Kapitalis – Kesan Terhadap Bisnes di Malaysia

0
2761

capitalism

Berasal daripada perkataan Inggeris – ‘capital ’ yang bermaksud ‘modal’. Sistem kapitalisme merujuk kepada sistem ekonomi dan sosial yang dibina semata-mata untuk mengaut keuntungan maksimum. Inilah asas kapitalisme yang tidak pernah berubah sejak azali. Kapitalisme cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh orang perseorangan atau syarikat persendirian tanpa penglibatan pihak  kerajaan . Mengikut sejarah asalnya, istilah kapitalisme telah diperkenalkan oleh Karl Heinrich Marx, seorang ahli falsafah Jerman dan juga pakar ekonomi, sosiologi dan sejarah. Beliau juga merupakan seorang pengasas komunisme pada pertengahan abad ke-19. Karl Marx dalam ramalannya terhadap kapitalisme pernah mengatakan bahawa:

  1. Kapitalisme akan menjadikan kaum buruh diperlakukan dan dieksploitasi kan sama seperti seorang hamba. Kaum buruh akan dikerah dan digunakan sehabis-habisan oleh para pemilik modal. Gaji mereka tidak akan bertambah, namun harga barang-barang kegunaan harian yang terdapat di pasaran semasa dipercayai akan terus meningkat. Kenikmatan hidup hanya akan dapat dirasai oleh golongan yang berpendapatan tinggi, manakala golongan bawahan akan berhadapan dengan kehidupan yang getir dan mencabar. Bagi Karl Marx, kapitalisme akan hanya memiskinkan kaum buruh dan menguntungkan golongan yang kaya!
  2. Kapitalisme akan menyebabkan krisis hidup. Jumlah barang akan bertambah, namun kuasa membeli tidak akan berubah. Manusia akan cenderung untuk berhutang, dan ada kalanya membawa kepada hutang lapuk. Dunia akan dilanda krisis global. Penghasilan barangan semakin banyak, namun permintaan terhadap barangan itu semakin lemah dek sebab harga yang diletakkan untuk barangan tadi dilihat tidak munasabah untuk pembeli. Tiada permintaan terhadap barangan itu tadi akan menyebabkan terjadinya lambakan barangan dalam pasaran.
  3. Kapitalisme juga akan menyebabkan ekonomi menjadi lembab. Keuntungan jualan akan berkurang, akibat tidak mendapat sambutan masyarakat. Ekonomi seolah nampak maju, namun sebenarnya tidak. Ekonomi berkecenderungan untuk jatuh dan bagi negara-negara yang tidak maju akan memerlukan suntikan dana daripada negara luar.


Melalui bukunya berjudul ‘The Capital ’, Karl Marx juga mendakwa bahawa unsur-unsur kapitalisme dalam sesebuah masyarakat hanya dapat dibuang sekiranya golongan pekerja berani untuk mengambil alih kerajaan melalui revolusi. Padanya jika manusia berani melakukan revolusi, masyarakat dapat hidup secara harmoni tanpa ada perbezaan kelas dan taraf hidup.

Sejarah Kapitalisme

Kapitalisme dilihat bermula di Eropah pada kurun ke-13 dan menjadi dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme. Pada ketika itu manusia cenderung untuk melakukan perdagangan dan penukaran barangan. Penekanan kepada pengeluaran tidak berlaku sehingga kebangkitan zaman perindustrian pada kurun ke-19. Pada ketika itu, fahaman kapitalisme menjadi dominan dan disebarkan ke seluruh dunia menerusi aktiviti penerokaan dan penjelajahan oleh kuasa-kuasa Barat. Bagi mereka yang menyokong sistem kapitalisme, mereka dikenali sebagai seorang yang liberal atau juga digelar libertarian. Penyokong sistem kapitalisme ini sendiri mempunyai pendapat yang berbeza. Ada yang berpendapat kapitalisme akan berfungsi dengan baik di bawah kawalan kerajaan. Kerajaan dilihat mampu untuk berfungsi sebagai medium urus niaga dan berlaku adil seterusnya tidak akan menindas pekerja. Namun begitu, ada pendapat yang mempertikaikan idea kapitalisme dengan mengatakan bahawa apabila terdapat campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi pasaran, ia dipanggil “ekonomi campuran” dan bukannya sistem kapitalisme yang tulen. Bagi mereka sistem kapitalisme tulen hanya berlaku apabila melibatkan individu atau syarikat perseorangan dan masyarakat itu sendiri. Sehingga kini tiada pendapat yang dapat dirujuk berkenaan idea kapitalisme itu sendiri.

