Dalam Setiap Krisis Pasti Ada Peluang

0
602

Water_drop

Sekitar tahun 2009, Presiden Cina Wen Jiabao semasa lawatan beliau ke Eropah menyebut satu perkataan yang memberi satu makna di dalam bahasa Cina tetapi makna yang lain dalam bahasa Inggeris dan ianya memberi implikasi yang berbeza.

Perkataan yang dimaksudkan itu ialah krisis yang bersamaan dengan perkataan “weiji” dalam bahasa Cina. Dalam bahasa Cina, perkataan ini diterjemah sebagai krisis dan peluang. Oleh sebab itu, sesiapa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, perkataan krisis dilihat dan difahami sebagai krisis semata-mata. Manakala golongan yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa perantaraan akan melihat perkataan tersebut dan berfikir tentang krisis dan juga peluang.

Perbezaannya amatlah bermakna dalam konteks dunia hari ini. Ada yang mencadangkan perkataan tersebut ditukar kepada “crisistunity” iaitu satu gabungan yang lebih terjurus kepada makna yang diguna pakai oleh golongan yang berbahasa Cina. Dari segi falsafah, melihat krisis sebagai “crisistunity” akan memberi impak yang lebih baik dalam menangani krisis itu sendiri.

Tidak disangkal lagi bahawa krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat pada waktu sekarang memberi kesan yang buruk ke atas setiap negara di seluruh dunia dari segi ekonomi mahupun keadaan sosial rakyat. Ramai orang kehilangan pekerjaan disebabkan oleh penutupan kilang-kilang dan sebagainya.

Dalam keadaan yang tidak menentu di setiap negara kerana krisis ini, ramai yang bertindak untuk melakukan perkara-perkara yang mereka fikir boleh menyelamatkan segelintir golongan sahaja. Oleh kerana memikirkan kepentingan diri masing-masing, ada golongan yang memulakan kekacauan di jalanan yang sebenarnya menjadikan keadaan bertambah buruk daripada yang sepatutnya. Apath lagi bila rusuhan jalanan ini mengakibatkan kecederaan dan ramai yang terkorban.

Apa yang penting sekarang adalah persepsi yang betul perlu diambili dan barulah kita akan nampak sebenarnya terdapat peluang disebalik krisis yang berlaku. Walau bagaimanapun, kerjasama antara semua pihak mestilah wujud kerana sesuatu peluang jika tidak diambil pada waktu yang sesuai dan tidak diterjemahkan kepada sesuatu yang positif akan menjadi sesuatu yang sia-sia sahaja.

Salah satu sebab krisis ekonomi berlaku pada waktu sekarang ini adalah kerana terdapat golongan di negara barat yang suka berbelanja melebihi daripada kemampuan mereka. Apabila ini berlaku untuk jangka masa yang lama dan merebak kepada golongan yang lain, krisis kewangan yang berlaku mungkin tidak dapat diselesaikan lagi. Dari sudut yang lain, golongan yang tidak mengamalkan sikap yang serupa iaitu golongan yang berada di negara Asia misalnya boleh mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan melihat krisis ini sebagai satu peluang untuk mereka mengembangkan lagi gaya hidup positif yang mereka amalkan seperti suka menyimpan dan tidak berbelanja diluar kemampuan.

Di kebanyakan tempat, kita juga dapat lihat bahawa apabila krisis ekonomi melanda, ramai pekerja yang hilang mata pencarian tidak akan dapat melunaskan hutang rumah dan kereta mereka. Oleh itu, pada golongan yang tidak mengamalkan sikap buruk dalam berbelanja sudah tentu akan dapat merebut peluang untuk membeli rumah-rumah atau kereta-kereta yang dilelong oleh pihak institusi kewangan. Harga jualan aset yang dilelong semestinya jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Ini adalah peluang! Segala kos untuk menukar hakmilik dan sebagainya lebih rendah kerana apa yang pihak institusi kewangan inginkan dalam waktu krisis ini adalah untuk mendapat bayaran secepat mungkin supaya mereka boleh menggunakan dana untuk melunaskan liabiliti mereka sendiri.

