Kuasa Boboiboy

0
465

Jika dahulu kanak-kanak lebih terpegun kepada watak kartun superhero seperti Ultraman, Batman dan Superman yang kesemuanya merupakan keluaran dari luar negara, tetapi kini tumpuan itu dilihat sudah beralih. Kini, kanak-kanak dilihat lebih tertumpu kepada satu watak superhero baru di Malaysia, yang diberi nama BoBoiBoy. Hasil kerja anak muda tempatan ini dapat dilihat semakin hangat ditayangkan di kaca-kaca televisyen. Sambutan yang diterima bukan sahaja daripada kanak-kanak, malah turut mendapat sambutan daripada orang dewasa. Sambutan yang diberikan ini menjadi petanda bahawa penonton sudah mula membuka mata dan cenderung menonton animasi berwajah Malaysia yang dilihat lebih santai dan mudah difahami.

Sejarah penubuhan

Biarpun baru beroperasi selama beberapa tahun dengan pembiayaan geran kerajan bernilai RM1.9 juta, Animonsta Studios boleh berbangga dengan kemunculan siri animasi BoBoiBoy yang mencipta `kegilaan’ baru di kalangan penonton televisyen TV3 dan Astro. BoBoiBoy yang dihasilkan bersama teman sealiran iaitu Mohd Nizam Abd Razak selaku Pengarah Urusan, Mohd Safwan Abd Karim sebagai Pengarah Eksekutif, Muhammad Anas Abd Aziz sebagai Pengarah Kreatif, dan Kee Yong Pin selaku Pengarah Penerbitan, mereka bergerak seiring ke hadapan di bawah jenama Animonsta Studio.

Nizam dan Safwan pada awalnya memulakan kerjaya mereka di Les’ Copaque Production selepas menamatkan pengajian di Multimedia University (MMU). Merekalah antara tulang belakang yang membangunkan jenama Upin & Ipin sehingga terkenal hingga ke peringkat antarabangsa. Bertitik-tolak daripada kejayaan Upin & Ipin, perasaan dan keinginan untuk mempunyai animasi jenama sendiri semakin membuak-buak dalam diri mereka.

Namun keinginan itu bukan mudah untuk digapai lebih-lebih lagi selepas mereka meninggalkan Les’ Copaque dan menubuhkan jenama sendiri iaitu Animonsta Studio. Ramai yang menganggap hasrat mereka sebagai satu angan-angan Mat Jenin kerana melihatkan kepada industri animasi yang ketika itu masih baru dan jauh ketinggalan. Namun, kritikan yang diterima itu mereka jadikan sebagai satu galakan yang membawa kepada kejayaan mereka pada hari ini.

Cabaran yang diterima sangat getir kerana selepas tidak lagi terbabit dengan Upin & Ipin, mereka perlu bermula sekali lagi daripada bawah untuk menghasilkan BoBoiBoy, dan ianya tidak mudah kerana mereka perlu keluar daripada kepompong selesa Upin & Ipin.

Kenapa BoBoiBoy

Menurut Nizam, ketika mula membangunkan Animonsta Studio, misi awal mereka adalah untuk menghasilkan siri animasi baru. Idea untuk mewujudkan karektor superhero tempatan ini terhasil melalui soal selidik yang dilakukan dengan orang ramai. Di Malaysia, kita sudah ada siri animasi Upin & Ipin dan juga Kampung Boy yang berelemenkan keluarga, disebabkan itulah mereka lihat perlunya satu karektor superhero, namun masih mengekalkan elemen keluarga dan tempatan, kerana ianya lebih dekat kepada penonton Malaysia.

Terdapat banyak idea yang diperoleh ketika peringkat awal pembinaan karektor, namun mereka memperincikan kepada empat watak penting iaitu BoBoiBoy, Gopal, Yaya dan Ying yang mewakili kelompok masyarakat setempat, selain menambah elemen fantasi iaitu makhluk asing, Adudu untuk menguatka lagi jalan cerita. Jika di awal produksi, mereka memilih kopi sebagai salah satu elemen penting, tetapi akhirnya mereka menggantikan dengan koko kerana merasakan ianya lebih dekat dengan jiwa kanak-kanak.

Jika pada awalnya, mereka hanya mensasarkan kelompok penonton dari usia tujuh hingga 12 tahun, tetapi berdasarkan sambutan yang diterima kini, dapat dilihat bahawa kanak-kanak seawal usia dua tahun hingga orang dewasa berusia 30 tahun turut menggemari siri animasi ini.

Cipta peluang

Di Malaysia, industri animasi dilihat masih baru dan berpotensi untuk berkembang pesat berdasarkan kemunculan syarikat animasi yang sedia bersaing di pasaran. Perkembangan ini cukup baik dan sihat untuk kemajuan industri animasi itu sendiri.

Berbanding drama bersiri, siri animasi mempunyai kekuatannya yang tersendiri kerana mampu bertahan lama dan mampu membentuk watak yang dapat menjadi kegilaan semuua. Pada masa yang sama, prospek penjanaan pendapatan juga boleh dilakukan berdasarkan jualan barangan seperti pakaian, logo, mainan kanak-kanak dan produk makanan.

Perancangan masa hadapan

Dengan kepakaran yang dimiliki, fokus utama mereka hanyalah pada bidang animasi. Bukan tidak mahu keluar daripada kepompong sedia ada, namun bagi mereka, kita tidak boleh mengejar sesuatu yang kita tidak pakar dalam bidang seumpamanya. Namun, jika ianya terjadi melalui usaha sama dengan rakan kongsi yang boleh menguntungkan kedua belah pihak, mungkin ianya boleh dipertimbangkan. Bagi mereka, biarlah untung yang diterima hanyalah separuh daripada ambil risiko 100 peratus, tetapi akhirnya tidak tahu apa yang mereka lakukan.

BoBoiBoy bukan sahaja dilihat berjaya di Malaysia, malah siri animasi ini sudah dipasarkan di 16 negara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, malah siri ini juga sudah mendapat tempat di rangkaian televisyen Korea.

Selepas kejayaan siri animasi ini di televisyen dan DVD, mereka mula merangka strategi untuk menghasilak BoBoiBoy dalam bentuk filem pula. Tetapi, untuk menghasilkan sebuah filem animasi, ianya tidak semudah yang kita sangka. Ini kerana selain memerlukan jangka masa yang lebih panjang dan kos yang tinggi, jalan cerita juga menjadi faktor penting untuk memastikan penonton sentiasa terhibur dan berpuas hati sepanjang tempoh tayangan.