Perniagaan, Perniagaan Francais

Program Perniagaan Francais McDonalds

logoMcD

McDonalds – I’m Lovin’ It.

McDonalds, tentunya satu nama yang tidak asing lagi di hati kita. Bertepatan dengan slogan yang dibawa, McDonalds merupakan satu jenama peruncit perkhidmatan makanan segera yang terkemuka, tentunya digemari dan disukai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan peringkat umur. Ia merupakan satu produk makanan segera yang menyediakan hidangan burger daging dan ayam, kentang goreng, ayam goreng, minuman ringan, makanan sarapan pagi, susu kocak, aiskrim dan pelbagai lagi hidangan lazat dan berkhasiat dengan harga yang amat berpatutan. Sejarah penubuhan McDonalds bermula pada tahun 1940, dengan pembukaan sebuah restoran oleh adik-beradik Dick dan Mac McDonald. Walau bagaimanapun, tarikh penubuhan McDonalds hanya diisytiharkan pada tahun 1955, sempena tarikh pembukaan restoran francaisnya yang pertama oleh Ketua Pegawai Eksekutif McDonalds pada ketika itu, Ray Kroc. Restoran francais Ray Kroc ini merupakan restoran McDonalds yang ke-sembilan yang telah dibuka pada ketika itu.

Statistik Perbadanan McDonalds Amerika Syarikat pada hari ini menunjukkan pemilikan lebih 33, 000 restoran McDonalds merentasi 119 negara. Daripada jumlah restoran ini, lebih daripada 75 peratus restoran McDonalds di seluruh dunia, dimiliki dan dikendalikan oleh usahawan tempatan negara itu melalui program francais yang ditawarkan oleh pihak McDonalds sendiri. Umum juga mengetahui bahawa McDonalds bergantung sepenuhnya kepada program francaisnya sebagai teras utama kejayaan syarikat itu.

Di Malaysia, McDonalds secara progresifnya sedang merangka pelan untuk mengembangkan aspek francais perniagaan mereka di sini. Menyusuri sejarah bermulanya nama McDonalds di Malaysia, ia membina namanya di Malaysia buat pertama kalinya pada bulan Disember 1980, apabila Perbadanan McDonalds Amerika Syarikat menganugerahkan Golden Arches Restaurants Sdn Bhd, lesen untuk mengendalikan rangkaian restoran McDonalds di Malaysia. Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi yang paling strategik, dan seterusnya pada 29 April 1982, restoran McDonalds yang pertama di Malaysia telah dibuka. Dengan pembukaan restoran ini, McDonalds Malaysia telah dinobatkan sebagai restoran pertama beroperasi di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Kini, McDonalds Malaysia telah mempunyai sebanyak 204 rangkaian restoran di seluruh negara dan membuat projeksi pertumbuhan restoran baru dengan kadar antara 15-20 buah restoran pada setiap tahun. Dengan pembukaan restoran baru ini, sudah tentu peluang pekerjaan untuk warga tempatan juga bertambah. Anggaran sebanyak 1500 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan menerusi pembukaan restoran baru ini, penambahan kakitangan serta pemodelan semula restoran-restoran yang sedia ada.

Menjelang tahun 2014, McDonalds Malaysia merancang untuk memiliki 300 restoran, dan membuat projeksi akan melayan lebih 12 juta pelanggan pada setiap bulan! McDonalds Malaysia juga kini menguasai 42 peratus pasaran Restoran Perkhidmatan Segera (QSR) di Malaysia, berbanding restoran perkhidmatan makanan segera yang lain seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), Burger King, A&W, Pizza Hut, Dominos Pizza dan lain-lain lagi. Daripada projeksi jumlah 300 restoran ini, McDonalds Malaysia merancang untuk mempunyai sehingga 30 peratus restoran francais menjelang tahun 2014.

PELUANG FRANCAIS

Bagi mereka yang tertanya-tanya bagaimana untuk berpeluang menjadi salah seorang penerima francais McDonalds, terdapat dua pilihan bentuk francais McDonalds yang ditawarkan. Penerima francais mempunyai peluang untuk memilih sama ada francais berbentuk restoran yang baru (start from scratch) atau membeli sebuah restoran McDonalds yang sedia ada. Pilihan ini walau bagaimanapun adalah bergantung kepada peluang francais yang ada ketika penerima francais tamat sesi latihan mereka. Sudah tentu kos yang diperlukan juga adalah berbeza antara keduanya. Tempoh jangkaan francais pula adalah selama 10 tahun atau mengikut tempoh pajakan premis.

Bagi penerima francais yang berpeluang untuk membuka restoran baru, kos untuk memulakan perniagaan adalah antara RM2.0 juta sehingga RM4.5 juta, bergantung kepada saiz restoran, jenis restoran (pandu lalu, pusat membeli belah, perjanjian dengan syarikat minyak atau deretan kedai), lokasi, gaya hiasan dan landskap. McDonalds tidak menyediakan sebarang bantuan pinjaman, oleh itu pinjaman haruslah dibuat dengan firma kewangan dan perbankan di Malaysia. Tidak kurang daripada 30% daripada kos permulaan adalah dari sumber peribadi, manakala selebihnya, iaitu maksima 70 peratus baki jumlah kos boleh lah dipinjam daripada mana-mana firma kewangan.

Pecahan kos untuk francais restoran baru adalah seperti yang tertera dibawah, walau bagaimanapun ia hanyalah anggaran kos dan mungkin berbeza daripada kos yang sebenar.

