Dari ZERO ke HERO Conquer 700 Petronas

0
2566

Kek Coklat Moist

Jarang sekali masyarakat kita tidak menyukai makanan yang berperisa coklat, lebih-lebih lagi anak muda zaman sekarang yang gemar memakan makanan yang bersalut coklat. Setiap kali ada perayaan atau majlis, selalu kita akan nampak makanan kek yang berperisa coklat. Makanan tersebut adalah makanan yang paling cepat habis. Selain sedap, makanan berperisa coklat susah sedikit sukar untuk dicari kerana jarang orang tahu membuatnya.

Kek coklat moist, digemari oleh orang ramai. Bahkan sekarang menjadi trend untuk menyediakan kek coklat moist setiap kali ada majlis seperti majlis sambut hari lahir seseorang. Mengikuti kisah seorang usahawan yang berniaga kek coklat moist, mereka menyedari menyediakan kek coklat moist bukan mudah seperti yang disangkakan, kerana ia perlu bersesuaian dengan cita rasa pengguna.

Sophiahanis Md Hanipah yang mesra dipanggil Anis bersama suami, Junaidy Abu Bakar merupakan pasangan suami isteri yang mengusahakan kek coklat moist di Shah Alam, tapak pemprosesan kek coklat moist tersebut.  Pada permulaan menjalankan perniagaan, mereka hanya menjalankan secara kecil-kecilan untuk melihat permintaan pengguna dan potensi terhadap perniagaan mereka.

Dengan modal awal sebanyak RM 2,000 dan sebuah periuk pengukus berharga RM30, Anis memulakan perniagaan dengan mengukus kek coklat di rumah, buat secara homemade. Minat yang mendalam terhadap perniagaan membuatkan Anis berniaga secara sambilan sahaja sebelum melibatkan diri dalam perniagaan kek coklat moist. Anis juga mengambil Skim Pemisahan Sukarela di mana beliau melaburkan wang sebanyak RM 40,000 yang habis begitu sahaja.

Faktor lain yang membuatkan Anis membuka perniagaan kek ini ialah, ketika beliau nampak kek coklat yang berada di stesen minyak, beliau terus menghubungi pemilik kek tersebut untuk mendapatkan bekalan untuk dijual. Tetapi, setelah menyedari sesuatu iaitu penjualan kek yang dilakukan tidak berbaloi kerana setiap hari Anis perlu berada di kawasan tersebut untuk berjual. Lama-kelamaan beliau terfikir adalah lebih baik untuk menghasilkan kek coklat moist sendiri secara homemade.

Anis mengambil resepi di internet sebagai permulaan beliau dalam menghasilkan kek coklat moist. Beliau menghantar kek yang telah siap di kedai namun kek tersebut tidak habis dijual. Anis melibatkan diri dalam kelas memasak lalu bertemu dengan seorang wanita yang mahir dalam menghasilkan kek. Anis memberanikan diri untuk mendapatkan resepi daripada wanita tersebut.

Setelah menguasai cara menghasilkan kek coklat moist, Anis mula menghantar keknya di kedai stesen minyak. Namun, kek yang dihantar tidak tahan lama membuatkan Anis terpaksa menamatkan kontrak dengan kedai tersebut. Cabaran tidak terhenti disitu, rumah Anis terpaksa dilelong dan kemerosotan jualan juga semakin teruk lalu berpindah rumah ke kawasan lain.

Anis mencari jalan untuk memulihkan perniagaannya dengan menguasai teknik pemasaran dan belajar lagi mengenai penghasilan kek coklat moist yang berkualiti. Usaha yang dibuat menunjukkan hasil sedikit demi sedikit di mana berlaku penambahan stesen minyak iaitu kawasan Anis membekalkan keknya. Anis juga perlu menyiapkan 200 peket kek coklat setiap hari.

Kini dia mampu tersenyum kerana jenama Anis Choc Moist Cake mula dikenali ramai dan boleh didapati di 700 kedai Mesra Petronas seluruh negara, 7- Eleven dan pasar raya besar Tesco, Giant dan Mydin. Anis juga menggunakan tanda pengenalan “Made From The Heart” sebagai tanda cinta, kasih sayang dan kesetiaan yang terdapat pada kek tersebut. Selain kek coklat kukus, Anis Choc Moist Cake juga menjadi pengeluar tat nanas dan Anis Coffee.

“Bagi saya, apa yang dilakukan kini bukanlah niat untuk menjadi kaya semata-mata, tetapi untuk membantu orang ramai meningkatkan taraf hidup, pada masa sama nilai hidup mereka menjadi bertambah baik. Saya gembira Anis Choc Cake dapat melahirkan lebih ramai usahawan Melayu berjaya,” kata Anis.



Berminat nak mulakan bisnes sendiri?


Dapatkan Konsultansi Bisnes



Lihat artikel menarik yang lain