Tokoh Perniagaan

Rahsia Kejayaan Chef Wan

chefwan

  WANG, populariti dan glamor. Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa seorang chef juga boleh menandingi kehebatan seorang artis, ahli politik atau ahli sukan yang terkenal. Sejak lebih 20 tahun dahulu, chef dianggap antara profesion yang amat menarik dan menguntungkan untuk diceburi. Seorang chef boleh mengundang rasa kekaguman ramai atas kebolehan dan kreativiti mereka dalam menyediakan pelbagai jenis masakan dengan gabungan seni kulinari.

Kita sering mendengar seorang chef mengatakan bahawa, masakan yang enak datangnya daripada hati yang ikhlas. Kata-kata itu mempengaruhi sebahagian besar daripada kita apabila memasak di dapur. Apa pun, daya penariknya, ramai yang mahu menjadi chef kerana kerjaya yang dikuasai oleh kaum lelaki itu mampu meraih pendapat yang lumayan. Ada di antara mereka menimba pengalaman dengan bekerja di hotel-hotel, kemudiannya membuka restoran sendiri dengan menjalankan perniagaan katering, ada yang menghasilkan buku dan beberapa chef terkenal tampil di televisyen mengendalikan rancangan-rancangan masakan mereka sendiri.

Dalam pada itu, minat orang ramai terhadap rancangan-rancangan masakan dan penyediaan makanan di televisyen membuatkan golongan ini terus mendapat perhatian. Di kebanyakan negara, rancangan yang dikendalikan atau dihoskan oleh chef-chef terkemuka mereka ini mendapat rating yang tinggi.

Di Malaysia, Datuk Chef Wan merupakan chef paling terkenal dan dikatakan menerima pendapatan tertinggi berbanding dengan chef lain di negara ini. Beliau yang hampir 30 tahun menceburi bidang itu bermula dari bawah dan kini bakatnya dalam bidang tersebut diiktiraf di peringkat dunia dan menjadi kebanggaan negara.

Dilahirkan pada tahun 1958 di Singapura, pemilik nama Redzuawan Ismail ini merupakan pengacara masakan No 1 di Malaysia. Pada usia tiga tahun, keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayahnya dipindahkan dari The British Royal Air Force ke The Malaysian Air Force. Menetap di pangkalan Angkatan Tentera Udara, di sinilah beliau mengembangkan bakat memasak. Seni memasak yang dipelajari daripada ibunda dan nenda tercinta serta didorong rasa ingin tahu dan sering melakukan eksperimen, telah mengasah bakat Chef Wan di dapur.

Menerima gelaran Datuk baru-baru ini, penat lelah selama lebih 30 tahun yang dipikul beliau dalam mengharumkan nama negara akhirnya terbalas. Figura terkenal ini telah berjaya membuka mata banyak pihak bukan saja dalam negara malahan di peringkat antarabangsa dalam bidang masakan yang rata-ratanya dimonopoli oleh kaum Hawa.

Memasak untuk personaliti terkenal seperti Sultan Brunei dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, kehebatan beliau bukan pada penghasilan hidangan istimewa tetapi pada celoteh dan keletahnya yang unik dan mampu memukau penonton sepanjang hari. Antara trademark beliau ialah menggunakan leteran nenek di kampung dalam interaksi dengan penonton yang tidak pernah gagal untuk memikat hati penonton. Beliau juga digelar Jamie Oliver di Britain dan Martha Stewart di Amerika tetapi versi Malaysia

Tidak ramai yang tahu bahawa tukang masak kesayangan rakyat Malaysia ini adalah seorang akauntan bertauliah. Dek kerana minat yang amat mendalam dalam bidang masakan, beliau berhenti kerja, ambil ijazah dalam Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat dan berusaha gigih untuk menjadi seorang chef yang kreatif, berinovasi dan profesional. Beliau mengambil keputusan drastik dengan membuat belok terbesar dalam hidupnya pada 17 tahun dulu walaupun keputusan itu akan mengecewakan bapanya. Tidak mampu lagi untuk membohongi diri, berpakaian kemas dan menjalani kehidupan korporat bukanlah sesuatu yang ingin dilakukannya dalam hayat ini. Tujuh tahun bekerja untuk sebuah bank membuatkan beliau rasa terseksa dan mengatakan pada diri bahawa enough is enough. Beliau terdesak untuk melakukan perubahan kerjaya dan mahu melakukan sesuatu yang dicintainya iaitu makanan. Mengimbas kembali pada turning point beliau, tiada siapa yang menyangka bahawa Chef Wan tidak pernah menyesal akan keputusan untuk beralih profesion. Walaupun beliau harus bermula daripada bawah dengan membasuh pinggan mangkuk dan pada masa yang sama membiayai pengajiannya sendiri, beliau puas. Selain daripada ijazah yang diperoleh, beliau turut memiliki Diploma dari Hotel Ritz, Paris.

Mewarisi bakat masakan daripada ibunda, figura yang petah berbicara ini berpendapat bahawa makanan adalah senjata terbaik untuk menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia dan makanan juga menunjukkan budaya dan bangsa. Tambahan beliau lagi, bidang masakan ini terlalu luas, semakin banyak yang diteroka, semakin banyak peninggalan yang diwariskan oleh orang dulu-dulu.