Bagi pilihan francais yang kedua iaitu dengan mengambil alih restoran McDonalds yang sedia ada, harga yang ditawarkan kepada penerima fraincais McDonalds biasanya adalah berdasarkan nilai pasaran restoran. Yuran francais dan deposit keselamatan seperti yang dinyatakan di atas juga perlu dibayar oleh penerima francais.

Selain itu, penerima francais juga harus mengambil kira kos berterusan yang dibayar secara bulanan, seperti bayaran royalti yang kini berada pada paras 5% berdasarkan peratusan daripada jualan kasar restoran. Lain-lain kos bulanan seperti pembayaran sewa yang bergantung kepada jenis kedai, lokasi dan prestasi. Sewa yang dikenakan juga mungkin berbeza-beza antara 13% hingga 20%. Para penerima francais juga dikehendaki memberi sumbangan bulanan ke atas pemasaran, yang kini berada pada paras 5% daripada jualan kasar restoran.

Seperti biasa, kos-kos yang dinyatakan ini hanyalah anggaran dan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang mungkin dilakukan oleh pihak McDonalds sendiri.

KELEBIHAN PENERIMA FRANCAIS

Sebagai salah seorang penerima francais McDonalds, secara tidak langsung anda berpeluang untuk menyumbang kepada kejayaan McDonalds. Bernaung di bawah jenama produk makanan segera yang terkenal dan tidak asing lagi, penerima francais juga mempunyai kelebihan dari segi pengiklanan dan juga pemasaran, ini kerana McDonalds mempunyai pasaran perniagaan yang luas di seluruh dunia dan jenamanya telah dikenali lebih daripada 70 tahun. Ini juga bermaksud, pihak penerima francais tidak akan berhadapan dengan sebarang sekatan perniagaan daripada kerajaan tempatan untuk memulakan perniagaan.

McDonalds juga memberi sokongan penuh dalam memastikan penerima francaisnya berjaya dalam perniagaan, termasuk sokongan dalam operasi restoran, latihan yang intensif sebelum memulakan perniagaan dan pembelian peralatan untuk restoran dan bekalan bahan mentah. Keseragaman juga dikekalkan pada konsep setiap restoran. Malahan konsep makanan juga mudah diterima oleh penduduk Malaysia sama ada di bandar atau luar bandar. Disamping itu harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan adalah rendah dan mampu dibeli oleh setiap lapisan masyarakat.

PROSES PERMOHONAN

Jika anda antara mereka yang mempunyai ciri-ciri dan kriteria yang diingini, dan ingin mencuba menjadi salah seorang daripada penerima francais, maka anda boleh membuat permohonan dengan mengisi borang permohonan seperti yang terdapat di dalam laman web McDonalds Malaysia. Satu temuduga akan diadakan untuk pemohon yang layak berdasarkan borang permohonan yang dihantar, dengan menfokus kepada latar belakang pemohon, matlamat dan visi pemohon, status kewangan dan kepentingan dalam McDonalds. Sekiranya temuduga ini berjaya, maka McDonalds Malaysia akan mengadakan Penilaian Kerja (On The Job Evaluation – OJE). Proses Penilaian Kerja ini memerlukan pemohon bekerja secara fizikal di McDonalds dan dipantau oleh wakil dari McDonalds Malaysia. Kebiasaannya proses ini akan mengambil masa antara 3 hingga 5 hari. Objektif proses Penilaian Kerja ini adalah untuk membantu pemohon francais mendapat gambaran sebenar situasi kerja di McDonalds dan melihat sama ada ia bersesuaian dengan pemohon francais ataupun tidak.

Jika semuanya berjalan lancar, McDonalds akan menawarkan sesi latihan formal sepenuh masa yang komprehensif untuk jangka masa lebih kurang setahun atau mungkin lebih kepada pemohon yang berjaya. Program ini akan memberi persediaan kepada pemohon dengan mengajar mereka segala aspek operasi restoran McDonalds. Di samping itu, sesi latihan ini juga dilihat dapat memberi peluang kepada pihak McDonalds untuk menilai potensi penerima francais mereka.

KESIMPULAN

Sektor francais tempatan adalah antara segmen perniagaan yang semakin mendapat perhatian ketika ini apabila ia menyumbang 2.5 peratus atau RM21.48 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu. Peratusan ini telah dibentangkan sendiri oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA) dalam Persidangan Francais Antarabangsa kali ke-12 (FIM 2012) baru-baru ini.

Berdasarkan prestasi McDonalds di Malaysia serta statistik yang dipamerkan, tentunya ia menjadi perangsang kepada warga Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi penerima francais McDonalds dan mengendalikan perkhidmatan restoran makanan segera dengan jenama yang diiktiraf dan dikenali di dunia ini. Penerima francais juga perlu melihat aspek positif kesan daripada pembukaan restoran-restoran baru, iaitu akan ada lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan seterusnya mengukuhkan kekuatan usahawan di Malaysia.

Jadi, apa yang perlu anda tunggu lagi? Jika anda mempunyai misi dan visi yang tinggi, integriti diri yang tinggi, semangat keusahawanan dan keinginan yang kuat untuk berjaya, ingin merasai pengalaman bekerja di bawah naungan jenama yang terkenal dan diiktiraf, mempunyai modal yang mencukupi dan berkeupayaan untuk menguruskan kewangan, memiliki lokasi yang strategik, dapat memotivasi dan melatih mereka yang terlibat bersama anda dan yakin dengan strategi perniagaan anda, pastinya francais McDonalds mampu memberikan anda keuntungan yang lumayan. Ayuh! Silakan. Sahut lah cabaran ini!