Pelaburan

Simpanan Bon, Pelaburan Jangka Panjang

Bon secara amnya adalah satu akujanji hutang yang diterbitkan sama ada oleh badan-badan kerajaan ataupun syarikat. Dengan kata lain, bon adalah sijil atau sekuriti hutang yang menunjukkan bahawa seseorang pelabur telah meminjamkan wang kepada sebuah syarikat atau kerajaan dan beliau akan mendapat pulangan faedah tetap dan bayaran balik modal.

Pelabur akan meminjamkan wang kepada syarikat dengan membeli bon yang telah diterbitkan oleh syarikat tersebut. Selepas tempoh tertentu, syarikat akan membayar semula jumlah yang telah dipinjam daripada pelabur. Namun begitu, sementara menunggu tempoh matang, syarikat akan membayar faedah kepada pelabur secara berkala mengikut kadar yang telah ditetapkan. Kadar ini juga dikenali sebagai kupon.

Bon diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah peraturan berasaskan pendedahan (disclosure-based regulation) dan pelabur hendaklah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh penerbit, dalam dokumen transaksi dan melalui lain-lain saluran informasi yang berkaitan.

Apa itu nilai par, masa matang dan kadar kupon?

Nilai par merujuk kepada jumlah wang yang akan diterima oleh pelabur selepas bon tersebut mencapai tarikh matang. Dalam erti kata lain, pelabur akan menerima semula keseluruhan jumlah pelaburan yang telah dilaburkan.

Masa matang merujuk kepada tarikh atau tempoh di mana bon yang dibeli oleh pelabur itu telah mencapai nilai penuhnya. Ketika tarikh tersebut, pelabur akan menerima jumlah keseluruhan pelaburan beserta faedahnya sekali.

Kadar kupon pula merujuk kepada faedah yang diterima oleh pelabur apabila bon tersebut mencapai tarikh matang. Jumlah ini biasanya dalam peratusan dan pelabur mesti menggunakan informasi lain untuk mencari kadar faedah tersebut. Sebagai contoh, bon yang mempunyai nilai par RM1000 dengan kadar kupon 10% akan menghasilkan RM100 setahun sehingga ia mencapai tarikh matang.

Jenis-jenis bon

Terdapat dua jenis bon yang biasa diterbitkan di Malaysia iaitu bon kerajaan dan bon korporat. Bon kerajaan diterbitkan oleh pihak kerajaan,  Bank Negara Malaysia dan institusi separa kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad,

Danamodal dan Danaharta.

Sementara bagi bon korporat dan sekuriti bersandarkan aset pula, ianya diterbitkan oleh Cagamas Berhad, institusi kewangan dan syarikat bukan kewangan.

Ukuran kualiti kredit bon

Penilaian kualiti kredit bon sebahagian besarnya dijalankan oleh agensi penarafan bon. Di Malaysia, terdapat dua agensi penarafan bebas, iaitu Rating Agency Malaysia Bhd (RAM) dan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).
Penilaian bon korporat bermula dari AAA (berkualiti tinggi) kepada D (kualiti terendah atau mungkir). Bon yang dikelaskan dengan penarafan BBB dan ke atas adalah gred pelaburan, manakala mereka yang di bawah BBB adalah bon bukan gred pelaburan.

Faktor yang mempengaruhi bon

Masa matang

Cuba anda pertimbangkan dua bon yang setiap satunya bernilai RM1000 dan memberi pulangan sebanyak 10%. Bon yang matang dalam tempoh setahun akan lebih cepat dibayar balik kosnya berbanding bon yang matang dalam tempoh lima tahun. Bon yang singkat tempoh matangnya mempunyai risiko dan kos yang lebih rendah. Semakin lama tempoh matang, semakin tinggi kos bayaran balik yang perlu ditanggung.

Kadar kupon

Jika dua bon yang sama membayar kadar kupon yang berbeza, bon dengan kupon yang lebih tinggi akan membayar balik kos asalnya lebih cepat berbanding dengan bon yang lebih rendah bayaran kuponnya. Lebih tinggi bayaran kupon , lebih rendah tempohnya.

Perbezaan pelaburan bon dan saham

Bon merupakan sejenis hutang. Apabila pelabur membeli bon, pelabur tersebut adalah pemiutang kepada syarikat. Bon mempunyai masa matang dan memberi pulangan kepada pelaburan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Saham pula adalah sejenis ekuiti di mana apabila pelabur membeli saham, pelabur tersebut mempunyai sebahagian syer daripada syarikat tersebut. Saham tersebut sah sepanjang syarikat beroperasi. Pulangan yang diterima adalah dalam bentuk dividen bergantung kepada pencapaian semasa syarikat.

Kebaikan pelaburan bon

Pulangan faedah secara tetap setiap tahun tanpa dipengaruhi oleh prestasi semasa syarikat.

Pemegang bon mempunyai keutamaan yang lebih berbanding pemegang saham biasa dalam pengagihan keuntungan.
Kelemahan pelaburan bon

Berbeza dengan pemegang saham, pemegang bon tidak akan dibayar lebih jika syarikat mendapat lebihan keuntungan. Pemegang bon hanya akan dibayar mengikut kadar yang telah ditetapkan sahaja.

Pemegang bon tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam mesyuarat yang diadakan oleh pihak syarikat.

Risiko dalam pelaburan bon

Pelaburan bon amat sesuai untuk pelabur yang tidak suka menghadapi turun naik pasaran saham. Jika seseorang pelabur itu mempunyai beberapa jenis produk yang berisiko tinggi dalam portfolionya, adalah baik untuk beliau melabur dalam bon untuk menyeimbangkan tahap pelaburannya.

Pelaburan bon biasanya terdedah kepada dua jenis risiko iaitu risiko kredit dan juga risiko kadar faedah. Risiko kredit adalah apabila penerbit gagal membayar kupon atau tidak mampu membayar balik duit modal pada tarikh matang. Manakala, risiko kadar faedah yang juga dikenali sebagai risiko harga/pasaran merupakan kemungkinan hasil pulangan/duit modal susut akibat perubahan kadar faedah yang menjejaskan harga bon.