Tokoh Perniagaan

Anak Buruh Keretapi Ini Kini No#3 Paling Kaya Di Dunia

Selepas Bill Gates dan Carlos Slim Helu, Amancio Ortega Gaona adalah orang ketiga terkaya di dunia. Tidak ramai yang pernah mendengar namanya. Ini kerana beliau sangat low profile. Dia mengelak daripada muncul di khalayak umum dan menolak semua permintaan untuk ditemuramah. Sehingga tahun 1999, tiada foto Ortega yang pernah diterbitkan. Namun, jauh di seluruh pelosok dunia, di Paris, Milan, New York, bahkan Indonesia, Ortega berjaya membangunkan empayar fesyen dengan kehadiran di 80 negara.

Anda pasti mengenali Zara. Ya, Ortega adalah pengasas Zara. Dan Ortega dijangkakan bernilai $56 billion. Akan tetapi, siapa sangka bahawa orang ketiga terkaya di dunia ini berasal dari keluarga yang miskin? Ortega adalah anak bungsu dari empat adik-beradik. Beliau lahir di Busdongo de Arbas, sebuah kawasan ladang dengan populasi 60 orang di Sepanyol, pada tahun 1936, ketika Perang Saudara meletus di Sapanyol. Ayahnya bekerja sebagai pekerja rel kereta api, sementara ibunya bekerja sebagai pembantu rumah. Ketika Amancio masih kecil, keluarganya pindah ke La Coruña. Di sana, rumahnya hanya sebuah rumah petak yang bersebelahan dengan rel kereta api yang sampai sekarang masih digunakan sebagai tempat tinggal para pekerja rel kereta api. Amancio hampir memasuki industri kereta api juga, jika tidak kerasa insiden suatu malam yang mengubah hidupnya, ketika dia berusia 13 tahun. Ketika berjalan pulang dari sekolah, dia dan ibunya berhenti di sebuah kedai, di mana ibunya memohon untuk berhutang.

“Dia mendengar seseorang berkata, ‘Señora, saya tidak dapat membenarkan kamu berhutang. Kamu perlu membayarnya’,” kata Covadonga O’Shea, salah seorang teman lama Ortega yang menjalankan sebuah sekolah fesyen di Universitas Navarra di Madrid dan menulis biografi rasmi tunggal tentang Ortega, The Man From Zara.

“Dia merasa begitu terhina, dan mengambil keputusan untuk tidak kembali ke sekolah.”

Di awal usia remaja, Ortega mendapat kerja sebagai pembantu kedai membuat baju bernama Gala. Pada usia 16 tahun, Ortega mendapati bahawa lebih senang untuk menjual pakaian jika kita menjual apa yang pelanggan mahukan, berbanding dengan membeli stok yang banyak dan berharap untuk menjual kesemuanya. Maka, dia perlu mengetahui apa yang dinginkan oleh para pelanggan. Ortega kemudian menemui tempat yang ideal: Galicia. Dalam suasana pengangguran yang tinggi, ribuan kaum lelaki memilih untuk belayar ke laut. Mereka meninggalkan isteri mereka bersendirian di rumah.
“Kaum wanita akan melakukan apa saja demi mendapatkan wang, dan mereka sangat pandai menjahit,” kata Blanco, yang turut menulis sebuah buku biografi tidak rasmi berjudul Amancio Ortega: From Zero to Zara. Pengasas Zara.

Ortega mulai mengumpul ribuan pekerja wanita dan membentuk syarikat menjahit. Setelah mendapat wang yang mencukupi, Ortega membuka kedai pertamanya pada tahun 1975, dua blok dari tempat kerjanya di masa remaja, Gala. Dia menamakannya Zara. Ortega mengambil masa 10 tahun untuk mendirikan syarikat induk, Inditex, dan membuka kedai internasional pertamanya di Portugal, di mana sumber tenaga kerjanya lebih murah dari Sepanyol. Kini satu kedai baru Zara dibuka dalam selang beberapa hari. Kedai ke 6,000 Inditex baru saja dilancarkan di London Oxford Street. Sekarang, terdapat 46 kedai Zara di Amerika Syarikat, 347 di Cina, dan 1,938 di Sepanyol.

