Perniagaan, Strategi Bisnes

Mengapa Orang Kelantan Antara yang Paling Kaya di Malaysia?

dinarkelantan

Kelantan merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, dianggarkan seramai 1.6 juta penduduk.  Majoriti penduduknya terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu, diikuti oleh Cina, India, Siam dan Orang Asli.   

Mengikut sejarahnya, pada masa dahulu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah.  Kelantan mempunyai 10 jajahan yang terdiri daripada Jajahan Kota Bharu, Jajahan Pasir Mas, Jajahan Tumpat, Jajahan Pasir Puteh, Jajahan Bachok, Jajahan Kuala Krai, Jajahan Machang, Jajahan Tanah Merah, Jajahan Jeli, Jajahan Gua Musang dan Jajahan Kecil Lojing.

Ekonomi negeri Kelantan adalah berasaskan kepada produk pertanian, getah, pembalakan, pelancongan, penanaman padi dan juga tembakau.  Bagi mereka yang duduk di pesisiran pantai pula, aktiviti penangkapan ikan menjadi penyumbang kepada ekonomi isi rumah mereka. Segelintir penduduk negeri Kelantan yang pandai menggunakan kemahiran kraf tangan yang mereka ada, menjadikan ia sebagai punca pendapatan.  Antara produk kraf tangan yang dihasilkan adalah seperti batik, tenunan songket dan juga ukiran kayu.  Terdapat juga sebilangan besar penduduk Kelantan yang berniaga untuk menyara kehidupan mereka.  Sebut sahaja apa jenis perniagaan, segala-galanya ada.  Mereka ini ada yang berniaga di pasar besar, pusat membeli belah, zon bebas cukai, kedai runcit, peruncit yang menjual bahan mentah dari rumah ke rumah dengan menaiki van, dan ada juga yang menjadikan kediaman sendiri sebagai tempat untuk menjual barangan harian secara kecil-kecilan. 

Rahsia Peniaga Di Kelantan

Tentu anda ingin mengetahui apakah rahsia peniaga di Kelantan ini? Pada dasarnya mungkin tiada rahsia atau strategi yang spesifik yang diguna pakai oleh peniaga di negeri ini ketika memulakan atau menjalankan perniagaan mereka.  Namun yang berikut ini adalah beberapa faktor yang dilihat sebagai faktor kejayaan peniaga-peniaga ini. 

1.     Bijak Menggunakan Peluang Yang Ada.  Ini pandangan ikhlas saya, pada pendapat saya peniaga di Kelantan bijak mencari dan menggunakan peluang yang ada.   Sebagai contoh, jika mereka hendak berniaga, peniaga ini akan memulakan perniagaan di tempat yang menjadi tumpuan peniaga dan juga orang ramai.  Peniaga-peniaga ini akan sentiasa menjaga hubungan baik dan bertimbang rasa sesama mereka.  Jarang dilihat peniaga yang menjual barangan yang sama dengan peniaga yang berniaga di sebelahnya.  Contohnya, jika peniaga di sebelah sudah menjual colek buah atau sate ikan, maka peniaga yang sebelah lagi akan menjual air batu pula. Mereka saling melengkapi, dan sebaik mungkin cuba mengelakkan persaingan, lantas mengelakkan pergaduhan. 

2.     Kesepakatan.  Bagi mereka yang menjual di bazar atau di kedai-kedai bebas cukai pula, kebanyakannya akan bersepakat dalam menentukan harga yang akan dikenakan bagi setiap barangan itu agar nilainya sama untuk setiap kedai.  Contohnya, jika kedai A mengenakan harga RM45 untuk sepasang tudung bawal gred A, begitu juga lah harganya di kedai B.  Jika barangan di kedai A kehabisan stok maka mereka tidak akan melepaskan permintaan daripada pelanggan itu begitu sahaja.  Sanggup peniaga ini mencari barangan yang sama di kedai-kedai yang lain demi memuaskan hati pelanggan mereka, secara tidak langsung dapat juga menambah jualan rakan kedai yang lain.  Pakaian dan fesyen yang dijual juga mengikut trend terkini, yang kebanyakannya diimport dari negara jiran, Thailand.