Begitu juga dengan peluang untuk membeli perniagaan dan sebagainya. Pada waktu krisis ekonomi yang melanda, banyak syarikat yang tidak dapat bersaing akan melelong perniagaan mereka pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Kilang-kilang terpaksa ditutup dan banyak mesin dan alatan pejabat akan dilelong. Inilah peluang keemasan yang harus direbut oleh golongan yang selama ini mungkin tidak mampu membeli alatan pejabat untuk kegunaan perniagaan mereka.

Kebanyakan berita dan ulasan kewangan akan menyatakan bahawa krisis kewangan ini menyebabkan harga barang melonjak naik. Kita sudah merasai beban ini walaupun Malaysia masih boleh dikatakan belum betul-betul teruk dilanda kesan krisis ekonomi dunia yang berlaku sekarang. Bahan-bahan keperluan asas sepert bahan makanan meningkat harganya.

Sudah tentu ramai yang merungut kerana kenaikan harga barangan. Akan tetapi sudah pasti ada juga beberapa golongan yang sebenarnya mampu tersenyum kerana hasil titik peluh mereka akan memberikan mereka pulangan lumayan. Siapakan golongan tersebut? Para petani tempatan yang menanam sayuran secara kecil-kecilan contohnya boleh menggunakan keadaan krisis ini sebagai peluang untuk menjual hasil tanaman mereka terus kepada pengguna dan ini akan memberi untung yang lebih kepada mereka kerana sudah tidak ada golongan orang tengah yang boleh mengaut keuntungan yang lebih. Mereka boleh mengamalkan sistem menjaja dari rumah ke rumah supaya pengguna tidak perlu keluar jauh untuk membeli bahan harian. Dengan cara ini, pengguna tidak perlu berbelanja lebih untuk kos petrol. Inilah situasi menang menang yang harus diaplikasi semasa krisis.

Para peladang yang menternak lembu dan kambing juga boleh mengaplikasi cara jualan rumah ke rumah. Cara yang lebih canggih yang boleh diaplikasi peladang mungkin dengan menggunakan cara jualan melalui tempahan secara dalam talian atau pesanan ringkas telefon mudah alih. Dengan cara ini, peladang dapat menguruskan penghantaran daging yang ditempah dengan lebih terurus dan lebih efektif. Kos petrol dan pengangkutan dapat dikurangkan dan pengguna tentunya akan lebih gembira kerana daging yang dihantar adalah segar dan mengikut masa yang mereka inginkan.

Keadaan krisis ekonomi global juga menyebabkan banyak matawang asing susut nilai. Apabila ini berlaku, nilai beberapa jenis komoditi seperti emas dan perak melonjak naik. Ramai yang sudah beralih arah dan membuat pelaburan dalam sektor yang membabitkan emas atau perak samada membeli emas dan perak dalam bentuk jongkong ataupun membeli saham syarikat-syarikat melombong emas. Emas dan perak adalah antara dua komoditi yang boleh dijadikan matawang apabila nilai matawang kertas susut dengan teruk. Banyak negara sudah mengambil keputusan untuk membeli stok emas supaya mereka boleh bertahan apabila nilai matawang negara masing-masing terus menjunam. Inilah dikatakan dalam satu krisis pasti ada peluang disebaliknya. Sudah pasti ramai golongan wanita di Malaysia pada hari ini mampu tersenyum sekarang kerana barang kemas yang mereka beli dahulu sudah berlipat ganda nilainya.