Kapitalisme telah mewujudkan golongan yang bergelar usahawan yang menjalankan aktiviti perdagangan untuk keuntungan sendiri tanpa memikirkan kesusahan yang lain. Amalan kapitalisme terus berlaku sehingga kini di hampir setiap pelosok dunia, menyaksikan bermulanya penindasan terhadap kaum miskin dan membawa keuntungan kepada mereka yang kaya. Di Malaysia, kapitalisme dikesan sejak daripada zaman penjajahan British lagi. Dasar ekonomi kapitalis yang diamalkan pada ketika itu telah memberi satu tamparan hebat kepada masyarakat Melayu. Kerajaan British pada ketika itu lebih fokus kepada ekonomi komersial seperti perlombongan bijih timah, getah, kelapa sawit berbanding ekonomi tradisional yang diusahakan oleh masyarakat Melayu. Pembangunan luar bandar tidak mempunyai kepentingan, lantas dibiarkan terpinggir oleh Kerajaan British. Tenaga kerja yang murah daripada negara luar seperti India diambil untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah, ladang getah dan kelapa sawit. Disebabkan kemasukan beramai-ramai buruh asing ini, masyarakat Melayu terus dibiarkan hidup di pinggir bandar dalam keadaan susah dan melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan mereka. Jurang kemiskinan masyarakat Melayu dilihat jauh ketinggalan berbanding masyarakat lain. Mereka tidak diberi peluang untuk turut serta dalam pembangunan moden dan kekal dalam bidang ekonomi tradisional.

Kapitalisme Era Kini

Kini, secara disedari atau tidak amalan kapitalisme yang berlaku di negara kita menyebabkan ketidakseimbangan dalam kehidupan masyarakat kita sendiri. Ada penduduk yang hidup senang lenang sedangkan ramai lagi yang masih hidup miskin dan merempat di negara kita. Ada yang hidup di banglo mewah, namun masih ada yang hidup di penempatan yang tiada bekalan air dan elektrik yang sempurna. Apabila melakukan urus niaga perniagaan pula, terdapat kaum elit kapitalis yang menggunakan kudrat orang lain dan menindas mereka yang bekerja dengan memberi gaji yang tidak setimpal. Malahan ada juga yang lebih mementingkan kroni-kroni mereka dalam penganugerahan tender dan kontrak dan tidak memberi peluang yang adil kepada masyarakat lain di negara ini. Perkara ini dilihat kritikal kerana sekiranya dibiarkan berpanjangan, agak sukar untuk usahawan muda yang baru menceburi bidang perniagaan untuk kekal lama kerana gagal merebut peluang dan pengalaman yang diperlukan.

Dasar penswastaan agensi dan syarikat milik kerajaan seperti hospital, universiti atau syarikat-syarikat lain juga dilihat sebagai salah satu unsur yang membawa kepada amalan kapitalisme. Dasar penswastaan ini telah diperkenalkan oleh kuasa kapitalis dunia, Amerika Syarikat dan Britain yang dilihat dapat memberi faedah yang besar kepada kerajaan yang melaksanakannya. Di Malaysia sendiri, dasar penswastaan telah banyak dilakukan melibatkan agensi-agensi besar seperti Telekom Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Tenaga Nasional Berhad. Melalui dasar penswastaan, kepentingan atau pelaburan kerajaan dalam agensi dan syarikat milik kerajaan akan beralih daripada tangan orang ramai kepada pihak swasta atau individu pemilik baru organisasi itu.  Setelah diswastakan, kerajaan tidak lagi perlu menyumbang atau menyuntik dana kepada agensi atau syarikat ini. Penjimatan dapat dibuat dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara. Proses urusan syarikat ini kemudiannya akan diambil alih oleh syarikat persendirian atau individu tertentu. Jika dilihat daripada sudut positif, dasar penswastaan ini sebenarnya dapat meningkatkan lagi kecekapan agensi atau syarikat yang dilihat kurang berdaya maju. Namun dari sudut lain pula, kita boleh rasai beban yang perlu digalas oleh orang ramai kerana terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya kesan daripada peningkatan bayaran terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat itu tadi.

