Perniagaan

Runtuhnya Empayar Enron Corporation

Dapatkah anda bayangkan apabila amalan integriti sudah hilang daripada diri setiap manusia? Adakah masih wujud ketelusan? Apatah lagi jika perkara tersebut berlaku di dalam sebuah syarikat, di mana integriti merupakan perkara utama yang menjadi nadi perjalanan sesebuah syarikat. Pastinya, empayar yang dikatakan hebat juga bakal rebah jua. Itulah yang terjadi kepada Enron Corporation, yang juga membawa kepada pembubaran syarikat Arthur Andersen, yang mana syarikat tersebut merupakan salah satu daripada 5 firma audit dan perakaunan terbesar di dunia. Kejatuhan empayar Enron boleh disifatkan sebagai kebankrapan terbesar dalam sejarah Amerika dan menunjukkan kelemahan sistem audit yang digunakan.

Enron merupakan sebuah syarikat sumber tenaga Amerika yang berpusat di Houston, Texas. Enron diasaskan oleh Kenneth Lay pada tahun 1985 setelah penggabungan di antara Hounston Natural Gas dan Inter North. Selepas beberapa tahun melebarkan sayapnya di peringkat domestik dan antarabangsa, Enron mula terlibat dengan hutang yang bernilai berbillion dolar. Hal ini disebabkan oleh kerana transaksi perakaunan dan kontrak yang rumit. Semua hutang disembunyikan dari pengetahuan pemegang saham melalui penipuan perakaunan, pinjaman haram dan perkongsian dengan syarikat lain yang dirancang dan ianya dikenali sebagai Skandal Enron. Skandal ini telah menimbulkan banyak isu tentang amalan perakaunan di Amerika Syarikat dan menjadi faktor utama kepada wujudnya undang-undang Sarbanes-Oxley.

Enron mengalami kerugian yang amat teruk akibat daripada amalan perakaunan yang salah dan percaturan yang silap daripada pihak pengurusan. Disebabkan pemilikan memberikan hak kebebasan penuh kepada pihak pengurusan dalam mengendalikan urusan kewangan, hal ini membolehkan syarikat menyembunyikan kerugian dari pengetahuan pemilik dan pemegang saham. Di atas kertas, laporan kewangan Enron sangat cantik dan kelihatan menguntungkan. Tetapi cerita di sebaliknya amat mengejutkan. Enron sedang mengalami kerugian! Setiap kali tibanya suku tahun, eksekutif syarikat harus melakukan pelbagai penipuan dalam penyediaan laporan kewangan syarikat demi mencipta ilusi keuntungan berbilion dolar untuk menarik perhatian pelabur.

Para eksekutif Enron terpaksa bekerja mengikut maklumat kewangan dalaman yang dicipta oleh mereka sendiri. Ketua Pegawai Kewangan, Andrew Fastow mengetuai pasukannya mencipta laman web syarikat yang kompleks di mana syarikat tersebut sebenarnya tidak wujud sama sekali. Syarikat tersebut kemudiaannya menjalankan urusniaga palsu dengan Enron Corporation bertujuan untuk meningkatkan wang syarikat serta menyembunyikan kerugian yang dialami melalui laporan kewangan suku tahunannya dan kelihatan seperti Enron bebas daripada hutang. Andrew melakukan semua ini demi menjamin dirinya, keluarga serta teman-temannya, namun tindakannya itu telah mengorbankan syarikat dan pemegang saham Enron Corporation. Kerja hitam Andrew bukan terhenti setakat itu sahaja. Malah beliau telah mengugut serta mengancam banyak pihak demi keselesaan dirinya. Beliau telah mengancam  untuk memecat penganalisa syarikatnya jika berani bertindak untuk membocorkan kedudukan kewangan Enron yang negatif. Pada 31 Oktober 2002, Andrew Fastow didakwa diatas 78 pertuduhan termasuk penipuan, pengubahan wang secara haram dan konspirasi. Beliau mengaku bersalah atas dua tuduhan dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.

Antara sebab utama kejatuhan Enron adalah disebabkan penggunaan amalan perakaunan mark to market. Amalan perakaunan ini merekodkan anggaran keuntungan masa depan dari setiap perjanjian pada nilai pasaran semasa bukan pada nilai masa depan atau nilai sejarah. Ini dapat dilihat dalam perniagaan Gas Asli Enron. Pada awalnya, perakaunan syarikat adalah cukup jelas dalam setiap tempoh masa, syarikat juga mencatatkan kos sebenar dan hasil sebenar yang diterima dari setiap jualan yang dilakukan. Namun, setelah kemasukan Jeffrey Keith Skilling yang dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Enron Finance Corporation, dia meminta Enron mengaplikasikan perakaunan mark to market dengan alasan bahawa perakaunan ini akan menggambarkan nilai ekonomi yang sebenar. Amalan perakaunan ini menggariskan apabila kontrak jangka panjang ditandatangani, pendapatan dianggarkan pada nilai semasa bukan nilai pada masa hadapan.

Dengan terbongkarnya skandal ini, maka Enron Corporation pun dibubarkan dan distruktur semula untuk menjaga kepentingan para pemiutangnya. Selain itu, skandal ini juga menyebabkan wujudnya satu akta yang digelar Sarbanes-Oxley Act. Akta ini dinamakan sempena  Senator Amerika Syarikat, Paul Sarbanes dan Perwakilan Amerika Syarikat Michael G. Oxley. Antara akta utama yang diperkenalkan adalah semua syarikat perlu mempunyai majority ‘independent directors’ dan kumpulan audit syarikat perlu terdiri daripada ahli yang mempunyai pengetahuan kewangan dan salah seorang daripadanya perlulah seorang yang berpengalaman.

Melalui pembongkaran kes ini juga, satu persoalan yang timbul adalah amalan integriti yang hilang dalam diri setiap pekerja Enron Corporation. Satu fakta yang tidak boleh dielakkan adalah pekerja di Enron Corporation sebenarnya dibayar dengan sebahagian stok syarikat yang membuatkan mereka lebih bersemangat untuk melakukan tindakan yang tidak beretika demi menaikkan harga stok yang juga bersamaan dengan ‘duit mereka’. Kenapa stok tersebut bersamaan dengan ‘duit mereka’? Hal ini disebabkan mereka juga adalah pemegang saham di syarikat tersebut. Jika harga stok jatuh, mereka juga akan terkesan dengan hal tersebut. Sesungguhnya Skandal Enron membuktikan yang pengaruh wang sangat kuat terhadap manusia. Apabila ketamakkan menguasai diri, apa sahaja boleh dilakukan jika setimpal dengan harga yang ditawarkan.