Keusahawanan, Pinjaman

Badan Pinjaman TEKUN, MARA, PUNB & TEB

Semua orang mempunyai cita-cita dan harapan. Namun, kadangkala cita-cita dan harapan ini akan terus menjadi impian yang tidak sempat direalisasikan. Hal ini kerana terdapat beberapa faktor yang menjadi penghalang terutamanya faktor kewangan. Jika ingin memulakan sesebuah perniagaan, kita memerlukan modal untuk melaksanakan perniagaan itu. Jika tidak semua ini adalah mustahil. Sebelum bergelar usahawan yang berjaya, seseorang itu pasti menempuhi pelbagai rintangan yang akan menjadi pembakar semangat untuk terus bertahan. Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia yang prihatin telah menubuhkan beberapa agensi-agensi yang berkaitan dan diharap dapat membantu serta meringankan beban pihak yang memerlukan. Agensi ini berperanan menyokong dengan memberi pembiayaan kepada pemohon dan calon yang layak.

Apabila kita membincangkan tentang isu pinjaman, nama-nama seperti TEKUN, MARA, PUNB dan TABUNG EKONOMI BELIA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Usahawan sudah sedia maklum dengan fungsi agensi-agensi ini yang sememangnya banyak membantu terutama bagi mereka yang ingin memulakan sesebuah perniagaan. Agensi yang terlibat memainkan peranan yang sangat penting terutama dalam memberikan pembiayaan dan modal permulaan dalam sesebuah perniagaan. Maka, tidak perlulah kita mencari pihak yang menyediakan pinjaman secara haram yang kelak merugikan masa depan sendiri dan juga keluarga sahaja. Kita perlu merujuk kepada agensi yang telah diluluskan dan dipercayai ketelusannya dalam memberikan pembiayaan kepada bakal usahawan.

[auth]

Sedikit sebanyak agensi-agensi yang telah dipercayai dan diluluskan itu mampu meringankan beban yang ditanggung bakal usahawan atau sesiapa sahaja yang berhasrat dan mempunyai keinginan untuk memulakan perniagaan dan kehidupan baru. Sekurang-kurangnya, hasrat dan nilai murni mereka akan dinilai dan tidak akan terkubur begitu sahaja. Impian dan cita-cita yang tinggi sukar dicapai sekiranya minat yang mendalam tidak disulami dengan sumber kewangan yang stabil, mimpi-mimpi indah ini akan berkecai begitu sahaja. Harapan yang dipasang tinggi akan musnah jika masalah kewangan menjadi batu penghalang dan akan menyebabkan seseorang itu berputus asa. Jika kewujudan agensi-agensi ini dapat membantu maka ekonomi negara akan terus maju dan peluang yang ada perlu segera direbut.

TEKUN


Sebagai permulaan, kita akan membincangkan tentang pinjaman daripada TEKUN. TEKUN merupakan singkatan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dibawah kawalan Kemeterian Pertanian dan Industri Asas Tani. TEKUN ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai sebuah agensi penyaluran modal tambahan yang mudah dan tidak membebankan usahawan Bumiputera di Pulau Pinang. Sejajar dengan peredaran masa, projek TEKUN telah diperluaskan ke seluruh negara untuk kepentingan usahawan Bumiputera yang berminat. Seterusnya untuk memantapkan lagi perlaksanaan ini, sebuah Yayasan TEKUN Nasional ditubuhkan pada 1998 yang dikawal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Menjelang April 2009, Yayasan TEKUN Nasional telah bertukar nama kepada TEKUN Nasional berikutan dengan penyusunan pentadbiran semula kerajaan yang turut memainkan peranan dalam pembangunan keusahawanan dan memberikan perkhidmatan sokongan.

