Buat Duit Dengan Hartanah Maya – Flippa

0
550

Pernahkah anda mendengar tentang hartanah maya? Seiring dengan perkembangan teknologi, telah muncul satu perniagaan di mana kita boleh menjana pendapatan melalui hartanah maya. Hartanah maya ini bukanlah tanah atau bangunan seperti yang kita biasa dengar, tetapi adalah website ataupun blog. Kedua-dua ini digelar hartanah maya kerana mempunyai nama ‘domain’ dan juga ‘hosting’. Nama ‘domain’ ini boleh diibaratkan sebagai alamat rumah manakala ‘hosting’ pula sebagai tapak perumahan. Contoh nama ‘domain’ adalah http://www.usahawan.com/. Konsepnya lebih kurang sahaja dengan pengendalian hartanah yang biasa, cuma hartanah maya ini mengambil tempat di dalam Internet. Jika anda sudah mempunyai hartanah maya atau baru bercita-cita hendak memilikinya, di manakah tempat untuk mendapatkannya? Jawapannya sudah tentulah Flippa.com!

Apa itu Flippa.com?

Secara ringkasnya, Flippa.com merupakan satu platform untuk kita menjual atau membeli website. Konsep jual beli website di Flippa adalah berasaskan lelong sama seperti eBay.com yang merupakan tempat untuk jual beli barang fizikal di Internet. Bezanya, di Flippa, jual belinya hanya berfokus kepada jual beli website dan domain sahaja. Website yang dijual bukan sahaja terdiri daripada yang baru (baru dibina dan terus dijual) tetapi website yang sudah lama dibina juga turut boleh dijual di sini. Flippa kini merupakan salah satu cabang dalam perniagaan Internet yang kian mendapat tempat di hati penggemar-penggemar IT yang mempunyai kemahiran membina website.

Pengasas Flippa.com

Kebanyakan kita hanya mengetahui yang Flippa berasal daripada SitePoint dan dengan pantasnya bergerak menjadi pasaran nombor satu untuk proses jual beli website. Tapi, apa yang kita tidak tahu adalah, SitePoint sebenarnya telah dibina oleh Mark Harbottle dan Matt Mickiewicz yang juga merupakan pengasas kepada Flippa.com pada tahun 1999. Apabila trafik di SitePoint mencapai tahap maksimumnya dan komuniti forumnya semakin berkembang, tidak lama kemudian, pengendali laman web ini mula menawarkan laman mereka untuk dijual kepada ahli-ahli komuniti SitePoint. Tindakan inilah yang membawa kepada pelancaran perniagaan web yang baharu, Flippa.com pada tahun 2009. Flippa bukanlah satu-satunya syarikat yang bermula daripada SitePoint, tetapi nama-nama besar yang lain seperti 99designs, Learnable, dan Wave Digital juga turut bermula daripada SitePoint.

Mengapa Flippa.com?

Kini bagaikan sudah menjadi trend di negara-negara barat untuk membeli sahaja website untuk kegunaan perniagaan mereka berbanding membinanya sendiri kerana mereka menganggap kerja tersebut adalah satu perkara yang remeh dan lapuk. Melihat kepada trend semasa ini, individu-individu yang mempunyai kemahiran komputer atau tinggi tahap penggunaan teknologinya, harus mengambil kesempatan untuk menjana pendapatan yang dilihat sungguh lumayan ini. Salah satu platform untuk anda memulakan langkah tersebut tentulah di Fippa.com. Ini kerana, di Flippa.com, pasarannya tidak terhad hanya di Malaysia sahaja, malah mencangkupi seluruh dunia! Manariknya lagi di Flippa.com ini, terdapat laman web yang baru dibina dalam masa satu hari sahaja, kemudian terus dapat dijual dengan pantas pada masa itu juga. Dapatkah anda bayangkan betapa tingginya permintaan terhadap hartanah maya ini?

Tips menjual hartanah maya anda

Dalam membina website atau blog, perkara yang paling penting untuk diambil berat tentunya adalah domain. Domain website atau blog ini sebenarnya boleh diumpamakan sebagai sebuah jenama perniagaan. Semakin terkenal atau popular sesebuah domain itu, semakin tinggi nilainya. Faktor inilah yang mendorong para ‘blogger’ atau usahawan internet sibuk berusaha untuk menarik trafik datang melawat ke website/blog mereka.
Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk menjual domain/website/blog pada harga yang tinggi, terdapat beberapa perkara yang anda perlu ambil kira, antaranya adalah:

Reka bentuk website/blog

Website/blog yang mempunyai reka bentuk minimal dilihat lebih mudah untuk dijual. Hal ini disebabkan reka bentuk yang minimal akan memudahkan proses pengubahsuaian website/blog tersebut. Pembeli lebih gemar website/blog yang tidak mempunyai terlalu banyak widget dan boleh ‘loading’ dengan pantas, namun pada masa yang masa masih memenuhi citarasa semasa pasaran.

Usia website/blog

Sebelum membeli website/blog, pembeli selalunya akan melihat kepada usia website/blog tersebut. Secara amnya, pembeli gemar membeli website/blog yang sudah stabil dan bertapak kukuh di dalam dunia internet. Namun, jangan risau, website/blog yang baru dibina juga mendapat permintaan yang tinggi, namun terdapat kriteria lain yang perlu dilihat terlebih dahulu.

Trafik

Website/ blog yang mempunyai kekuatan untuk menarik trafik daripada enjin carian (Google) adalah yang terbaik. Pembeli akan melihat kepada jumlah trafik website/blog tersebut sebelum meletakkan bidaan.
Nilai keuntungan dalam jual-beli website/blog bergantung kepada beberapa faktor iaitu:

Niche website/blog anda. Adakah website/blog menepati cita rasa terkini pembeli?

Nama domain. Seharusnya nama domain anda hendaklah pendek, ringkas, dan mudah untuk diingat.

Adakah website/blog anda mesra pengunjung? Dari segi warna, layout dan reka bentuk?

Adakah website/blog anda menjana pendapatan bulanan melalui program tertentu seperti Amazon?

Apa yang penting adalah anda tidak mudah berputus asa jika website atau blog anda masih belum ada pembeli. Cuba perbaiki kelemahan yang ada dan pastikan ianya benar-benar mantap sehingga menjadi rebutan para pembeli seterusnya meningkatkan harga bidaan yang mampu memberikan keuntungan lumayan kepada anda.