3.     Aliran Tunai Yang Tinggi.  Kelantan dilaporkan antara negeri yang mencatatkan aliran tunai paling tinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.  Majoriti penduduknya membeli belah tanpa kad kredit dan hanya menggunakan wang tunai semata-mata.  Sebagai contoh, jualan tunai di hypermarket Kota Bahru, Kelantan mencatatkan rekod antara yang tertinggi di Malaysia.  Sebilangan besar rakyat Kelantan boleh berbelanja mengikut kemahuan tanpa kebergantungan terhadap penggunaan kad kredit.  Ini juga mungkin merupakan salah satu punca pemangkin mengapa rakyat Kelantan berminat untuk berniaga.  Bagi peniaga, belian secara tunai memudahkan mereka kerana masalah hutang dapat dielakkan.  Keuntungan yang dimiliki hasil daripada jualan tunai dapat  digunakan semula dengan segera oleh peniaga tadi sebagai modal untuk pembelian barangan yang lain pula. 

4.     Penjenamaan.  Ya, antara strategi perniagaan peniaga negeri ini adalah dengan mengeluarkan jenama produk tertentu contohnya produk makanan menggunakan nama-nama yang bercirikan kemelayuan atau jenama yang melambangkan produk itu adalah hasil buatan orang Melayu sendiri seperti ‘Sos Pencicah Cik Nah’ atau ‘Keropok Segera Cap Keropok dan Pinggan’.  Ada juga yang menggunakan logo keris, kubah masjid dan sebagainya dalam penjenamaan produk atau kedai mereka.  Dialek Bahasa Melayu Kelantan juga diguna pakai dalam penjenamaan produk, contohnya produk budu berjenama ‘Budu Tersohor Kelate!’, dan seterusnya menjadikan produk itu tadi lebih cenderung ke arah ‘mesra’ pengguna.  Negeri yang terkenal dengan gelaran ‘Serambi Mekah’ ini juga masih mengekalkan tulisan jawi pada sebilangan besar papan tanda iklan-iklan di tepi jalan, di samping model wanita yang menutup aurat untuk menjaga lambing kesucian agama Islam itu sendiri seterusnya menarik kuasa membeli pada segenap lapisan masyarakat.

5.     Bahan mentah yang murah dan mudah didapati.  Jika dilihat daripada sudut harga pula, walaupun kita tahu Kelantan merupakan tempat tarikan pelancongan, namun barang makanannya masih lagi boleh dijual dengan harga yang murah.  Ada beberapa faktor penyebab yang memungkinkan hal ini berlaku antaranya kos bahan mentah yang murah dan mudah didapati.  Pada perspektif lain pula, dengan menjual pada harga yang murah juga mungkin menunjukkan bahawa peniaga di sana tidak lah terlalu sempit hidupnya untuk sewenang nya menaikkan harga barang.  Bayangkan untuk sarapan pagi anda hanya perlu membayar lebih kurang RM1.50 untuk nasi berlauk ayam dan kuih-muih pula masih lagi berharga 25 sen sebiji berbanding jika di Kuala Lumpur sudah tentunya harga bagi kedua-duanya boleh mencecah sehingga RM3.50 dan 40 sen masing-masing.

6.     Minat dan Permintaan.  Antara faktor lain yang menjadi rahsia peniaga di Kelantan adalah minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan yang mungkin disebabkan faktor keluarga ataupun atas sikap diri sendiri.  Penduduk Kelantan memang terkenal dengan sikap mereka yang suka berdagang dan berniaga.  Selain itu, permintaan terhadap barangan sentiasa ada, baik barangan runcit, makanan mahupun barangan keperluan yang lain.  Sebutlah apa sahaja jenis perniagaan, pasti ada peniaga yang sudah atau mampu mengusahakannya. Di Kelantan, banyak terdapat pusat-pusat perniagaan seperti Pasar Besar Siti Khadijah atau dahulunya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kabu yang terletak di pusat bandar Kota Baharu.  Pasar Besar Siti Khadijah merupakan salah satu pusat perniagaan yang menjadi tarikan pengunjung yang datang ke negeri Kelantan.   Pengunjung dapat melihat satu pemandangan yang unik apabila kebanyakan peniaga di sini terdiri daripada kaum wanita!  Antara pusat perniagaan lain yang terdapat di negeri Kelantan adalah seperti Pasar Borong Wakaf Che Yeh, KB Mall, KB Bazar, Bazar Buluh Kabu, Bazar Tok Guru, Pusat Perniagaan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur.  