Pinjaman dengan TEKUN bermula serendah RM 500.00 sehingga RM 50, 000.00 dan tempoh bayaran balik adalah antara sebulan hingga lima tahun. Antara syarat-syarat utama untuk membuat permohonan dengan TEKUN adalah pemohon mesti terdiri daripada kaum Bumiputera yang berumur seawal 16 – 65 tahun. Pemohon mesti mempunyai cadangan dan rancangan perniagaan yang berpotensi untuk terus maju. Antara syarat-syarat yang seterusnya, pemohon harus mempunyai lesen atau permit pendaftaran perniagaan yang sah. Bagi pembiayaan di bawah pinjaman RM 5000.00, pemohon tidak perlukan Pendaftaran Perniagaan (SSM). Seterusnya, pemohon mesti mempunyai lokasi perniagaan yang khusus atau berniaga secara bergerak. Selain itu, pemohon mesti terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam perniagaan. Pembiayaan sehingga RM 5000.00 boleh dipertimbangan bagi pemohon yang menjalankan perniagaan secara sambilan. Syarat terakhir adalah, pemohonan yang akan disokong adalah pemohon yang sudah menerima pembiayaan tidak melebihi RM 5000.00. Borang pemohonan boleh didapati di pejabat cawangan TEKUN yang berdekatan dengan kediaman atau lokasi perniagaan. Borang yang telah lengkap diisi dengan dokumen yang diminta boleh diserahkan untuk disemak dan dinilai. Selain itu, permohonan dalam talian juga disediakan dengan melayari laman web rasmi TEKUN Nasional.

MARA

MARA pula ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1966. MARA adalah singkatan kepada Majlis Amanah Rakyat, sebuah agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Misi utama MARA adalah untuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera. MARA memainkan peranan penting dalam perniagaan kaum Bumiputera sesuai dengan objektif agensi ini iaitu untuk membangunkan usahawan berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikan ekuiti dan, memudahkan sistem penyampaian. Dengan ini kita dapat melihat sejauh mana MARA menyokong perniagaan terutamanya bagi kaum Bumiputera.

Cara untuk mendapat pembiayaan dan pinjaman dengan MARA adalah dengan menghubungi bahagian Pembagunan Usahawan MARA. Dua skim utama untuk mendapatkan pinjaman perniagaan dengan MARA adalah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Pembiyaaan Peningkatan Perniagaan (SPPP). Pinjaman dengan MARA adalah serendah RM 5000.00 sehingga RM 250, 000.00. Syarat utama untuk memohon adalah kaum Bumiputera atau berketurunan Melayu berumur 18 tahun ke atas. Pemohon mesti mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaan yang diceburi. Selain itu, pemohon mesti menjalankan perniagaan secara sepenuh masa. Syarat yang seterusnya, pemohon hendaklah memberikan sumbangan modal pemohon 10% daripada kos projek. Tambahan lagi, pemohon harus mempunyai lesen atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa dan mengemukan cagaran atau jaminan yang mencukupi. Pemohon dikehendaki mengikuti Kursus Keusahawanan jika pengalaman dalam bidang perniagaan kurang daripada enam bulan dan menjalani ujian Psikometri yang telah ditetapkan pihak MARA. Borang pemohonan boleh didapati di pejabat Daerah MARA yang berhampiran.

PUNB

Perbadanan Usahawan Nasioanal Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1991 dan merupakan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera yang merupakan sebuah badan penyelaras bagi aktiviti pelaburan untuk agensi kerajaan, syarikat dan individu Bumiputera. Fokus utama PUNB adalah untuk membangun usahawan Bumiputera dalam perniagaan strategik dan berpotensi tinggi selaras dengan Dasar Pembangunan Negara untuk melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan dan progresif. Pakej pembangunan keusahawanan bersepadu adalah untuk membantu usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pakej-pakej ini dirangka untuk membantu usahawan Bumiputera memantapkan perniagaan, mengekalkan keuntungan dan membentuk perniagaan yang lebih baik.

Antara syarat-syarat permohonan adalah pemohon mesti kaum Bumiputera yang mempunyai hasrat untuk memiliki dan menjalankan perniagaan seperti jujur, berkeyakinan, berdaya tahan, berfikiran positif, kreatif dan berdisiplin selain mempunyai kemahiran dalam komunikasi dan pengurusan. Seterusnya, pemohon mesti menyediakan sekurang-kurangnya 20% dari jumlah pembiyaan dari dari sumber sendiri sekiranya PUNB adalah pembiaya tunggal dalam perniagaan yang dirancang. Selain itu, produk atau perkhidmatan mestilah sedia untuk dipasarkan dan pemohon mesti mempunyai hak pemilikan terhadap pembuatan barang atau perkhidmatan tersebut. Pemohon juga perlu menyediakan model perniagaan dan strategi perlaksanaan yang baik. Pemohon juga perlu merancang strategi keluar yang mantap seperti tebus balik pinjaman, belian balik ekuiti, penggabungan dan pengambil-alihan, penyenaraian awam dan banyak lagi.

