Perniagaan, Umum

Perniagaan Butik Pakaian

Sebelum meneruskan pembacaan, lihat dahulu tawaran Perniagaan Butik Pakaian untuk dijual.

Butik Pakaian Veralinn Couture

Alamat premis:

399, Ground Floor,

Jalan Haruan 4/2,

Oakland Commercial Ctr,

70300 Seremban,

Negeri Sembilan.

Beberapa fakta tentang premis ini:

1. Berdekatan dengan Seremban 2, bandar yg pesat membangun

2. Lokasi di belakang Columbia Hospital

3. Sebaris dengan Etiqa Insurance, 7-Eleven dan 2 restoran

4. Berdekatan dgn Tmn Oakland, Bkt Kepayang, Bkt Chedang dan Bandar Baru Sendayan

5. Banyal lot parking dan adalah percuma

6. Ramai pengunjung pada hari bekerja dan hari Sabtu

7. Nilai komersial yg sedang meningkat disebabkan pertambahan penduduk selain dari pejabat2 kerajaan, kilang serta beberapa insititusi yg sedang dibina berdekatan dgn premis.

8. Sewa kedai yg murah pada RM800/sebulan

9. Ramai pelanggan tetap yg masih membeli dari premis ini.

Harga: NEGOTIABLE

Hubungi pemilik butik untuk pertanyaan lanjut:   012-611 2654 (En Azman)

Perniagaan Butik Pakaian

Butik, berasal daripada perkataan Perancis boutique, membawa maksud “kedai”, yang lazimnya merujuk kepada kedai khusus untuk fesyen seperti pakaian dan perhiasan .

Terdapat dua konsep biasa dalam perniagaan butik pakaian, sama ada pelanggan boleh melakukan jual beli ataupun secara sewa, yang kebiasaannya dilakukan oleh butik pakaian pengantin. Ada juga butik yang dibuka secara francais, mengikut terma dan syarat pemberi francais dan ada juga yang dibuka oleh syarikat persendirian. Semua ini bergantung kepada konsep dan jenama pilihan empunya butik. Antara jenama butik yang terkenal yang terdapat di pasaran negara adalah seperti butik First Lady, Ariani, Alfio Raldo, Mothercare dan Anakku.

Jika ditanya kepada setiap individu, tentunya ramai yang berminat untuk membuka butik pakaian, tak kira pakaian wanita, kanak-kanak, menjual tudung ataupun jubah, butik pakaian perkahwinan ataupun pakaian sukan. Sudah pasti mereka yang ingin mengusahakan butik-butik ini mempunyai objektif yang sama, iaitu ingin menampilkan pelbagai koleksi terbaik mengikut konsep butik, pakaian yang memenuhi cita rasa semasa, mempunyai rekaan yang terkini dan menarik untuk pelanggan mereka.

Untuk memulakan perniagaan butik pakaian bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh terjadi dalam sekelip mata. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan, di bawah ini hanyalah beberapa faktor penting yang akan kita bincangkan.

Pelan Perniagaan

Sediakan pelan perniagaan anda!

Pelan perniagaan merupakan satu dokumen bertulis yang menerangkan secara menyeluruh tentang perniagaan yang ingin anda jalankan. Dianggap sebagai pelan induk, pelan perniagaan ini akan menerangkan kajian dan langkah yang akan diambil untuk membangunkan perniagaan, ramalan, jangkaan dan juga strategi perniagaan.

Pelan perniagaan memberi gambaran keseluruhan proses perniagaan dan juga garis panduan dalam pengurusan perniagaan. Ia juga merupakan antara dokumen yang diperlukan untuk meyakinkan firma kewangan terhadap idea-idea pelaksanaan perniagaan, sekiranya terdapat keperluan untuk membuat pinjaman kewangan sebelum memulakan perniagaan.

Dengan adanya pelan perniagaan, saingan utama dalam perniagaan akan dapat dikenal pasti, kekuatan dan kelemahan saingan dinilai dan strategi yang betul dalam menghadapi saingan dapat ditentukan. 

Mendaftarkan Perniagaan Butik Pakaian Anda

Permohonan penamaan perniagaan butik pakaian haruslah dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Badan ini akan menyemak dan memastikan nama yang dipilih tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana syarikat yang sedia ada sebelum permohonan itu diluluskan.

