Tokoh Perniagaan

Kisah Jutawan Produk Terlajak Laris

Terlajakkk Laris… Pernahkah anda mendengarnya di mana-mana?

Menggunakan tagline ‘Terlajak Laris’ sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang didominasi wanita bukan satu perjalanan mudah. Masalah dari segi modal dan kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul dan kesusahan yang dihadapi sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.

Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah.

Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal.

Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.

Bergelar suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. Sambil menyelam minum air, itulah yang beliau amalkan apabila beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel dijalankan. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia.

Pada peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Syarikat yang ditubuhkan pada September 2010 ini pada mulanya hanya beroperasi di lot kedai di tingkat dua dengan hanya seorang pekerja sahaja. Namun kini, syarikat itu sudah berpindah ke bangunan empat tingkat dengan seramai 15 orang pekerja serta telah menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru. Malah, produk-produk beliau dihasilkan di kilangnya sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing Sdn Bhd.

Menggunakan selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, menjadikan produknya menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahannya 100 peratus berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya. Menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, beliau berharap dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.