Sebagai permulaan, pemohon dikehendaki menyediakan pelan perniagaan yang ringkas atau kertas kerja yang menerangkan perniagaan itu secara keseluruhan. Pelan perniagaan itu perlu disertakan dengan memberi fokus kepada beberapa perkara seperti ringkasan eksekutif, peluang perniagaan, strategi perniagaan dan petunjuk pencapaian, pelan pemasaran, pelan operasi, pengurusan kakitangan dan unjuran kewangan. Selain itu, permohonan dalam talian juga boleh didapati dengan melayari laman web rasmi PUNB dengan memilih butang e-borang.

Tabung Ekonomi Belia

Tabung Ekonomi Belia memainkan peranan sebagai badan penyelaras program pembangunan ekonomi belia dalam menyokong Dasar Pembangunan Belia Negara dan Wawasan 2020. Selain itu juga berperanan dalam meningkatkan peluang kepada masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan yang memberikan manfaat dari aspek pembangunan perniagaan, perpaduan dan sosio ekonomi. Terdapat dua jenis skim dalam Tabung Ekonomi Belia iaitu Skim Belia Negara (SBN) dan Skim Belia Tani (SBT). SBN menyediakan pembiayaan untuk perkhidmatan pembuatan dan Francais yang disokong oleh Bank Negara Malaysia. Sementara SBT pula menyediakan pembiayaan pengeluaran tanaman jangka pendek, ternakan haiwan, perikanan, industri asas tani dan perkhidmatan tani. SBT pula disokong oleh Bank Pertanian Malaysia, iaitu Agro Bank. Had pinjaman bagi Tabung Ekonomi Belia adalah serendah RM 5000.00 hingga RM 50, 000.00 dan tempoh bayaran balik bagi kedua-dua skim ini adalah sehingga tujuh tahun. Bayaran balik boleh dilakukan menerusi institusi kewangan yang dilantik.

Antara syarat-syarat permohonan, pemohon yang berminat mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia berumur 18 – 40 tahun. Pemohon mestilah mendaftar sebagai pemohon dan lulus saringan seperti ujian minat kerjaya dan kecenderungan keusahawanan. Pemohon juga mesti lulus kursus bimbingan rancangan perniagaan. Tujuan pemohon menyuarakan pemohonan adalah untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan sepenuh masa. Selain itu, pemohon mesti menyediakan dua orang penjamin yang mempunyai pendapatan kasar tidak kurang RM 1000.00 sebulan dan tidak mempunyai rekod tindakan hutang dan penjamin juga boleh terdiri daripada ahli keluarga.

Setiap agensi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza mengikut keperluan, jumlah wang, jenis perniagaan, skim dan sebagainya. Selain itu, setiap agensi ini juga dikawal oleh badan-badan kerajaan yang terpilih. Namun, matlamat kesemua agensi ini adalah sama iaitu untuk membantu kaum Bumiputera memulakan perniagaan dan menstabilkan kewangan pada masa hadapan. Hanya pemohon yang layak dan terpilih sahaja berpeluang memulakan perniagaan setelah melalui beberapa ujian kelayakan. Selain itu, syarat-syarat yang dikenakan turut mempengaruhi kadar kredibiliti pemohon yang memohon agar modal yang dilaburkan tidak lebur begitu sahaja.

Tidak semua pemohon layak menerima pembiayaan daripada agensi yang dipohon. Mereka terlebih dahulu akan disiasat dan diperiksa kesahihan perniagaannya. Kerana setiap agensi ini mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi bagi melayakkan pemohon mendapat pembiayaan yang diminta. Setiap syarat yang dikenakan mesti dipenuhi sebaiknya. Jika tidak, kemungkinan wang pembiayaan yang disalurkan akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Disitu akan berlaku pembaziran pula. Pembayaran balik wang pembiayaan perlu dilakukan apabila permohonan yang telah ditandatangani disahkan mengikut tempoh masa yang dipersetujui. Maka, setiap pihak akan sentiasa beringat dan berwaspada dengan setiap sen yang dilaburkan.

Kesimpulannya, jika ingin memulakan sesebuah perniagaan, kita mesti merujuk kepada agensi yang sah dan dipercayai untuk mendapatkan pembiayaan. Kemudian, permohonan itu akan diteliti terlebih dahulu untuk memastikan pengaliran wang pembiayaan yang betul dilaksanakan oleh pemohon. Setelah menerima pembiayaan, pembayaran balik mesti dibuat mengikut tempoh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terlibat. Maka, kedua-dua pihak akan beroleh keuntungan dan manfaat.

[/auth]