Sepanjang penglibatan beliau dalam rancangan masakan, antara program masakan yang paling diingati rakyat Malaysia ialah The Kuali Cook Show , Chef Wan , dan yang paling terbaru iaitu Citarasa Sedunia Bersama Gas Petronas . Tetapi rancangan masakan TV antarabangsa seperti A Taste of Australia with Chef Wan (Australian ABC Network), Flavours of Asia (Prime 12, Singapore), Market Kitchen (UK Food Network), Flavours of the World (TV4, Sweden) dan Chef Wan and Gino’s Specials (Orge TV, Norway) yang membuka jalan ke kemasyhuran di seluruh dunia. Untuk semua dedikasi kepada industri makanan, Chef Wan telah dinamakan Chef Selebriti televisyen Terbaik di Anugerah Buku Masakan Dunia Gourmand tahun lepas di Perancis.

Pada masa masyarakat menjangka Chef Wan akan berehat bersama keluarga, beliau baru sahaja selesai penggambaran program masakan  Ekspedisi Chef Wan  musim kedua untuk TV9. Beliau telah pergi ke Thailand, Vietnam, Hong Kong, Macau, Bali dan London untuk penggambaran. Untuk musim ketiga dan keempat, beliau akan ke Mauritius, Turki, Korea, Mesir, Sweden, Lebanon dan Syria. Terkenal sebagai seorang yang bekerja kuat, beliau pada masa ini sedang sibuk berdiskusi dengan TV3 untuk menghasilkan rancangan temu bual sendiri yang bakal menggabungkan topik-topik makanan seperti yang kerap disentuh Oprah Winfrey dan Martha Stewart. Dan seolah-olah yang tidak cukup dengan rencana harian yang padat, beliau bakal melancarkan pelbagai set pinggan mangkuk dan dapur, yang dinamakan Chef Wan Lifestyle dengan cara jualan langsung.

Seorang yang menghargai kecantikan, beliau gemar belajar tentang budaya setiap negara yang beliau lawati. Bagi beliau, setiap budaya mempunyai definisi sendiri tentang keindahan, maka beliau sering membawa pulang sekurang-kurangnya satu barang cantik yang menjadi simbol budaya negara yang telah dilawati sebagai kenang-kenangan dan biasanya dipamerkan di ruang tamu rumah beliau.

Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini merupakan Duta Makanan yang dilantik oleh Kementerian Pelancongan pada 2010 kerana menghargai sumbangannya memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pada tahun lalu, sumbangannya sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima dua anugerah berprestij daripada National Critics Choice. Anugerah berkenaan ialah Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia. Pada tahun yang sama, beliau telah diberi penghormatan bagi menjayakan program bual bicara pagi, NBC Today yang disiarkan secara langsung untuk saluran NBC di AS. Program televisyen itu berlintas langsung dari taman rekreasi Suria KLCC dan berlatar-belakangkan bangunan berkembar KLCC yang disaksikan oleh jutaan rakyat AS. Dan yang terbaru, Kerajaan Thailand memberinya gelaran Friends of Thailand Award pada September 2010. Sejurus selepas itu, beliau dipilih sebagai Malaysia Airlines (MAS) Holiday Travel Icon Ambassador pada November 2010 yang berperanan untuk menjelajah dunia dengan pelbagai jenis masakan.

Menurut Chef Wan, kelebihan menjadi seorang chef ialah mampu membuatkan orang gembira. Beliau percaya bahawa makanan membawa kegembiraan. Tidak kira lah sama ada masalah hidup yang dihadapi kecil atau besar, tiada masalah sebesar kebuluran! Tetapi beliau tidak ingin menjadi chef biasa, disebabkan nature beliau yang agak ‘gila-gila’, beliau suka melancong, berlakon, menyanyi, menulis dan yang paling biasa dilihat iaitu bercakap Beliau memasang impian untuk membawa keamanan kepada dunia melalui makanan. Makanan mampu menyatukan pelbagai jenis manusia daripada pelbagai jenis bangsa dan kebudayaan kerana apabila semua duduk makan bersama, figura hebat ini yakin bahawa semua masalah dapat diselesaikan.

Juga aktif di laman maya, Chef Wan melalui laman Facebooknya berkongsi pandangan mengenai kehidupan sesetengah orang yang tertekan dengan kekangan kewangan atas pelbagai faktor sampingan. Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Chef Wan menegur sikap segelintir masyarakat yang menjalani gaya hidup mewah serta banyak melepak merupakan punca utama kehidupan seseorang itu umpama “kais pagi makan pagi kais petang makan petang”. Berdasarkan pengalamannya, Chef Wan dikatakan sudah banyak kali bertemu dengan orang malas berusaha dan membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Chef Wan menegur supaya individu berkait tidak menuding jari terhadap orang lain jika berlakunya sesuatu kesusahan.

Chef Wan mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya Serina Redzuawan, seorang pelakon yang telah muncul dalam beberapa siri drama Malaysia. Anak Chef Wan, Muhammad Nazri bin Redzuawan, mengikuti jejak langkah ayahnya dengan menjadi seorang tukang masak juga. Beliau merupakan seorang bapa yang bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik anak lelaki dan perempuannya.

Setelah mendapat segala-galanya, kemasyhuran dan kesenangan, Chef Wan berharap dapat bekerjasama dengan chef-chef tempatan untuk menghasilkan buku ensiklopedia masakan mengandungi semua masakan dari setiap negeri, senarai rempah ratus, petua masakan dan resipi. Ia buku rujukan lengkap mengenai masakan. Beliau sendiri sudah mula mengumpul bahan sejak empat tahun lalu dan dalam memberikan yang terbaik, beliau sanggup meredah kampung mencari resipi terkenal di sesuatu daerah itu. Menurut beliau lagi, beliau sanggup bayar asalkan mendapat resipi tradisi yang lengkap dan betul.