Tokoh Perniagaan

Carlos Slim Helu, Tokoh Usahawan Yang Serba Boleh

Carlos Slim Helu merupakan tokoh perniagaan terkenal di dunia. Walaupun beliau bukannya tinggal di negara maju, warga Mexico ini mampu menempatkan namanya dalam senarai orang terkaya di dunia. Tahun ini, Forbes menamakan Carlos sebagai orang ketiga terkaya di dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak USD 35 billion.

Perniagaan Carlos yang paling berjaya adalah dalam sektor telekomunikasi. Sektor ini sememangnya berkembang pesat di seluruh dunia dan ia mempunyai masa depan yang cerah. Melalui Telmex, Carlos menguasai 99 peratus jaringan telefon tetap (land line) di Mexico. Selain itu, Carlos menguasai 80 peratus pasaran talian telefon mudah alih melalui Telcel dan America Movil. Jumlah pelanggan America Movil kini mencecah lebih daripada 100 juta orang.

Menurut beliau, perniagaan telekomunikasi amat penting di zaman ini. Telekomunikasi membolehkan orang ramai di seluruh dunia saling berkenalan dan menjalankan urusniaga.

Carlos bukan sahaja bergantung dengan pasaran Mexico malah beliau turut meluaskan perniagaan ke Amerika Syarikat. Ketika ini beliau merupakan pemegang saham individu terbesar sebanyak 13 peratus dengan MCI, organisasi telekomunikasi dari Amerika Syarikat yang mempunyai jarinagn perniagaan di 65 negara. Carlos juga memegang saham SBC Communications yang merupakan induk syarikat telekomunikasi tersohor di Amerika Syarikat, AT&T.

Carlos turut menceburi sektor teknologi maklumat (IT). Beliau memegang saham CompUSA, sebuah syarikat jualan peralatan dan komponen komputer yang mempunyai rangkaian penjualan terluas di Amerika Syarikat. Carlos merupakan pemegang saham majoriti dalam syarikat yang beribu pejabat di Texas tersebut. Setakat ini, syarikat itu mempunyai 200 rangkaian pusat jualan di Amerika Syarikat sehingga ke Puerto Rico.

Selain itu, Carlos mempunyai empayar perniagaan yang merangkumi pelbagai bidang lain. Selain telekomunikasi dan IT, beliau turut menceburi bidang kewangan, stesen televisyen, kesihatan, industri rokok, pelaburan dalam pasaran modal, pembinaan dan infrastruktur, dan restoran. Malah, perniagaannya turut berkembang dari Amerika Latin, ke Amerika Syarikat, Hong Kong, hinggalah ke Finland.