Sulaiman Al Rajhi: Jutawan Islam Yang Kaya Dunia Dan Akhirat

0
2013

sulaiman-al-rajhii

“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?”

Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi telah melemparkan soalan ini kepada sekumpulan ahli perniagaan di hadapannya.  Pada bulan yang sama juga, dunia telah digemparkan dengan pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian besar harta kekayaannya yang dianggarkan Forbes bernilai USD 7.7 bilion itu kepada anak-anak beliau dan sebahagian besar yang lain kepada badan-badan amal dan kebajikan.  Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan harta perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah berjaya dilakukan dan seterusnya menjadikan beliau insan yang ‘miskin’ semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’.  Kata Sulaiman Al Rajhi, jalan yang dipilihnya ini, telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira.  Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh harta kekayaannya, dan pemilik kekal adalah Allah S.W.T.  Dengan melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan perebutan harta dan seterusnya permusuhan dalam kalangan anak-anaknya sekiranya beliau pergi meninggalkan dunia tanpa mengagihkan hartanya terlebih dahulu.  Sesuatu yang tidak diingininya adalah melihat perpecahan antara anak-anaknya sendiri, seperti yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang yang seterusnya pada fikirannya akan merugikan keluarga, masyarakat dan negara.  Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau boleh memastikan pewarisnya boleh menguruskan perniagaan dan pelaburan yang telah dibuatnya.  Dengan cara ini juga, beliau berpeluang untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya, sekiranya mereka menghadapi masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi.  Sulaiman Al Rajhi juga berharap dengan mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke jalan Allah, beliau telah dapat menunaikan tanggungjawab menjaga saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala untuk dirinya di akhirat kelak. 

Latar Belakang Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi – Daripada Padang Pasir Akhirnya Ke Mata Dunia

Sulaiman Al Rajhi lahir pada tahun 1920, merupakan seorang tokoh korporat dan jutawan berbangsa Arab Saudi.  Beliau menerima pendidikan terakhirnya daripada Universiti King Abdul Aziz di Arab Saudi.  Beliau merupakan pengerusi kepada Bank Al Rajhi, salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi dan bank Islam yang terbesar di seluruh dunia.   Sulaiman Al Rajhi merupakan seorang jutawan Arab yang hebat.  Pada tahun 2011, Forbes telah menyenaraikan beliau sebagai seorang yang berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya di dunia.  Beliau juga dikatakan antara 10 orang yang terkaya di Arab Saudi.

[auth]

Sulaiman Al Rajhi bukanlah seorang yang lahir dalam keluarga yang berada dan bukan juga seorang yang berketurunan diraja.  Beliau membesar di padang pasir Nejd dan bersama-sama saudara kandungnya, Saleh Al Rajhi telah memulakan perniagaan menukar wang untuk pengembara yang merentasi padang pasir ke Bandar Mekah dan Madinah.  Banyak syarikat yang telah ditubuhkan oleh Sulaiman Al Rajhi antaranya ialah Bank Al Rajhi, Pusat Penternakan Ayam al-Watania dan Pusat Pertanian Al-Watania.  Sulaiman Al Rajhi juga merupakan pengasas kepada Yayasan Kebajikan Sulaiman Al Rajhi yang juga dikenali sebagai Yayasan SAAR yang merupakan sebuah organisasi kebajikan dan amal yang terkemuka di dunia.  Kini selepas pengagihan hartanya dibuat, fokus Sulaiman Al Rajhi lebih kepada kerja-kerja amal seperti menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan Yayasan SAAR.

Walaupun usianya sudah mencecah lebih 90 tahun, Sulaiman Al Rajhi masih lagi aktif dalam menguruskan hal-hal perniagaan beliau. 

Bank Al Rajhi – Perbankan Secara Islam

Di kala usia mudanya, beliau berpengalaman dalam aktiviti penukaran mata wang.  Pengalaman yang dikutipnya ini dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al Rajhi, dan seterusnya menjadikannya pemegang saham terbesar untuk syarikat itu.  Abang beliau Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Rajhi juga turut menjadi tulang belakangnya dalam merancang penubuhan serta menguruskan Bank Al Rajhi.  Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang bijak mentadbir dan menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi dilaporkan mencatat keuntungan yang paling tinggi jika dibandingkan dengan bank-bank lain di Arab Saudi. 

Menceritakan semula detik permulaan perbankan secara Islam, melalui satu wawancara media yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi daripada Al-Eqtisadiah Business Daily, Sulaiman Al Rajhi telah menceritakan bagaimana pada lebih 30 tahun dahulu, beliau telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Pengurus Bank of England untuk berbincang mengenai perbankan secara Islam.  Beliau menegaskan bahawa bayaran ‘faedah’ adalah riba yang haram bagi kedua-dua agama Islam dan Kristian, dan mengesyorkan perbankan secara Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.  Setelah idea dan fakta-fakta yang dibincangkan ini diterima, beliau kemudiannya telah pergi ke serata dunia untuk berjumpa dengan ketua-ketua bank negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Perbankan secara Islam yang mendapat sokongan mufti besar, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz ini kemudiannya mula diterima di mata dunia dan dilaksanakan di negara Arab dan juga di kota London.