7.     Sikap Peniaga. Sifat berniaga dan suka merantau itu sememangnya sudah sebati dalam diri penduduk di negeri Kelantan.  Walaupun berada di luar negeri Kelantan, anak kelahiran Kelantan tidak akan segan silu untuk memulakan perniagaan.  Ini realiti.  Satu perkara lagi yang boleh kita lihat adalah pada sikap peniaga itu sendiri yang berdisiplin dan mudah mesra pelanggan.  Jika berkunjung di kedai atau bazar yang terdapat di sini, peniaga-peniaga ini memang pandai bermanis mulut ketika melayan pelanggan mereka.  Tidak kiralah sama ada peniaga itu sudah berusia ataupun yang masih muda, dialek Bahasa Melayu Kelantan yang adakalanya terlalu pekat tidak dijadikan alasan untuk tidak berkomunikasi dan melayan dengan baik pelanggan mereka. 

Namun, ada juga yang peniaga di Kelantan ini yang berniaga sekadar untuk mengambil alih perniagaan yang diwarisi oleh keluarga dan ada juga yang menceburi bidang perniagaan kerana keadaan memaksa contohnya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap akibat tiada kelulusan yang bersesuaian.  Maka atas faktor desakan hidup mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. 

Contoh Usahawan Kelahiran Negeri Kelantan Yang Berjaya

Jika inginkan contoh usahawan Kelantan yang berjaya, maka siapa yang tidak kenal Datuk Steven Sim – pengasas francais Secret Recipe.  Datuk Steven Sim merupakan anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan dan membesar dalam kalangan orang Melayu.  Fasih bertutur dalam dialek Bahasa Melayu Kelantan, beliau kini mempunyai 270 restoran di 8 buah negara termasuk Australia dan mempunyai lebih 3000 tenaga pekerja yang 98% daripadanya terdiri daripada orang Melayu. 

Kaum bumiputera Kelantan pula tidak terkecuali.  Ramai juga usahawan bumiputera kelahiran negeri Kelantan yang telah berjaya, contohnya pengusaha bas Sani Express, Dato Wan Mohamad Sani yang pernah dinobatkan Tokoh Usahawan Muda oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).  Begitu juga dengan seorang lagi usahawan terkenal, Datuk Yusmira Mohd Yusof yang merupakan pengasas produk kecantikan Yusmira.  Ketiga-tiga mereka merupakan antara contoh usahawan kelahiran negeri Kelantan yang sangat berjaya pada ketika ini.

Kesimpulan

Dunia perniagaan bukanlah satu bidang yang asing lagi bagi penduduk di negeri Kelantan.  Anak-anak kelahiran negeri Kelantan yang merantau ke negeri-negeri lain juga cenderung untuk berniaga walaupun mereka tidak berada di negeri kelahiran mereka sendiri.  Tiada perasaan malu atau segan untuk mula berniaga walaupun terpaksa bermula daripada peringkat bawahan.  Beberapa rahsia peniaga yang dibincangkan di atas tadi hanyalah mengikut pandangan mata kasar sahaja.   Sudah tentunya terdapat banyak lagi faktor-faktor intrinsik dan ekstrinsik yang boleh diambil kira sebagai penentu kejayaan seorang peniaga itu. 

Namun dalam apa juga bidang yang diceburi, tidak semuanya akan berakhir dengan kejayaan.  Kejayaan bagi seseorang peniaga itu tentu tidak akan menjadi kenyataan tanpa semangat yang tinggi dan kecekalannya dalam mengharungi segala dugaan yang tiba.  Kini, gelaran yang selalu diberikan kepada negeri Kelantan sebagai negeri dengan penduduk yang “miskin” atau “mundur” itu mungkin sudah tidak relevan bagi rakyat negeri ini.  Hakikatnya mereka ini sebenarnya kaya dengan semangat, pengalaman dan budi bahasa.  Jika tidak percaya, datanglah sendiri ke Kelantan.  Masih tidak terlewat untuk menyahut seruan Tahun Melawat Kelantan 2012.