Pinjaman Pertanian MARA

Notis: "Artikel ini adalah untuk bacaan umum sahaja. Sebarang unsur plagiat atau copy-paste tidak dibenarkan sama sekali"



Sebut sahaja nama Majlis Amanah Rakyat (MARA) pastinya kita akan terfikir tentang pinjaman pelajaran untuk pelajar sekolah dan universiti sahaja. Tetapi tahukah anda bahawa MARA juga mempunyai skim pinjaman pertanian untuk usahawan moden mengusahakan aktiviti pertanian?

Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dan ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya.

Adalah menjadi kewajipan majlis bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam persekutuan dan khususnya dalam kawasan-kawasan luar bandar. Untuk mengurangkan bebanan penduduk luar bandar, MARA telah memberikan pelbagai kemudahan antaranya kemudahan pinjaman pertanian kepada mereka yang berkelayakan.

Bagi anda yang mempunyai kemahiran tetapi tinggal di luar bandar dan berkeinginan menjalankan perniagaan dan tidak mempunyai modal, usah risau dan bimbang kerana MARA beroperasi dan memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada anda yang berkelayakan. Skim yang ditawarkan oleh MARA juga tidak bercanggah dengan Islam dan boleh diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh MARA untuk membantu pelanggan di luar sana yang ingin mendapatkan khidmat yang berguna sama ada untuk memajukan diri sendiri, perniagaan atau pun buat mereka yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kumpulan sasaran yang diutamakan oleh MARA dalam memberikan pinjaman pertanian ini adalah golongan petani moden di kawasan luar bandar yang mempunyai tapak sendiri atau sewa. Keutamaan diberikan untuk pembangunan tanah yang terbiar. Selain itu keutamaan juga diberikan kepada usahawan tani yang berpengalaman dalam mengusahakan ladang, kolam, pertanian dan penternakan secara kecil-kecilan dan bercadang untuk membesarkan usaha-usaha taninya secara komersial dan juga kepada graduan dari institusi pengajian tinggi contohnya graduan diploma atau ijazah dalam bidang pertanian yang bercadang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Sebelum anda bercadang untuk memohon pinjaman pertanian MARA ini, anda perlu menyediakan dokumen bertulis tentang rancangan perniagaan yang menerangkan secara menyeluruh tentang perniagaan projek yang hendak anda jalankan

Rancangan perniagaan ini lebih dikenali sebagai kertas kerja dimana anda perlu nyatakan jenis perniagaan yang ingin anda usahakan, serta anda harus menyenaraikan visi, objektif dan mengapa anda ingin menjalankan perusahaan itu. Selain itu anda harus menyenaraikan mengapa perniagaan itu perlu dilaksanakan dan apakah kebaikan yang boleh diperolehi serta manfaatnya kepada orang ramai.

Dengan adanya kertas kerja ini, anda sendiri boleh memantau dan dapat mengetahui tahap keupayaan anda berada di level mana dan apakah skim yang sesuai untuk anda piliih. MARA menawarkan empat jenis skim yang bersesuaian dengan petani atau usahawan moden di Malaysia.

Skim pembiayaan

Bagi anda yang baru memulakan perniagaan, boleh melihat kepada skim yang telah ditawarkan oleh MARA. Skim ini mungkin dapat membantu anda untuk membuat pilihan yang bijak. Terdapat empat jenis skim pembiayaan yang ditawarkan oleh MARA iaitu:

  1. Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan

  2. Skim Pembiayaan Komersial

  3. Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres

  4. Skim Jaminan Usahawan MARA

  1. Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan

Skim ini merangkumi pembiayaan untuk projek perdagangan, perkhidmatan, pembuatan dan pengangkutan. Perniagaan secara kecil-kecilan biasanya memerlukan modal yang tidak terlalu banyak dan skim ini sesuai untuk anda yang baru memulakan perniagaan.

  1. Skim Pembiayaan Komersial

Skim pembiayaan ini bagi tujuan : –

i) Pembelian Premis Perniagaan yang bertaraf kekal dan siap dibina.

ii) Pembinaan Premis Perniagaan di atas tanah milik sendiri.

  1. Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres

Pembiayaan untuk kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan dan kerja-kerja elektrik. Pembiayaan meliputi pemborong kelas F, E dan D bagi kerja-kerja agensi awam.

4. Skim Jaminan Usahawan MARA

SJUM merupakan satu kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera yang terpilih. Melalui skim ini MARA, bekerjasama dengan bank komersial (BMMB) yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA bertindak sebagai penjamin.

Perkara yang perlu anda tahu adalah berkaitan had pembiayaan yang dibenarkan adalah 90% daripada kos projek atau maksimum RM250,000. Manakala tempoh bayaran balik pinjaman adalah dari 1-15 tahun mengikut syarat yang telah dipersetujui dan yang tekah ditetapkan.

Bagi pembiayaan berjumlah RM50,000 dan ke bawah penjamin atau cagaran diperlukan. Manakala penjamin dan cagaran tanah dikecualikan bagi pembiayaan berjumlah RM50,001- RM250,000.

Perlu diingatkan bahawa terdapat pelbagai syarat yang ditetapkan oleh MARA sebelum sesuatu pinjaman pertanian itu diluluskan. Antaranya:

  • Penjamin yang ditetapkan perlu memenuhi syarat kelayakan

  • Pendapatan seorang penjamin perlu tidak kurang daripada RM 500
  • Jumlah pendapatan penjamin bersamaan 3 % daripada jumlah permohonan.

  • Cagaran tanah dengan nilai paksa tidak kurang 10 % daripada jumlah pembiayaan.
  • Tanah yang dicagarkan terdiri daripada milik sendiri atau milik ahli keluarga atau kawan. Kadar keuntungan yang diperoleh adalah 4 %.

Sekiranya modal yang diperlukan adalah sebanyak RM100,000 yang memerlukan seorang penjamin atau cagaran, apa kata jika anda mulakan dengan pinjaman RM50,000 (tanpa penjamin & cagaran)? Dengan cara ini, anda sudah boleh mulakan projek anda, walaupun kecil, tapi tanggungan anda tidak banyak. Dengan pinjaman sebanyak RM50,000 sahaja, anda sudah boleh mulakan perniagaan. Hebat bukan?

Antara syarat kelayakan untuk memohon skim pinjaman ini adalah:

  • Berusia 18 tahun ke atas

  • Warganegara Malaysia dan berketurunan Melayu atau Bumiputera

  • Mempunyai pengalaman dan pengetahuan di dalam bidang perniagaan yang diceburi dan menjalankan perniagaan sepenuh masa.
  • Perlu mempunyai lesen, permit dan surat kebenanaran daripada pihak berkuasa.
  • Anda juga perlu mendapatkan cagaran dan jaminan yang mencukupi sebelum mengisi borang permohonan.

  • Syarat yang terakhir adalah anda perlu mengikuti Kursus Keusahawanan jika pengalaman dalam bidang perniagaan kurang daripada 6 bulan.

Konsep serta Kaedah

Terdapat lima jenis konsep berserta kaedah yang diguna pakai oleh MARA, antaranya:

  1. Al-Bai-Bithaman Ajil

Konsep ini membawa maksud menjalankan jualan dengan harga yang tertangguh. Pembiayaan ini sesuai digunakan untuk semua tujuan yang berkaitan dengan perniagaan seperti membeli harta tetap, keperluan modal kerja, belanja mengurus perniagaan dan jaminan pihak bank.

  1. Al-Murabahah

Bermaksud jualan dengan tambang untung. Konsep ini digunakan untuk membiayai pembelian bahan mentah, barang-barang separuh siap, barang-barang siap dan kelengkapan alat ganti

  1. Al-Ijarah

Konsep pajakan dan sewaan menjadi konsep yang popular dan sering diguna pakai. Konsep ini membawa maksud pelanggan boleh menyewa peralatan seperti mesin , kenderaan atau aset mudah alih daripada MARA. Setelah langsai bayaran sewa, peralatan berkenaan boleh dipindah mili.

  1. Bai al- Inah

Konsep ini memberi pengkhususan kepada bayaran gaji, menyewa premis, membayar bil elektrik dan sebagainya.

  1. Musyarakah Mutanaqisah

Konsep yang membawa maksud perkongsian ini selalunya menjadi pilihan pelanggan. Konsep Musyarakah Islam di antara MARA dengan pelanggan mengikut perjanjian ini menitikberatkan kesefahaman di antara dua pihak. Konsep ini juga diguna pakai di dalam Skim Pembiayaan Premis Komersial.

Antara projek yang boleh dibiayai oleh MARA dikhususkan kepada pembangunan tanah terbiar meliputi usahawan tani yang menceburi bidang pertanian secara komersial seperti berikut :_

1. Pembuatan

Contoh sektor perbuatan adalah perusahaan kilang dan industri berasaskan logam, elektrik dan komponen elektronik, makanan dan minuman, plastik, tekstil pakaian dan kulit, percetakan dan penerbitan telekomunikasi, memproses hasil pertanian dan lain-lain. Bagi anda yang mempunyai kemahiran dan berkelayakan boleh memohon skim pembiayaan yang disebut ini.


2. Perdagangan

Khususnya penempatan di kawasan luar bandar atau pun di kawasan pendalaman serta kampung. Perniagaan secara kecil-kecilan adalah sangat digalakkan seperti urusan jual beli barangan seperti pasar mini, peruncitan, pemasaran keluaran barangan makanan dan minuman, penjualan perabot, pemasaran hasil pertanian dan pengendalian stesyen minyak termasuk di dalam sektor perdagangan. MARA memberi peluang dan galakkan kepada masyarakat setempat yang berkelayakan dan mahu menceburikan diri dalam bidang perniagaan yang diidamkan.


3. Perkhidmatan

Perniagaan seperti ini perlu dilaksanakan di kawasan luar bandar dan berpenduduk padat kerana kemudahan asas klinik, kedai makan merupakan sumber pendapatan penduduk setempat. MARA sentiasa memberi peluang baru kepada usahawan muda untuk mencuba bidang ini dan membantu mereka dari segi kewangan dan nasihat perundangan.

Contoh sektor perkhidmatan adalah melibatkan urusan jual beli dalam perkhidmatan yang diberikan seperti guaman, klinik, perkhidmatan menyediakan makanan seperti restoran dan kedai makan dan tidak ketinggalan kedai jahitan.


4. Pemborongan

Manakala pemborongan pula meliputi kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan dan perkhidmatan seperti membina bangunan, membuat jalan, mengubahsuai bangunan dan pendawaian elektrik. Kontraktor yang berdaya saing boleh memohon skim pinjaman ini dan digalakkan kerana sektor ini amat memberangsangkan.

Untuk maklumat anda, pembiayaan yang disediakan oleh MARA meliputi modal untuk pembersihan dan penyelenggaraan ladang, penyediaan kolam dan sangkar ikan, penyediaan untuk membina dan menyelenggara kawasan serta tempat penternakan, benih dan baka dan sebaginya serta peralatan jentera dan modal pusingan.

Pihak MARA juga telah menetapkan jaminan dan juga cagaran kepadan anda yang ingin membuat pinjaman. Antara jaminan yang diterima dan telah disyaratkan oleh MARA adalah seperti:

  • Jaminan Orang Perseorangan atau Bermajikan

  • Jaminan dan cagaran ini adalah diberikan kepasa kakitangan sektor awam dan juga kakitangan sektor swasta yang berkelayakan dan tidak bersih daripada senarai hitam mana-mana bank.

  • Selain itu tanah yang dimiliki perlulah bebas dari sekatan, milik sendiri atau milik ibu bapa atau saudara.

  • Gabungan penjamin dan tanah juga diterima. Manakala untuk jaminan tambahan pula, adalah berkaitan dengan Jaminan Ahli Lembaga Pengarah untuk Syarikat Sdn. Bhd. Surat Ikatan Serahak bagi Pembiayaan Kontrak dan Perjanjiaan Debenture bagi Pembiayaan RM250,001 dan ke atas.

Bagi anda yang berminat untuk menyertai skim pinjaman yang ditawarkan oleh MARA ini bolehlah mendapatkan borang permohonan pembiayaan perniagaan di pejabat mara daerah atau negeri yang berhampiran dengan anda atau datang sendiri ke ibu pejabat mara beralamat seperti di bawah :

Pengarah MARA

Negeri Wilayah Persekutuan

Aras 1-4, Wisma Koperasi No 1

Lorong Medan Tuanku 1

50300 Kuala Lumpur

Tel: 03- 26927820

Faks: 03- 26970731

 

Artikel Berkaitan:

Pengenalan

Selamat datang ke laman web Usahawan.com

“Mencipta Peluang Perniagaan Baru untuk Peniaga Kecil dan Sederhana” merupakan motto kami. Ia mendorong kami supaya sering berinovasi bagi mencipta peluang perniagaan baru disamping membantu mengembangkan perniagaan anda.

Pejabat Urusan:
Hotline: 1-300-888-114

012-6738994 Cik Yasmin
013-6063393 En Lutfi

Caw Shah Alam:

03-55235089 Pejabat
012-2414471 Cik Aida

Baca lagi >>>