Bisnes Stesen Minyak Menguntungkan?

0
6605

Tindakan kerajaan untuk membuka semula permohonan baru bagi stesen minyak di luar bandar sejak ianya dibekukan dari tahun 2007 memberi peluang kepada individu di luar sana yang mahu berkecimpung dalam bidang peruncitan petroleum di luar bandar. Tindakan itu diambil bagi memastikan pengguna di luar bandar tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel di dalam urusan harian mereka. Peluang ini seharusnya direbut dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja kerana menjual barang keperluan harian pastinya akan memberikan keuntungan. Selain itu juga, perniagaan stesen minyak ini perlu diberi lebih perhatian lagi kerana ianya adalah satu aktiviti perniagaan yang melibatkan hampir setiap lapisan masyarakat. Tanpa petrol dan diesel, sukar bagi seseorang individu itu untuk menjalankan tugas hariannya.

Cara membuka perniagaan syarikat minyak

CODO (Company Owned, Dealer Operate)

CODO adalah di mana syarikat minyak itu sendiri yang akan mengeluarkan modal untuk membeli atau memajak tanah, mendapatkan kelulusan daripada pihak-pihak berwajib, mendirikan stesen minyak dan seterusnya mendapatkan CCC (dahulunya dikenali sebagai CFO). Setelah stesen minyak itu selesai dibina, stesen tersebut akan diserahkan kepada dealer untuk menjalankan perniagaan. Di sini, dealer tidak perlu mengeluarkan modal untuk membina stesen tersebut, tetapi hanya perlu mengeluarkan modal untuk membeli minyak dan stok barangan di dalam kedai. Dealer akan memperolehi keuntungan berdasarkan komisen daripada hasil jualan minyak. Komisen tersebut telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan perlu dipatuhi oleh semua dealer yang terbabit.

Jika anda mempunyai kawasan tanah yang strategik, anda boleh menjual atau memajakkan tanah tersebut kepada syarikat minyak yang berminat. Syarikat minyak akan membuat kajian terlebih dahulu sama ada tanah tersebut sesuai untuk dibina stesen minyak sebelum membuat keputusan untuk membeli/memajak tanah tersebut.

Keluasan tanah yang diperlukan untuk membina stesen minyak adalah lebih kurang satu ekar. Keluasan ini setelah diambil kira serahan kepada JKR untuk pelebaran jalan dan juga serahan kepada JPS untuk rezab parit. Namun begitu, serahan tanah kepada pihak JPS mungkin tidak diperlukan, bergantung kepada lokasi.

Bagi yang berminat untuk menjalankan perniagaan stesen minyak ataupun bercita-cita ingin menjadi seorang usahawan, anda boleh memohon untuk menjadi dealer untuk syarikat-syarikat minyak yang menawarkannya. Anda boleh menyemak syarat-syarat yang diperlukan melalui laman sesawang syarikat minyak tersebut.

DODO (Dealer Owned, Dealer Operate)

DODO memerlukan dealer melakukan semua urusan sendirian (starts from scratch). Ini termasuk menyediakan tanah, membina stesen minyak dan menjalankan operasi perniagaan setelah kesemunaya siap. Syarikat minyak hanya terlibat dalam proses memberikan lambang syarikat untuk tujuan operasi.
Syarikat minyak dan dealer akan terlibat dalam perjanjian pembekalan produk petroleum sahaja. Syarikat minyak akan menjadi pembekal, dan dealer akan menjualnya kepada pengguna. Sebagai balasannya, dealer akan memperolehi komisen daripada syarikat minyak berdasarkan setiap liter minyak yang dibeli.
Stesen minyak yang dibangunkan mengikut konsep DODO biasanya terletak di kawasan luar bandar. Kawasan tanah yang berada di luar kawasan dan kurang strategik seringkali menjadi tumpuan syarikat minyak untuk dimajukan. Jika anda mempunyai tanah di kawasan terbabit, anda boleh mencuba untuk memajukannya sebagai stesen DODO.

Kos pembinaan dan standard yang diperlukan untuk stesen DODO tidak terlalu tinggi sekitar antara RM350, 000 hingga RM750, 000 berbanding dengan stesen CODO yang kosnya boleh mencecah RM1 juta dan lebih.

Antara asas penting bagi pemilihan lokasi;

1.Stesen minyak/servis harus di tempatkan dengan jarak yang bersesuaian dari sesuatu punca perkiraan yang penting seperti persimpangan, selekoh, puncak bukit dan lain-lain.

2.Jalan masuk dan keluar tidak mengganggu laluan utama yang boleh membawa kepada kesesakan lalu lintas.

3.Sudut masuk hendaklah tidak melebihi 45 darjah. Semakin rendah ukuran darjah bagi sudut masuk adalah lebih baik bagi memberi keselesaan dan keselamatan keluar masuk.

4.Stesen minyak/servis tidak boleh ditempatkan di sepanjang jalan yang mempunyai rezab jalan kurang dari 50 kaki (15m).

5.Jika paras (level) tapak cadangan adalah berbeza dari jalan, kecerunan laluan masuk dan keluar ke tapak yang dibenarkan hendaklah tidak melebihi 1:15, atau mana-mana nisbah yang telah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya.

Kemudahan-kemudahan lain yang boleh disediakan di tapak stesen;

Penjualan minyak motor dan pelincir
Servis kenderaan
Pelinciran (lubrication)
Membasuh dan mengilap kenderaan
Servis tayar kenderaan
Alignment/wheel-balancing
Jualan alat ganti kenderaan
Jualan makanan ringan dan minuman
Penyediaan pondok atau bangunan kecil untuk menjual makanan secara tertutup

Perkara-perkara yang perlu diambil kira;

1.Stesen yang dibina perlu dapat dilihat dari jarak yang munasabah. Lambang syarikat dapat dilihat dengan jelas bagi memudahkan pengguna. Papan tanda petunjuk arah yang mencukupi juga perlu disediakan.

2.Pengguna yang ingin mengisi minyak atau menunggu giliran tidak perlu berhenti di laluan awam atau tempat-tempat awam yang dibuka untuk lalu lintas.

3.Tidak digalakkan untuk membina stesen di bahagian dalam selekoh jalan, di laluan orang ramai atau laluan kenderaan yang banyak, dan di laluan yang sesak dengan lalu lintas.