Lifestyle

Hutang: Menguntungkan atau Merugikan?

“Selamat pagi Tuan. Saya menghubungi ini kerana Tuan disenaraikan sebagai pelanggan utama kami untuk mendapat tawaran Kad Kredit Platinum, dengan syarat-syarat mudah. Selain daripada itu, Tuan tidak perlu membayar yuran tahunan untuk tempoh dua tahun pertama.”

Menarik betul tawaran tersebut kan? Saya pasti para pembaca sering menerima tawaran seperti ini. Tahukah anda bahawa di sebalik kenyataan yang menggoda ini adalah perangkap yang dikenali sebagai “Hutang”?

Berhutang mengurangkan kuasa pembelian kita di masa hadapan. Jika kuasa pembelian terus berkurangan (hutang terus bertambah), maka kita akan hilang kuasa pembelian di kemudian hari. Ini dikenali sebagai perangkap hutang. Ia berlaku apabila kita mendapat gaji hanya untuk membayar hutang. Bagaimana pula dengan beban kewangan yang lain seperti keperluan asas, belanja sekolah anak-anak, pengangkutan, bil elektrik, telefon dan sebagainya? Mencari hutang baru? Makin buruk padahnya.

Dari sudut pandangan lain, hutang juga dapat membantu kita dalam situasi tertentu. Contohnya apabila wang diperlukan sewaktu kecemasan. Sudah tentu salah satu penyelesaiannya adalah dengan berhutang. Jadi, bagaimana untuk memastikan bahawa kita bebas dari cengkaman hutang? Dua persoalan ini dapat membantu kita.

  1. Mampukah saya membayar pinjaman/kredit dengan pendapatan yang saya di masa akan datang?
    Kita mula terjebak dalam hutang di saat kita lupa akan kemampuan kita sendiri. Kesenangan untuk melakukan pinjaman atau mengambil kredit menyebabkan kita lupa akan kewajiban untuk membayar balik ansurannya. Bak kata pepatah, besar paku dari tiang. Jika kita tidak berhati-hati ini boleh menjadi satu ancaman yang serius. Saya menyarankan jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan bulanan anda.

 

  1. Adakan pinjaman atau kredit dibuat berdasarkan keperluan atau kehendak semata-mata?

 

Memang sukar untuk membezakan keperluan dengan kehendak. Seorang teman saya mengatakan bahawa perbezaan di antara keperluan dengan kehendak terletak pada fungsi sesuatu. Kehendak adalah tambahan kepada fungsi asas. Jadi kata kuncinya adalah “fungsi”.
Contoh yang mudah, makanan adalah suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan. Bukan manusia sahaja yang memerlukan makanan, malah semua makhluk hidup. Makanan memberi tenaga dan mengekalkan kesihatan badan kita, jadi makanlah makanan yang memberi zat untuk tubuh badan. Makanan mempunyai fungsi utama sebagai sumber tenaga untuk badan. Memberi rasa yang sedap merupakan fungsi tambahannya. Maka maka makanan yang sedap merupakan suatu kehendak, bukan suatu keperluan. Tetapi ini bukan bermaksud anda tidak boleh makan makanan yang sedap. Kita cuma perlu mempertimbangkan samada kos makanan yang sedap itu akan menggangu perbelanjaan keperluan lain atau tidak.
Begitu juga halnya dengan pengambilan pinjaman atau hutang. Keputusan kita akan mempengaruhi kuasa pembelian di masa akan datang. Pertimbangkan fungsi pinjaman atau kredit sesuai dengan keperluan kita. Kawal keinginan kita mendapatkan fungsi tambahan.
Contohnya, memiliki rumah sendiri adalah keperluan semua orang. Selain berfungsi memberi tempat tinggal dan berlindung, rumah sendiri juga memberi keuntungan dari segi kenaikan nilai. Harga tanah biasanya tidak akan turun. Salah satu cara mendapatkan rumah adalah dengan mendapatkan pinjaman dari Bank. Kaji dahulu kemampuan anda membayar balik ansuran pinjaman dan jangan lupa untuk meneliti syarat-syarat yang dikenakan oleh Bank.  Sebagai pelanggan, kita mempunyai hak untuk merunding syarat-syarat pinjaman, cara pembayaran balik dan penentuan kadar faedah pinjaman. Jangan lupa untuk mengawal keinginan yang berlebihan. Jika masih bujang, kita tidak perlu 5 buah bilik tidur kan?

 

  1. Kita tidak perlu takut untuk berhutang asalkan mengikut kemampuan dan keperluan. Bagaimana pula jika anda sudah terlanjur berhutang dan  ingin mengetahui  samada anda sudah terjebak dalam jerat hutang atau tidak?

    Kenalpasti tingkah laku anda terhadap kredit atau pinjaman melalui kenyataan-kenyataan di bawah:
    Selalu atau sering terlambat membayar balik pinjaman

  2. Selalu atau sering kali melakukan pembayaran minimum kad kredit.
  3. Menggunakan kad kredit untuk membeli barang-barang mewah.
  4. Mencari pinjaman baru untuk membayar hutang lama.
  5. Mengeluarkan wang tunai daripada polisi insuran anda.
  6. Tidak mempunyai baki yang cukup dalam simpanan anda.
  7. Meminjam wang daripada kawan-kawan anda.
  8. Sangat bergantung dengan gaji atau bonus dan kerja lebih masa untuk membiayai keperluan bulanan anda.
  9. Mengambil pinjaman untuk kenderaan dan peralatan rumah tangga daripada Bank atau Institusi kewangan lain.
  10. Sering menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan wang tunai.

    Jika lebih daripada 4 kenyataan di atas menerangkan tingkah laku anda ketika ini, maka anda sudah berada dalam masalah kewangan. Anda perlu mengurangkan perbelanjaan sehingga terdapat baki lebihan. Senaraikan mengikut keutamaan, hutang yanf perlu dibayar di bulan hadapan menggunakan jumlah baki yang dikira tadi. Jika belum mencukupi, tingkatkan pendapatan anda dengan bekerja lebih gigih dan bijak.

    Semoga panduan ini berguna untuk anda.