Pelaburan

Panduan Melabur Sebelum Melebur

Melabur bukanlah suatu perkara yang mudah bagi sesetengah orang. Mengapa? Jangankan untuk mula melabur; mendengar perkataan “melabur” pun sudah cukup memeningkan mereka. Cerita-cerita di media tentang kehilangan wang pelabur, kecurian dari akaun dan skim cepat kaya, membuatkan kita takut untuk membuat pelaburan. Ramai pelabur yang mengalami kerugian dalam pelaburan akibat tindakan tidak bertanggung jawab para penasihat kewangan. Takut melabur… Ya…. Trauma….Sememangnya….Jadi bagaimana? Haruskah kita mengambil keputusan untuk lansung tidak melabur? Wah, jangan….
Tiada apa pun di dunia ini yang bebas dari risiko. Tidak ada situasi yang sentiasa menepati harapan dan keinginan kita. Anda mungkin berkata, jadi bagaimana?

Apa yang harus kita lakukan?

Jawapannya: Teruskan melabur.
Rancang Pelaburan

Pelaburan dapat dirancang, malah ia harus dirancang. Proses perancangan merupakan titik permulaan yang bakal menentukan kejayaan atau kegagalan pelaburan anda.

“Perancangan pelaburan merupakan suatu proses yang menentukan bagaimana anda mengumpul asset dan pendapatan tetap ketika ini, untuk keperluan kewangan yang di masa hadapan.”

Apakah keperluan masa hadapan anda? Ini termasuklah perbelanjaan pendidikan anak-anak ke universiti, persediaan untuk bersara, perkahwinan anak-anak, dan tanggungjawab kewangan lain di masa hadapan. Keperluan kewangan di masa hadapan memang akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Persoalan seterusnya adalah: Adakah pelaburan merupakan pilihan terbaik? Ya. Selagi anda melakukan perancangan yang betul, pelaburan tetap menjadi pilihan terbaik.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil dalam merancang pelaburan:

 

  1. Tentukan tujuan / kegunaan pelaburan anda
    Anda perlu menentukan apakah tujuan anda melabur. Adakah wang yang anda laburkan hanya untuk persediaan waktu susah (safety), aliran kewangan biasa (routine cash flow) atau dengan tujuan menambah nilai simpanan (growth). Setelah menentukan tujuan anda, pelaburan harus dibuat berdasarkan tujuan tersebut. Ramai yang membuat pelaburan tanpa menentukan tujuan. Lazimnya mereka melabur kerana melihat rakan-rakan yang mendapat keuntungan mendadak dan menyebabkan mereka terikut-ikut. Tetapi kadang kala bila terikut-ikut, bukannya mendapat keuntungan malah mengalami kerugian.
  2. Tentukan bila wang pelaburan anda akan digunakan

Anda sudah tentu tahu bila wang anda akan digunakan, berapa jumlah yang diperlukan dan apakah tujuan perbelanjaan tersebut. Setelah mengetahui bila anda perlu berbelanja, maka proses memilih jenis pelaburan yang sesuai dengan tujuan tersebut menjadi lebih mudah. Produk pelaburan boleh dibahagikan mengikut tempoh pelaburan: Jangka masa pendek (1-2 tahun), Jangka masa sederhana (2-5 tahun) dan jangka masa panjang (>5 tahun).

 

  1. Kenalpasti Risiko Pelaburan
    Setiap pelaburan mempunyai risiko. Tidak ada pelaburan yang bebas dari risiko. Namun begitu, anda harus ingat bahawa setiap risiko pasti ada keuntungannya. Risiko dan keuntungan sentiasa berhubung kait. Risiko tinggi pasti memiliki keuntungan yang tinggi, dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya anda pernah ditawarkan dengan produk pelaburan yang tidak mempunyai risiko tetapi menjanjikan keuntungan yang tinggi, maka terdapat dua perkara yang boleh disimpulkan: “penjual tersebut seorang penipu, atau penjual tersebut adalah bodoh.”
  2. Tentukan berapa banyak wang yang akan dilaburkan dan berapa kerap anda akan melaburkan wang

Mengapa perkara ini penting? Ini kerana terdapat pelaburan yang mempunyai syarat pelaburan minima. Oleh itu anda harus mengetahui berapa jumpah wang yang akan anda laburkan. Ini penting supaya anda dapat mengambil keputusan samada untuk membuat pelaburan sekali gus (lump sum) atau secara ansuran bulanan. Ini berkaitan dengan kaedah pelaburan. Kedua-dua kaedah tersebut mempunyai kelebihan tersendiri. Namun begitu, daripada beberapa artikel berkenaaan pelaburan, didapati bahawa semakin kerap anda melabur, semakin efisyen hasil pelaburan anda.

  1. Senaraikan pilihan instrument pelaburan anda
    Terdapat pelbagai jenis instrumen pelaburan di pasaran. Terdapat jenis obligation, saham, dana bersama (mutual fund), ETF (Exchange Traded Fund), komoditi dan option. Ramai yang melabur buat pertama kali kerana diperkenalkan oleh teman-teman atau tidak mengetahui jenis-jenis pelaburan yang lain. Apabila mengalami kerugian, orang tersebut menjadi trauma. Anda perlu melalukan kajian tenatng produk yang ada di pasaran, kemudian mempelajari ciri-ciri setiap produk. Tentukan produk mana yang anda rasa paling sesuai dengan keperluan dan tujuan pelaburan anda.
  2. Implementasi
    Anda sekarang sudah melakukan perancangan, memilih jenis pelaburan dan sedia dengan modal pelaburan. Tiba masanya untuk bertindak mengikut rancangan anda. Ramai orang yang bijak merancang tetapi tidak pernah melaksanakan rancangannya. Bagaiman anda akan mencapai tujuan jika anda tidak mula melangkah. Takut? Bukankah anda telah membuat perancangan yang baik. Setelah merancang dengan baik, perlaksanaannya harus berjalan lancar seperti yang diharapkan.

 

  1. Lakukan pemantauan dan penilaian ke atas pelaburan anda

Pemantauan pelaburan penting untuk mengetahui tindakan yang harus diambil sekiranya rancangan dan perlaksanaan yang anda lakukan melencong jauh. Anda perlu mengambil keputusan untuk bertindak. Jangan hanya bergantung dengan maklumat dari orang lain atau penasihat anda. Pernah berlaku kejadian malang di mana pelabur kehilangan pelaburan bermillion ringgit kerana pelabur terlalu percaya dan tidak memantau pelaburannya.

Sebenarnya membuat pelaburan bukanlah perkara yang senang. Anda perlu belajar secara berterusan dan tidak putus asa apabila gagal. Dunia pelaburan terus berkembang dan sangat dinamik, di mana peluang melabur terus datang ke arah anda. Langkah-langkah di atas dapat dijadikan panduan pertama anda apabila mahu melabur. Dalam artikel seterusnya, penulis akan menjelaskan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan dunia pelaburan dan perlaksanaannya. Selamat melabur, dan selamat berjaya.