Lifestyle

Bagaimana Mencapai Kebebasan Kewangan?



Siapa yang tidak pernah mendengar tentang kebebasan kewangan (financial freedom)? Sudah tentu semua pernah mendengar istilah tersebut dan pasti ramai juga yang mengimpikan kebebasan kewangan. Tetapi apakah maksud sebenar kebebasan kewangan?

Kebebasan kewangan adalah keadaan di mana seseorang telah mencapai jumlah simpanan yang cukup banyak dan secara relatifnya selamat, dan cukup untuk memenuhi keperluan hidup sejajar dengan gaya hidup yang diingini. Kebebasan kewangan dapat didefinisikan sebagai suatu fasa yang selamat dan kita mempunyai pilihan untuk tidak bekerja lagi untuk mendapatkan wang, kerana wang telah bekerja untuk kita (pendapatan pasif atau passive income). Pendapatan pasif di sini bermaksud mendapat masukan wang tanpa perlu kita bekerja. Simpanan dapat dikumpul melalui pelbagai cara seperti dengan menabung dan membuat simpanan tetap. Bagi mendapat pulangan yang lebih baik dan mengatasi kadar inflasi, simpanan perlu dikombinasikan dengan pelaburan seperti dana bersama (mutual fund), saham, hartanah dan sebagainya. Pendapatan aktif adalah hasil daripada kerja yang berbayar atau gaji, di mana jika sesuatu kerja tidak dibuat maka gaji tidak diperolehi.

Bagi yang makan gaji, kenaikan gaji biasanya di bawah tahap inflasi dan ini menyebabkan kuasa pembelian semakin menurun sejajar dengan perjalanan masa. Untuk mengatasi keadaan ini, adalah bijak sekiranya kita memikirkan tentang pelaburan asset sambil bekerja. Jika tidak, kita mungkin perlu terus bekerja sampai bila-bila. Berikut adalah fikirang berorientasikan kerja:

  1. Bekerja → Output Pendapatan Aktif → Bekerja Seumur Hidup
  2. Bekerja →  Aset →  Output Pendapatan Pasif → Kebebasan Kewangan

Untuk mencapai kebebasan kewangan, anda perlu membuat simpanan serta pelaburan:

  1. Simpanan + Pelaburan = Perbelanjaan

 

Pola ini adalah ideal, di mana jumlah simpanan dan pelaburan  bersamaan  dengan jumlah perbelanjaan. Dalam kata lain, hanya 50% daripada pendapatan dibelanjakan, manakala selebihnya disimpan atau dilaburkan. Pola ini biasanya sesuai bagi orang muda yang belum berkahwin dan belum dibebani hutang dan liabiliti.  Untuk mencapai sasaran ini, kita harus bekerja dengan bijak. Jika tidak, bagaimana wang kita dapat bekerja keras untuk kita dan menghasilkan pendapatan pasif?

 

  1. Simpanan + Pelaburan = Perbelanjaan – Hutang

Mengikut pola ini, nilai simpanan dan pelaburan bertambah sedikit kerana adanya kewajiban membayar hutang (debt). Keadaan ini sememangnya kurang ideal tetapi ia wajar dilakukan. Keadaan ini terjadi biasanya bagi mereka yang sudah berkeluarga. Peredaran zaman dan kemajuan industri kewangan menyebabkan pertambahan jenis instrumen pinjaman (debt instrument). Ini menyebabkan lebih mudah untuk kita menambah hutang. Semakin banyak perbelanjaan sekarang dibuat dalam bentuk hutang (kad kredit, kredit tanpa cagaran dan sebagainya). Oleh itu, tidak cukup jika kita hanya dengan menjaga keseimbangan di antara simpanan, pelaburan dan perbelanjaan. Kita perlu membuat penilaian yang bijak agar kita dapat bebas dari berhutang. Hutang adalah pembunuh utama kebebasan. Inginkan kebebasan kewangan? Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah bebaskan diri dari hutang. Ini merupakan keutamaan nombor satu.

 

  1. Simpanan + Pelaburan = Perbelanjaan – Hutang + Perlindungan

Ini merupakan pola yang terbaik bagi mereka yang sudah berkeluarga. Walaupun simpanan dan pelaburan tidak terlalu besar seperti sebelumnya, tetapi ini kerana terdapat peruntukan belanjawan untuk perlindunagn (pengurusan risiko) yang biasanya dalam bentuk premium insuran.
Perkembangan industri insuran dan kenaikan belanja pendidikan turut mempengaruhi kebebasan kewangan. Kita perlu memberi perlindungan untuk diri sendiri serta ahli keluarga dalam bentuk insuran atau pelaburan dalam insuran dana pendidikan.
Terdapat beberapa peringkat sebelum mencapai kebebasan kewangan (financial freedom), iaitu:

 

  1. Perlindungan Kewangan (Financial Protection) : Keadaan di mana kita mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi pengeluaran minimum bulanan, untuk 2 hingga 24 bulan, tanpa perlu bekerja.
  2. Jaminan Kewangan (Financial Security): Keadaan di mana kita mempunyai wang simpanan yang mencukupi dan secara relatifnya terjamin. Yakni dapat memenuhi keperluan di atas paras minimum tanpa perlu bekerja lagi, kecualilah jika kita memilih untuk bekerja.
  3. Kemampanan Kewangan (Financial Vitality): Keadaan di mana kita mempunyai nilai pelaburan yang mencukupi dan secara relatifnya terjamin. Kedudukan ini bukan setakat memenuhi tahap Jaminan Kewangan (di atas paras minima) bahkan cukup untuk keperluan sekunder tanpa perlu bekerja, kecualilah anda memilih untuk bekerja.
  4. Berdikari dari segi Kewangan (Financial Independence): Keadaan di mana kita mempunyai pelaburan yang mencukupi dan secara relatifnya terjamin. Pada kedudukan ini, hasil pelaburan memenuhi keperluan kita untuk menjalani gaya hidup kita sekarang. Dalam kata lain kita bebas untuk tidak bekerja.
  5. Kebebasan Kewangan (Financial Freedom): Keadaan di mana di mana kita mencapai pelaburan yang mencukupi dan selamat, di mana hasilnya mencukupi untuk kita menjalani gaya hidup yang kita inginkan (lebih baik dari gaya hidup sekarang).

 

Di manakah kedudukan anda sekarang?

Faktor-faktor lain yang penting untuk mencapai kebebasan kewangan adalah bergantung dengan gaya hidup anda ketika ini, esok dan di masa hadapan. Ada yang suka hidup sederhana dan menginginkan gaya hidup sebegitu. Bagi yang berfikiran demikian, kebebasan kewangan dapat dicapai dalam waktu yang lebih singkat berbanding mereka yang mempunyai cara hidup mewah.

Akhir sekali, kebebasan kewangan bergantung dengan pengurusan perbelanjaan kita sendiri. Kebebasan kewangan merupakan satu pilihan dan bukan kebetulan.