Ortega membangun empayarnya berasaskan dua prinsip: Berikan pelanggan apa yang mereka inginkan, dan berikan lebih cepat daripada orang lain.

Kedua-dua prinsip yang dipelajarinya sewaktu bekerja dengan Gala merupakan rahsia kejayaan Inditex. Dalaman kilang Inditex menyerupai dunia sci-fi bergabung dengan suasana zaman dahulu. Operasi mereka berdasarkan pada dua prinsip dasar Ortega. Cara ini membuatkan mereka mampu membuat restocking dengan cepat. Pekerja Inditex bekerja dengan cepat dan efisien: Pereka menghasilkan sebanyak tiga rekaan dalam sehari, dan setiap pembuat pola memotong satu sampel. Mereka juga mempunyai pakar-pakar penjualan komersil yang mempunyai pengetahuan tentang kawasan tertentu (regional expertise) serta memahami selera dan kebiasaan pelanggan. Melalui laporan penjualan daripada pengurus-pengurus kedai Zara mereka dapat mengenal pasti produk mana yang menjana jualan tinggi dan apa yang diinginkan oleh para pelanggan.

Hairannya, Ortega tidak mempunyai bilik pejabat. Malah sekarang, orang ketiga terkaya di dunia itu duduk di meja yang terletak di hujung ruang bekerja terbuka di bahagian pakaian wanita. Ortega lebih suka memilih kain untuk disentuh daripada memo untuk dibaca. Gaya kerja Ortega dan kemampuannya untuk berkomunikasi dengan setiap pekerja, termasuk pekerja jawatan rendah, menimbulkan persoalan yang menarik: Adakah gaya eksekutifnya akan lebih bersifat hierarki dan konvensional jika dia berasal dari sebuah keluarga istimewa dan memiliki MBA; dan bukan dari latar belakang miskin dan kurang berpelajaran?

“Kemiskinan jelas membentuk siapa dirinya,” kata Blanco, penulis biografi tidak rasmi itu. “Ada semangat dahagakan kejayaan dalam dirinya. Cuba namakan seorang peninju hebat yang tidak berasal dari latar belakang seperti ini. ”

Separa bersara, Ortega kini tinggal rumah lima tingkat menghadap ke laut di daerah La Coruña, di kota yang sentiasa sibuk. Beliau bersarapan setiap pagi (telur dan kentang goreng) dengan kenalannya di kelab usahawan La Coruña, dan beristirahat di pinggir kota ke rumah keluarga besarnya, di mana dia mengguling kambing dan ayam bakar dan berkumpul bersama anak-anaknya yang sudah dewasa. Seperti suatu kebiasaan, Ortega akan mencurahkan waktu seminggu dalam setahun untuk jalan menuju ke Galicia.

Zara mungkin sudah berubah. Akan tetapi orang yang membangunkannya akan sentiasa menjadi hero bagi mereka yang berasal dari sebuah kawasan ladang. Pernah sekali ketika menghadiri pembukaan cawangan Zara di Manhattan, Ortega menyaksikan para pembeli berduyun-duyun di luar kedai. Dia amat terharu sehingga perlu mengurung diri di bilik mandi dan menangis. “Tidak ada yang boleh melihat air mata mengalir di wajah saya,” katanya kepada O’Shea. “Dapatkah kamu membayangkan bagaimana jika orang tua saya melihatnya? Betapa bangganya mereka kerana anak mereka telah menguasai Amerika, berasal dari kota kecil yang tidak dikenali di hujung utara Sepanyol!”

Jadi, apakah alasan yang menghalang anda untuk berjuang meraih kejayaan?