Di Malaysia juga berlaku senario di mana pemodal tempatan dan antarabangsa enggan menaikkan upah tenaga buruh hanya kerana ingin melipat gandakan keuntungan perniagaan. Gaji bagi kaum buruh dibayar pada paras minimum, walaupun hakikatnya pemodal tadi telah mendapat keuntungan kasar yang maksimum. Dek disebabkan gaji yang dibayar tidak setimpal, maka warga tempatan enggan untuk bekerja. Para pemodal kapitalis tempatan dan luar negara ini pula mengambil jalan mudah dengan mengimport tenaga buruh daripada negara lain. Akibat desakan hidup di negara asal, sudah tentu tenaga buruh luar ini tadi tidak kisah jika dibayar dengan upah yang murah. Cita-cita untuk menaikkan taraf kehidupan warga tempatan akan terus gagal, malahan ada yang semakin merosot taraf kehidupannya. Warga yang tidak berduit, tidak mungkin akan berbelanja, secara tidak langsung akan menyebabkan ekonomi negara semakin tidak berkembang.

Tidak cukup dengan itu, ada majikan yang melakukan khidmat luaran atau outsourcing, iaitu mengupah orang luar dengan upah yang rendah untuk melakukan pekerjaan yang dahulunya dilakukan dalam negara. Bila ini berlaku, maka sekali lagi masyarakat akan kehilangan pekerjaan kerana kerja yang sepatutnya dilakukan oleh warga tempatan telah diberikan kepada warga luar negara. Tidak cukup dengan itu, ada juga kaum pemodal yang membuka kilang-kilang di wilayah dunia ketiga hanya semata-mata inginkan kos buruh yang murah.

Bank-bank konvensional juga turut mengambil kesempatan dalam ekonomi kapitalisme ini dengan memberikan kemudahan pinjaman kepada individu yang berpotensi untuk gagal membayar balik pinjaman tersebut. Bagi pihak bank, jika risiko pinjaman yang diberikan kepada seseorang individu itu tinggi, maka tinggilah juga keuntungan yang akan diperoleh oleh pihak bank itu. Lantas ini dijadikan alasan oleh pihak bank untuk sewenang-wenangnya meluluskan permohonan kad kredit atau pinjaman bank tanpa mempedulikan gaji bulanan atau baki wang simpanan peminjam itu sendiri. Sekiranya hutang pinjaman tersebut gagal dibayar dalam tempoh yang di tetapkan, maka kadar bunga yang di kenakan akan meningkat dan ia akan mendatang keuntungan kepada pihak bank.

Kesimpulan

Pengkritik sistem kapitalisme berpendapat sistem ini akan mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara golongan yang kaya dengan mereka yang miskin. Kapitalisme juga merupakan sistem ekonomi yang menggalakkan pelaburan dan perniagaan secara persendirian, berbanding ekonomi kawalan kerajaan. Melalui sistem kapitalisme, individu dan syarikat perseorangan berhak untuk memiliki dan menggunakan kekayaan mereka untuk menjana pendapatan. Selain itu buruh luaran diupah untuk melakukan kerja dan digaji tanpa kawalan kerajaan atau dengan kawalan yang minima. Dalam aspek penganugerahan tender dan kontrak, peluang dilihat lebih kepada elit kapitalis berkepentingan dalam industri, manakala usahawan yang tiada kepentingan akan dibiarkan begitu sahaja. Dasar penswastaan juga dilihat sebagai salah satu agenda dalam ekonomi kapitalis, yang menjurus kepada keuntungan kepada individu atau syarikat pemilik baru organisasi itu. Rakyat dilihat terpaksa menanggung beban pertambahan bayaran terhadap khidmat yang diberikan oleh syarikat-syarikat swasta ini.

Kesimpulannya, kapitalisme adalah sistem yang dilihat gagal membawa kesejahteraan kepada majoriti rakyat. Dasar kapitalisme ini penuh dengan unsur yang boleh memakan diri sendiri. Sebaiknya, satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan maksimum harus disusun. Pembuatan dan pengeluaran adalah untuk keperluan pengguna dan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan.