Keusahawanan, Strategi Bisnes

5P dan Aplikasi Dalam Bisnes

Bagaimana caranya untuk kita memasarkan barang jualan/produk kita kepada pelanggan? Sebenarnya, terdapat 5 kriteria mudah yang boleh kita ikuti untuk menawarkan produk kita kepada orang ramai. Kriterianya adalah;

Product

Produk yang dijual mestilah produk yang mendapat permintaan daripada pelanggan. Produk yang ditawarkan seharusnya berbeza daripada pesaing dan mampu memberi manfaat kepada penggunanya. Jika kita menjual perkhidmatan atau servis, layanan yang diberikan memainkan peranan utama dalam penentuan servis yang anda berikan berkualiti atau tidak.

Kita harus bijak memantau keinginan pelanggan masa kini, sesuai dengan perkembangan zaman. Sebagai contoh, jika dahulu, pisang goreng hanya dimakan kosong atau bersama sambal kicap. Kini, citarasa pelanggan sudah berubah. ‘Pisang goreng cheese’ kini menjadi fenomena semasa. Pisang goreng itu bukan sahaja dihidang bersama keju yang diparut, malah turut dihidangkan bersama dengan sirap coklat dan juga aiskrim.

People

Apabila sudah mempunyai produk untuk dijual, anda perlu mencari ‘target market’ anda. Siapa golongan sasar yang anda yakin akan membeli produk anda. Jangan malu untuk menjual produk anda kepada kenalan atau saudara terdekat terlebih dahulu. Walaupun hanya bermula daripada kenalan atau saudara rapat untuk memperkenalkan produk kita, kesan dan manfaatnya tidak terjangkau.

Jaringan perniagaan kita secara automatik akan meluas dengan sendirinya kerana, penyampaian mulut ke mulut amat membantu dalam meluaskan jaringan perniagaan. Selain itu, kekerapan pelanggan untuk membeli produk kita juga bergantung kepada tahap layanan yang kita berikan. Walaupun produk kita bagus, tapi servis atau layanan yang diberikan amat mengecewakan, pelanggan tidak perlu berfikir dua kali untuk tidak kembali membeli produk yang kita tawarkan kerana bagi mereka ‘customer is always right’.

Place

Tempat di sini bermaksud kawasan pasaran yang sesuai untuk memulakan perniagaan anda. Kajian perlu dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengetahui lokasi strategik yang menjadi tumpuan pelanggan. Lokasi yang dipilih haruslah mudah untuk dicari oleh pelanggan, menjadi laluan utama pelanggan dan perlu mesra ‘parking’. Sediakan lot parking yang sesuai kerana pelanggan akan berfikir dua tiga kali jika lokasi anda susah untuk mendapat parking.

Sebagai contoh, jika anda lihat restoran makanan segera seperti KFC, selain membuka cawangan di dalam pusat beli-belah yang pastinya sentiasa mempunyai pelanggan, mereka juga memilih untuk membuka cawangan di kawasan tumpuan pelajar kerana mereka sedar pelajar dan remaja merupakan penggemar setia produk makanan segera.

Price

Aspek keempat yang perlu diambil kira di dalam pemasaran adalah harga produk yang ingin dijual. Harga yang dikenakan kepada pelanggan hendaklah berpatutan dengan keadaan ekonomi semasa setimpal dengan kualiti yang diberikan. Jangan kenakan harga yang terlalu tinggi kerana pengguna sekarang mempunyai lebih banyak pilihan lain yang ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah.

Ketika hendak menentukan harga jualan, ambil kira segala kos-kos yang telah dibelanjakan dan tentukan target margin keuntungan yang anda inginkan. Anda juga perlu menetapkan harga terendah yang anda boleh tawarkan kepada pelanggan selepas ditolak dengan kos. Hal ini untuk memastikan anda masih boleh mendapat semula modal yang telah dikeluarkan walaupun anda menawarkan harga terendah kepada pelanggan.

Promotion

Anda harus memilih kaedah yang tepat untuk mempromosikan produk dan perniagaan anda. Apa yang paling penting adalah, promosi yang dilakukan hendaklah konsisten dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Promosi yang berterusan akan menjadi signal kepada pelanggan untuk terus membeli produk anda. Promosi boleh dilakukan sama ada melalui media cetak, elektronik mahupun sosial.

Jika anda inginkan kos yang rendah, tentunya media sosial yang menjadi pilihan terbaik. Anda boleh mempromosikan produk anda di laman-laman sosial yang anda miliki seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram. Promosikan dahulu produk anda kepada rakan-rakan terdekat dan keluarga kerana daripada jaringan kecil inilah akan wujudnya satu jaringan perniagaan besar, yang akan membawa perniagaan anda ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.