Terkini, Bank Al-Rajhi telah mempunyai sebanyak 570 cawangan di seluruh dunia.  Pada Oktober 2006, Bank Al Rajhi telah membuka cawangannya di Malaysia dan sebanyak 25 cawangan bank nya sudah dibuka sehingga kini, 15 di Lembah Kelang, satu masing-masing di Johor Bahru, Melaka, Penang, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Sg. Petani dan Kota Kinabalu.   Bank Al Rajhi juga telah dianugerahkan beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Pusat Penternakan Ayam al-Watania

“Dan janganlah kamu makan daripada apa (daging haiwan) yang ketika disembelih tidak disebut nama Allah, perbuatan itu benar-benar suatu kefasiqan..” – Surah Al-An ‘am ayat 121.

Sulaiman Al Rajhi seorang yang amat sensitif dalam etika penternakan haiwan ternakan.  Ketika beliau mengadakan lawatan ke ladang ternakan di luar negara, beliau telah melihat dengan matanya sendiri proses penternakan yang ada. Beliau merasakan proses yang dilakukan pada ketika itu adalah salah dari segi syariah.  Beliau kemudiannya memutuskan untuk menceburi bidang ternakan dengan menubuhkan Pusat Penternakan Ayam al-Watania yang terletak di Bandar Qassim, Arab Saudi. Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan disembelih secara halal mengikut undang-undang syariah. Kini syarikat ini telah berjaya mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan menguasai 40% pasaran di Arab Saudi dan merupakan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.

Pusat Pertanian Al-Watania

Sulaiman Al Rajhi juga telah melabur lebih USD 250 juta dalam pertanian secara organik untuk memastikan masyarakat dapat makan makanan yang bebas daripada bahan kimia berbahaya.  Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun 1982 kini telah menjadi salah satu syarikat pertanian terkemuka di Arab Saudi.  Syarikat ini telah banyak melakukan penyelidikan terhadap tanaman secara organik dan berbangga dengan produk pertanian nya yang menggunakan baja organik sepenuhnya.  Beribu pejabat di kota Riyadh, syarikat ini mempunyai ladang yang terletak di utara, tengah dan selatan Arab Saudi.

Universiti Sulaiman Al Rajhi

Selain itu, Sulaiman Al Rajhi juga telah menubuhkan Universiti Sulaiman Al Rajhi yang fokus utamanya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang antaranya kesihatan dan perbankan Islam. Kelahiran pelajar daripada universiti yang terletak di daerah Qassim, Arab Saudi ini juga dilihat dapat memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi.

Keperibadian Sulaiman Al Rajhi

Kejayaan sentiasa berpihak kepada Sulaiman Al Rajhi, tak kira apa jua bidang yang diceburinya.  Namun beliau juga tidak pernah terlepas daripada dugaan Allah S.W.T., antaranya apabila kilang ternakan beliau hangus terbakar dijilat api.  Peristiwa ini berlaku bukan sekali tetapi dua kali kilang yang berlainan menghadapi masalah kebakaran.  Apabila diberitahu perihal kejadian itu oleh kakitangan syarikatnya, beliau tampak sabar dan tabah dan hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’.  Beliau kemudiannya meminta agar pengurusan syarikat kilangnya itu berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan yang dialami sehingga semuanya dapat dibaiki.

Sulaiman Al Rajhi bersifat suka merendah diri dan turut memiliki pegangan saham syarikat penerbangan namun tidak berminat untuk memiliki jet peribadi.  Katanya beliau lebih suka menaiki penerbangan kelas ekonomi, baginya Allah tidak memberikannya harta untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai.  Beliau juga seorang yang sangat suka bersedekah dan baru-baru ini telah membuat amal dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang mengerjakan wuquf di Arafah.  Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan wang dan mengupah orang memasak hidangan itu, tetapi beliau sendiri telah ‘turun padang’ dan terlibat secara aktif bersama-sama lebih daripada 800 tukang masak yang diupah untuk penyediaan hidangan itu. 

Sesuatu yang dipelajarinya pada awal pembabitannya dalam urusan perniagaan, ialah untuk menepati masa.  Pernah katanya temu janjinya untuk berjumpa dengan seorang pegawai di Eropah dibatalkan hanya kerana beliau terlewat beberapa minit untuk temu janji itu.  Sejak daripada peristiwa itu, beliau telah mendisiplinkan dirinya untuk lebih menepati masa.  Beliau juga sering membawa buku nota kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan akan sentiasa merujuk buku nota nya untuk memastikan beliau tidak lupa apa-apa aktiviti atau temu janji yang telah dijadualkan.

Ketegasannya dengan prinsip Islam amat digeruni, pernah beliau keluar daripada satu majlis makan malam apabila mengetahui terdapat program hiburan di majlis makan malam itu.   Setelah pembatalan program hiburan tersebut, dan setelah dijemput semula oleh menteri yang terbabit barulah beliau menyertai semula majlis makan malam itu.

Kerajaan Arab Saudi juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2012 dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di Riyadh.  Beliau telah dipilih untuk menerima anugerah ini atas jasa dan peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar selaras dengan ajaran Syariah.  Beliau juga diiktiraf atas segala jasa beliau seperti sokongan kewangan yang diberikan, mencetak ratusan ribu salinan Al-Quran dan mengedarkan nya secara percuma ke seluruh dunia, terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan tak terkira beliau dalam pembangunan sosio-ekonomi.

Semoga jasa dan bakti yang telah beliau taburkan diingati selalu.  Marilah kita sama-sama berdoa agar usianya dipanjangkan dan hidupnya diberkati Allah dunia dan akhirat.

[/auth]