuk negara kita!

Hati adalah organ penting yang merangkumi pundi hempedu dan duktus hempedu. Ia organ kedua terbesar dalam badan yang kaya dengan darah, berbentuk baji, terletak betul-betul di bawah tulang rusuk kanan, di bawah paru-paru. Hati kita berbentuk seperti baji atau piramid dan terbahagi kepada dua bahagian — kiri dan kanan.

Fungsi utama hati ialah menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu (bagi membantu pencernaan lemak); membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol; membantu proses metabolisme (ubat, vitamin, alkohol, hemoglobin); sebagai stor penyimpan (untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen); ejen penyingkiran (menyingkirkan sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme) dan meningkatkan daya ketahanan badan.

Bagaimana kanser hati boleh terjadi?

Kanser hati terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Kanser hati primer bermakna kanser bermula di hati. Kanser hati sekunder bermakna sel kanser berasal daripada organ lain dan merebak ke hati.

Menurut Dr Senthil, banyak faktor boleh menyumbang kepada penyakit ini tetapi penyebab utama ialah jangkitan virus hepatitis B yang kronik sehingga menyebabkan sirosis (kematian sel hati yang akhirnya membentuk parut) dan bertukar menjadi kanser jika tidak mendapat rawatan.

Jangkitan Hepatitis B paling banyak dilaporkan di Asia dan ia dianggap sebagai wabak, terutama di negara Asia Tenggara, Hong Kong dan China. Kebanyakan pesakit berusia 30 tahun ke atas kerana virus hepatitis B mengambil masa lama untuk merosakkan hati dan biasanya kerosakan ini berlaku dengan cepat. Namun keberkesanan rawatan masih rendah kerana kebanyakan pesakit hanya datang ke hospital apabila penyakit mereka sudah teruk.

Selain daripada punca ini, banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini, antaranya ialah:

  • Jangkitan hepatitis C dengan kehadiran masalah sirosis hati
  • Sirosis yang merebak hingga jejaskan fungsi hati
  • Pengambilan alkohol berlebihan (boleh merangsang kerosakan hati yang sedia ada)
  • Obesiti
  • Diabetes
  • Merokok
  • Penggunaan steroid dalam tempoh lama
  • Jangkitan fungus (pendedahan jangka panjang pada aflatoksin iaitu toksin yang dihasilkan fungus)
  • Minum air mengandungi arsenik (di sesetengah negara)

 

Pada peringkat awal, kanser hati tidak menunjukkan gejala. Gejala penyakit hanya timbul apabila penyakit sudah teruk (peringkat ketiga dan keempat) iaitu ketika fungsi hati terjejas teruk. Antara gejala dialami pesakit kanser hati ialah:

  • Penurunan berat badan tanpa sebab
  • Tiada selera makan berpanjangan
  • Terasa sangat kenyang walaupun makan sedikit
  • Ada benjolan keras pada bahagian kanan di bawah tulang rusuk
  • Sakit sekitar bahu kanan
  • Kulit menjadi kekuningan, termasuk mata
  • Abdomen atas (kanan) terasa tidak selesa
  • Sentiasa berasa lesu dan tidak bermaya
  • Mual

 

Seperti kanser-kanser lain, semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sampai ke peringkat serius yang menyebabkan kebanyakan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapat rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes peluang hidup adalah kurang daripada satu tahun.

“Tapi, takkan tiada harapan langsung?”

Rawatan kanser hati bergantung kepada peringkat barah ketika penyakit dikesan, fungsi hati dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Biasanya bagi kes kanser hati peringkat awal, pembedahan membabitkan pembuangan sebahagian hati yang diserang barah adalah kaedah terbaik. Malah peluang sembuh juga tinggi.

Bagi peringkat pertengahan; kanser hati dirawat dengan kaedah suntikan ubat kemoterapi pada salur darah yang membawa darah. Malangnya, rawatan standard sedia ada tidak berkesan untuk merawat pesakit barah peringkat akhir.

Kadar kejayaan kelangsungan hidup pesakit kanser hati yang rendah berlaku di seluruh dunia. Kajian menunjukkan di kalangan pesakit di Eropah kejayaan kelangsungan hidup selama lima tahun hanya 8.6 peratus, Amerika Syarikat (kurang tujuh peratus) dan kurang 10 peratus bagi pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan di Asia.

Antara ubat yang disaran untuk pesakit kanser hati peringkat teruk ialah sorafenib (ubat makan) yang didapati mampu meningkatkan kelangsungan hidup pesakit sebanyak 44 peratus iaitu daripada enam bulan kepada 10.7 bulan. Ia menghalang penggandaan sel barah dan menghentikan pembentukan salur darah tidak normal. Melalui kaedah ini sel barah akan mati kerana ketiadaan oksigen dan nutrien.

Peningkatan ini mungkin dianggap sangat kecil bagi sesetengah orang tetapi besar maknanya kepada pesakit kanser kerana ia membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga. Malah dengan rawatan yang semakin baik dan kepatuhan kepada pengambilan ubat, kualiti hidup pesakit juga meningkat.

Yang paling penting, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Sekadar peringatan kepada semua.