Pelaburan

Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah terbukti merupakan salah satu bentuk pelaburan yang membolehkan seseorang itu membina kekayaan, terutama jika rumah itu dibeli di bawah harga pasaran. Dalam proses jual beli rumah, apa yang penting adalah untuk pelabur cuba mengkaji kitaran pasaran. Ini penting agar pembelian dapat dilakukan dengan harga yang rendah dan dapat dijual pada harga yang lebih tinggi. Selain itu, p elabur juga perlu memastikan harga rumah berada di bawah nilai harga pasaran bagi kawasan tersebut. Ini kebiasaannya boleh berlaku jika pembelian tadi dibuat semasa kegawatan ekonomi atau jika penjual rumah tadi terdesak untuk menjual rumahnya. Tawarkan harga sekurang-kurangnya 20% hingga 30% di bawah harga pasaran, agar anda memperoleh margin keuntungan yang tinggi atas pembelian itu tadi walaupun hartanah ini dijual semula serta merta. Sudah tentu lebih baik jika pelabur dapat menunggu seketika sebelum menjual semula, kerana semakin lama hartanah itu kita simpan, maka besar kemungkinan semakin tinggi nilainya di pasaran.

Selain itu pelabur juga perlu membuat penyelidikan sendiri dan bersedia untuk sebarang kemungkinan bagi memastikan anda berjaya mendapat pulangan lumayan daripada sebidang tanah atau sebiji rumah yang dijual. Terdapat juga beberapa perkara penting yang perlu diambil kira sebelum menandatangani perjanjian S&P bagi sebarang bentuk hartanah. Pertamanya, pelabur perlu bijak memilih lokasi hartanah tersebut. Umum maklum, pelaburan hartanah perlulah dibuat dalam kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Nilai tanah juga akan meningkat sekiranya terdapat kemudahan asas seperti sekolah, taman rekreasi, deretan kedai runcit yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan lrt serta lalu lintas yang tidak sibuk. Selain itu, jenis pegangan hak milik hartanah juga penting kerana kebanyakan pelabur/pembeli gemar membeli hartanah pegangan kekal atau ‘freehold’ berbanding pegangan pajakan atau ‘leasehold’. Ramai yang tidak berminat untuk membeli hartanah pegangan pajakan, kerana tanah yang anda beli hanya boleh dimiliki selama tempoh pajakan, iaitu 99 tahun atau kurang daripada itu. Selepas tempoh pajakan, tanah itu perlu diserahkan semula kepada pihak berkuasa dan anda akan diberi bayaran mengikut penilaian harga hartanah pada ketika itu. Pembeli atau pelabur juga perlu memilih jenis hartanah yang ingin dibeli. Ada yang gemar untuk melabur dalam rumah bertanah atau ‘landed’ berbanding rumah bertingkat atau strata seperti pangsapuri atau kondominium. Nilai harga rumah bertanah didapati lebih cepat meningkat, namun begitu bagi mereka yang baru bekerja, kebanyakannya akan memilih untuk tinggal atau membeli pangsapuri, dek disebabkan harganya yang murah berbanding harga rumah bertanah.

[auth]

Kualiti rumah juga perlu diambil kira. Sekiranya rumah itu sudah lama dibina, maka anda perlu memperuntukkan sedikit bajet untuk menukar sistem pendawaian elektrik, membaik pulih sistem air dan juga melakukan sedikit kerja-kerja mengecat dan mengubahsuai sebelum hartanah itu dapat dijual semula. Kajian juga harus dibuat terhadap pemaju perumahan tersebut. Elakkan daripada membeli hartanah daripada pemaju yang bermasalah, kerana kualiti rumah mungkin akan rendah atau dibuat secara sambil lewa. Selain itu, elakkan membeli projek perumahan yang pernah terbengkalai.

Seterusnya, nilai kemampuan anda. Ini penting, bak kata pepatah ‘Ukur baju di badan sendiri’. Jika ingin membuat pelaburan dalam bidang hartanah, anda perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar wang pendahuluan, kebiasaannya antara 5% – 20%. Sejumlah wang juga harus diperuntukkan untuk membayar yuran guaman dan duti setem bagi kedua-dua perjanjian dengan pihak penjual / pemaju dan perjanjian dengan pihak bank yang memberi pinjaman. Pastikan juga aliran tunai anda mencukupi pada setiap bulan untuk membayar ansuran bulanan.

Selain daripada menggunakan wang simpanan anda untuk membayar kos-kos diatas, anda juga boleh menggunakan wang tabung KWSP. Pengeluaran boleh dibuat melalui Akaun 2. Jika rumah dibeli melalui pinjaman bank, maka jumlah simpanan yang boleh dikeluarkan adalah 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun 2, bergantung kepada mana yang lebih rendah. Pengeluaran untuk membeli rumah kedua pulak hanya dibenarkan sekiranya rumah pertama yang dibeli telah dijual atau berlakunya pelupusan pemilikan akibat dilelong, diserahkan melalui perintah mahkamah, pindah milik atas dasar kasih sayang, rumah yang musnah akibat bencana alam atau kebakaran, projek rumah terbengkalai atau pembatalan pembelian rumah. Anda boleh layari website KWSP www.kwsp.gov.my untuk keterangan lebih lanjut.

Selain daripada membeli dan menjual hartanah, ada juga pelabur yang lebih berminat untuk menyewakan rumah mereka bagi mendapatkan aliran wang tunai positif. Kadar sewa yang diberikan perlulah menjana lebihan wang selepas ditolak dengan bayaran seperti ansuran bulanan bank, yuran penyelenggaraan, cukai taksiran dan sebagainya untuk mendapatkan aliran wang tunai positif, seterusnya mendatangkan pendapatan pasif kepada empunyanya.

Secara ringkasnya, dalam pelaburan hartanah, pengetahuan sememangnya perlu untuk mendapat pulangan nilai ringgit yang tinggi. Dan tidak mustahil bagi anda untuk menjadi jutawan hanya dengan melakukan pelaburan dalam bidang hartanah. Bak kata jutawan internet, saudara Irfan Khairi:

‘Walaupun ramai “jutawan” akan menjadi “bukan jutawan” bila ekonomi jatuh, di waktu yang sama, ramai juga yang “bukan jutawan” akan menjadi “jutawan” oleh kerana bijak mengambil peluang ekonomi jatuh.’

[/auth]