Apabila kita bercerita tentang emas, adalah agak janggal apabila tidak diceritakan pula peluang perniagaan pajak gadai. Emas dan pajak gadai adakah dua perkataan yang selalunya disebut bersama. Pada waktu dahulu hanya golongan wanita yang sudah berumur yang tinggal di kampung akan membuat urusan dengan kedai pajak gadai. Apabila barang kemas mereka dipajak, kedai pajak gadai akan memberi sejumlah wang. Upah yang minimum akan dikenakan dan perlu dibayar semasa penebusan hendak dibuat. Kebanyakan transaksi pajak gadai adalah mematuhi syariat Islam. Jadi selalunya hanya golongan muslim yang akan melibatkan diri dalam transaksi pajak gadai. Walau bagaimanapun, keadaan ini sudah tidak lagi diamalkan oleh golongan wanita yang berumur dan muslim sahaja. Golongan lelaki yang muda dan bertaraf eksekutif juga sudah mula menjinakkan diri dalam transaksi sedemikian. Di bandar-bandar besar adalah tempat golongan muda ini mula aktif berurusniaga emas dan perak. Pendekatan yang digunakan adalah sama tetapi tujuan mereka pada kali ini adalah untuk mendapat keuntungan pelaburan. Mereka membuat transaksi dengan agak kerap dan sudah banyak institusi kewangan yang membuka cawangan baru khas untuk urusan pajak gadai emas. Risiko kepada pihak institusi kewangan adalah rendah kerana harga emas kian meningkat. Pulangan yang diperolehi juga agak tinggi dibandingkan melabur di pasaran saham dan lain-lain bentuk pelaburan. Rekod setakat ini menunjukkan purata keuntungan untuk pelaburan emas adalah sekitar 20% setahun.

Susut nilai matawang juga menyebabkan pasaran saham yang tidak stabil atau jika tidak dikawal boleh terus menjunam. Pelabur yang selama ini berkecimpung dalam jual beli stok di pasaran saham akan membuat keputusan untuk melabur wang mereka ke satu pelaburan yang lebih selamat. Mereka juga mungkin akan menghentikan aktiviti pelaburan di pasaran saham sama sekali. Ramai yang telah berkecimpung untuk meletakkan wang pelaburan mereka untuk membeli hartanah seperti rumah ataupun tanah pertanian. George Soros dikatakan sudah mengambil tindakan untuk memindahkan sejumlah besar wang beliau untuk membeli tanah pertanian. Tindakan ini adalah sangat wajar kerana dalam situasi krisis ekonomi nilai hartanah tidak akan susut atau tidak akan susut seteruk nilai matawang. Risiko untuk mengalami kerugian apabila kita membeli tanah adalah sangat rendah. Tanah pertanian? Apakah relevannya membeli tanah pertanian pada waktu krisis ekonomi ini? Jawapannya ialah seperti kata pepatah “Sediakan payung sebelum hujan”. Tanah pertanian akan menjadi satu aset yang amat penting untuk menghasilkan hasil tanaman. Apabila harga bahan makanan makin meningkat, hasil tanaman akan memberi keuntungan yang berlipat ganda. Ada juga yang mengatakan jika bahan makanan terlalu mahal dan matawang pula semakin susut, ramai orang terpaksa mencari alternatif dan memilih untuk menanam hasil tanaman mereka sendiri. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai aset seperti tanah pertanian akan terselamat dari masalah kesan krisis ekonomi.

Akhir sekali, peluang perniagaan yang akan datang adalah dalam bidang teknologi makanan. Kesan krisis ekonomi yang menyebabkan harga bahan makanan melonjak naik boleh dijadikan peluang untuk kita menghantar golongan pelajar untuk mendalami ilmu teknologi makanan supaya penghasilan bahan pertanian yang lebih optimum. Jangkamasa untuk mengutip hasil perlu dipendekkan supaya hasil dapat diperolehi dengan cepat. Kualiti hasil tanaman harus dinaik taraf supaya tanaman yang dihasilkan adalah yang lebih berkhasiat dan tahan lama. Proses dan cara penyediaan makanan dari hasil tanaman harus dikaji dengan lebih mendalam supaya penyediaan makanan yang lebih kreatif dan hidangan yang sihat dapat disajikan. Teknologi untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berfaedah dari bahan sisa juga amat penting. Semua orang diseluruh dunia perlu berusaha untuk mengamalkan cara kitar semula yang berterusan kerana dalam jangka masa panjang ianya akan dapat menjimatkan kos dan seterusnya akan memberi impak yang posotif kepada keadaan ekonomi keseluruhan. Di samping itu juga, ianya adalah tanggungjawab yang besar setiap orang untuk mengurus bahan sisa dengan lebih bermakna. Maka terdapat satu lagi peluang untuk berkecimpung dalam perniagaan yang melibatkan proses kitar semula.