Sebelum Anda Mulakan Bisnes Dobi, Sila Baca Ini Dulu

0
7892

dobi-perniagaan

Membuka perniagaan dobi dilihat sebagai trend bagi kebanyakan usahawan. Banyak pusat dobi dibuka, dan telah menjadi satu pemandangan yang biasa apabila dalam satu kawasan perumahan terdapat lebih daripada satu kedai dobi. Usahawan menganggap bisnes dobi sebagai satu perniagaan yang mudah untuk dijalankan, memberi keuntungan yang tinggi, memerlukan kos permulaan dan kos operasi yang rendah dan usahawan tidak memerlukan kemahiran atau kepakaran dalam mengawal operasi perniagaan.

Beberapa pengalaman rakan yang boleh dikongsi dan dijadikan panduan dalam memulakan perniagaan kedai dobi. Ada rakan yang sememangnya bersemangat untuk memulakan perniagaan dan tanpa pendedahan yang secukupnya telah membeli kedai dobi 2nd hand daripada pengusaha yang lain, tanpa melakukan sebarang kajian mengapa pengusaha yang terdahulu mahu menutup kedainya. Saban bulan perniagaannya tidak menunjukkan tanda-tanda keuntungan dan akhirnya rakan tadi terpaksa akur untuk menutup kedainya pula. Ada juga rakan yang sebelum ini kerja makan gaji, berhenti kerja semata-mata kerana tertarik dengan perniagaan dobi dan keuntungan yang diwar-warkan. Dia tidak fikir panjang tentang betapa renyahnya perniagaan dobi ini. Saban hari dia terpaksa melakukan kerja yang rutin dan agak menjemukan. Memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh dan dryer, melipat atau menggosok pakaian. Tanpa minat yang berpanjangan, rakan yang sudah muak dengan rutin harian itu, akhirnya menjual perniagaan dobi kepada pengusaha dobi yang lain.

[auth]

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan dobi. Sekiranya anda mempunyai pilihan, maka anda boleh memilih jenis perniagaan sama ada perniagaan sendiri ataupun francais, bergantung kepada keupayaan modal masing-masing. Sekiranya memilih untuk membeli perniagaan dobi daripada pengusaha yang sedia ada, kaji dahulu mengapa pengusaha itu ingin menjual perniagaannya. Alasan yang seringkali diberikan adalah untuk mengikuti suami/isteri yang terpaksa berpindah kerja ke tempat lain, namun sebenarnya hanyalah untuk menutup kerugian yang diterima saban hari oleh pengusaha berkenaan. Kaji juga mesin-mesin yang terdapat dalam premis dobi tersebut, lihat kondisi mesin tersebut dan lakukan pengiraan susut nilai. Pastikan harga yang ditawarkan berbaloi dengan keadaan premis dan mesin-mesin yang ada.

Dalam aspek bantuan kursus dan dana kewangan pula, terdapat beberapa pilihan, antaranya seperti MARA, Tekun, SME Bank, PUNB dan sebagainya. Ada juga syarikat persendirian yang menawarkan kursus untuk pengusaha dobi, namun anda perlulah melakukan sedikit sebanyak kajian tentang kursus yang ditawarkan. Ada kursus yang memerlukan yuran yang mahal, namun apa yang diterangkan hanyalah asas untuk memulakan perniagaan. Dan kebiasaannya, pada sebelah petangnya masa peserta kursus akan ‘diisi’ dengan lawatan ke kedai-kedai dobi untuk melihat secara praktikal cara pengendalian kedai dobi.

Pemilihan lokasi yang strategik dilihat sebagai salah satu faktor penting menentukan sama ada perniagaan dobi tadi akan mendapat sambutan ramai atau tidak. Kebiasaannya usahawan dobi akan memilih kawasan perumahan ataupun kawasan yang terdapat ramai pelajar menetap, seperti di sekitar kawasan universiti ataupun kolej. Pengusaha juga perlu memastikan premis dobi mempunyai ruang letak kereta yang mencukupi bagi memudahkan pelanggan mereka. Ada premis yang terletak dalam kawasan bangunan pejabat akan mengalami masalah kekurangan tempat letak kereta, memaksa pelanggan mereka berjalan jauh membawa toto dan pakaian yang perlu dibasuh. Pernah juga saya terlihat premis kedai dobi yang terletak di tingkat 2, kawasan flat kos murah. Namun tidak sampai setahun, premis dobi tersebut ditutup kerana kesukaran menarik pelanggan. Selain itu, satu senario yang biasa juga, melihat kedai dobi berkongsi premis dengan kedai gadget telefon atau kedai tukang jahit bagi menjimatkan kos sewa.

Pembelian mesin dan peralatan juga dianggap penting untung memastikan untung yang maksimum. Untuk mendapatkan harga yang terbaik, lebih baik dibeli terus daripada pengedar utama. Elakkan daripada membeli daripada ejen atau orang tengah yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mesin basuh yang digunakan perlulah direka untuk kegunaan industri dan tahan lasak. Namun begitu, selain mesin basuh industri ini, ada juga pengusaha yang membeli 1-2 mesin basuh seperti yang digunakan di rumah, untuk pakaian pelanggan yang dalam kuantiti yang sedikit, seterusnya menjimatkan penggunaan elektrik dan air. Bagi pengusaha yang mempunyai modal yang lebih, boleh lah membeli mesin cucian kering, namun begitu bagi mereka yang tidak mampu, mereka boleh mengambil pakaian tadi lalu menghantar ke kedai dobi lain yang menawarkan khidmat cucian kering. Pengusaha juga harus melakukan sedikit kajian sebelum melakukan penetapan harga. Pastikan harga yang diberi, mengikut tahap perkhidmatan dan berdaya saing dengan pengusaha dobi yang lain.

Pengusaha dobi itu juga perlu bijak dan kreatif agar perniagaannya sentiasa maju dan berkembang. Mereka juga perlu sering mengutamakan mutu perkhidmatan yang diberikan. Baju yang dibasuh mestilah wangi, digosok dengan licin dan jangan lah sehingga nampak ‘double line’. Ramai juga antara usahawan yang tidak hanya menunggu di kedai-kedai dobi mereka, tetapi pada masa yang sama melakukan khidmat penghantaran dan pengambilan pakaian dari rumah ke rumah. Ada juga yang mengadakan promosi dengan potongan harga untuk pelanggan tetap. Bagi pengusaha yang lebih berkeyakinan, bolehlah cuba mendapatkan tender-tender daripada pihak kerajaan, hotel-hotel, kilang ataupun syarikat swasta.

[/auth]