Terdapat dua jenis perniagaan utama yang terbuka untuk pendaftaran iaitu sama ada perniagaan adalah hak milik mutlak / hak milik sendiri atau perkongsian perniagaan.

Bagi mereka yang memilih untuk mendaftar butik pakaian mereka sebagai hak milik sendiri, maka syarikat tersebut akan dinamakan atas nama sendiri, dan anda bertanggungjawab sepenuhnya dalam menanggung risiko yang terdapat dalam perniagaan.

Untuk perkongsian perniagaan, terdapat lebih daripada seorang pemilik dalam syarikat yang memiliki perniagaan tersebut. Dengan pendaftaran lebih daripada seorang pemilik, segala risiko dalam perniagaan dapat ditapis dan keseluruhan risiko tidak ditanggung secara bersendirian.

Terdapat juga pelbagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain yang perlu dipatuhi. Pastikan perniagaan butik pakaian anda tidak melanggar undang-undang atau peraturan yang telah ditetapkan.

Modal

Untuk memulakan dan menjalankan perniagaan butik anda, perlu ada modal yang mencukupi. Modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis butik yang ingin dibuka, lokasi, modal bahan dan jenis pakaian atau perhiasan yang ingin dijual kepada pelanggan.

Modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan mungkin daripada hasil simpanan peribadi ataupun pinjaman yang dibuat kepada pihak bank atau firma kewangan. Jika ingin mendapatkan pinjaman daripada pihak bank atau firma kewangan, kebiasaannya pihak ini memerlukan pelan perniagaan atau kertas kerja yang menceritakan secara terperinci tentang perniagaan butik yang ingin dibuka. Pelan ini kemudiannya akan dinilai oleh pihak bank atau firma kewangan sebelum kelulusan pinjaman dibuat.

Bagi mereka yang baru mula hendak berjinak-jinak dan kurang pengalaman dalam bidang perniagaan, adalah digalakkan untuk bermula pada skala yang kecil, agar mudah untuk dibangunkan serta senang untuk diuruskan. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan butik pakaian.

Jika tidak mempunyai modal yang mencukupi, atau masih banyak komitmen atau keutamaan yang lain, anda boleh memilih untuk mencuba perniagaan dalam talian (online business). Tiada kos sewa premis kedai, dan hanya bergantung pada pemasaran di internet dan perkhidmatan pos untuk penghantaran produk kepada pelanggan. Laman web ini pula boleh dibangunkan secara percuma jika menggunakan platform seperti BlogSpot atau WordPress. Sebagai alternatif lain, anda juga boleh membuka satu akaun jualan butik yang baru dalam Facebook, dan membuat pemasaran melalui aplikasi Facebook itu sendiri.

Permintaan Pasaran / Prospek Pelanggan

Ramai yang mempunyai minat untuk membuka perniagaan butik pakaian, malangnya tidak pasti apakah barangan yang ingin dijual itu mempunyai permintaan pasaran yang kuat. Membuat sedikit kajian tentang barangan dan permintaan pasaran adalah asas sebelum memulakan perniagaan demi memastikan barangan yang ingin dijual di butik anda dikehendaki oleh para pengguna. Membuat kajian juga dapat mengelakkan anda daripada mengalami kerugian kesan daripada barangan yang tidak mampu dijual atau tidak laku.

Kajian boleh dilakukan secara menyeluruh atau menggunakan kaedah pencarian percuma yang terdapat di Internet, salah satunya Google Ad words. Kaedah pencarian ini akan memberikan anda gambaran pasaran dan permintaan produk menggunakan statistik carian pengguna di internet. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, sudah tentu anda boleh menggunakan khidmat firma penyelidikan profesional yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan kajian-kajian kepenggunaan yang lebih bersifat komersial. Hasil kajian berkemungkinan adalah lebih terperinci dan tepat, dan disampaikan dalam bentuk yang lebih profesional.

Lokasi Tempat Perniagaan

Memilih lokasi butik yang strategik dan sesuai, adalah penting bagi menjamin keuntungan perniagaan. Perniagaan butik pakaian seharusnya dibuka di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan. Untuk menggalakkan jual beli, kawasan perniagaan butik pakaian seharusnya berada di tempat tumpuan dan laluan orang ramai.

Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain. Antara faktor lain yang perlu dititik beratkan sebelum memilih lokasi butik adalah seperti kepadatan penduduk dan pendapatan isi rumah masyarakat setempat.

Sumber bekalan / Stok Pakaian

Mereka yang mempunyai perniagaan butik pakaian perlu mengetahui sumber untuk mendapatkan bekalan produk jualan dengan seberapa murah dan mudah juga perlu tahu tentang pembekal yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik. Bukan mudah untuk mencari pembekal yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai agar pesanan barang sampai ke tangan pada masa yang sepatutnya. Proses pesanan barangan perlu difahami dengan betul dan pengiraan keuntungan yang akan diperoleh harus dilakukan sebelum pesanan dibuat. Barangan yang diterima daripada pembekal hendaklah sentiasa dipantau dan diperiksa dengan teliti, manalah tahu jika terdapat apa-apa perbezaan daripada segi warna, kualiti fabrik dan material yang diterima berbanding dengan pada masa pesanan dibuat.

Disebabkan pembelian stok pakaian daripada pembekal selalunya dilakukan dalam kuantiti yang besar, maka perlulah berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kes penipuan. Anda perlu pastikan syarikat pembekal, alamat dan nombor telefon yang diberikan adalah perniagaan yang sah sebelum pesanan dibuat kepada pembekal.

Kesetiaan Pelanggan

Terdapat pelbagai cara untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan terhadap perniagaan anda. Jika penjualan barangan dilakukan secara fizikal (face to face ), maka anda perlu berikan khidmat pelanggan yang terbaik. Jika layanan yang diterima oleh pelanggan amat memuaskan hati mereka, mereka pasti akan kembali ke butik pakaian anda, walaupun terdapat pesaing yang menawarkan harga yang lebih rendah. Jangan sesekali melayan pelanggan anda dengan sikap acuh tak acuh, ingat pada frasa “Customers are always right!”.

Jika internet adalah medium pemasaran anda, jangan lupa untuk mengintegrasikan laman web anda dengan fanpage anda di Facebook. Anda juga boleh menggunakan e-mail untuk mempromosikan produk pakaian anda. Gunakan kreativiti anda untuk menulis ayat yang menarik dalam e-mail tersebut.

Kebiasaannya, peniaga juga akan memberikan produk percuma atau cenderahati kepada pelanggan yang berbelanja lebih, namun pastikan produk percuma itu memberi manfaat dan benar-benar boleh digunakan. Mintalah pelanggan anda untuk menyebarkan promosi perniagaan anda kepada rakan-rakan mereka yang lain. Hal ini boleh dijadikan sebagai medium untuk menarik pelanggan-pelanggan baru ke butik perniagaan anda, seterusnya dapat menjana penjualan barangan anda.

Adalah lebih baik jika terdapat pelanggan yang dengan sukarelanya ingin memberikan pandangan mereka terhadap barangan yang diniagakan. Masukkan satu atau dua testimoni daripada pelanggan yang berpuas hati dengan pembelian di butik perniagaan anda dan letakkan pada halaman web butik perniagaan anda.

Sekiranya anda menerima sebarang aduan sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan (bersemuka atau melalui telefon), kendalikan ia dengan cara yang berhemah dan sabar. Rekod dan analisa aduan pelanggan. Seterusnya, fikirkan cara untuk memperbaiki mutu barangan yang dijual, proses penjualan dan perkhidmatan anda. Balas sebarang aduan yang dilakukan secara bertulis dengan kata-kata maaf dan kesalan.

Apabila anda dapat membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan menjadi rakan baik mereka, berkemungkinan besar mereka akan menjadi pelanggan yang setia dan akan kembali membeli di butik pakaian anda. Carilah cara yang terbaik untuk membina kesetiaan pelanggan anda.

Kesimpulan

Beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan adalah seperti yang dibincangkan iaitu persediaan pelan perniagaan, pendaftaran perniagaan, modal permulaan perniagaan, lokasi yang bersesuaian, sumber bekalan atau stok pakaian dan juga bagaimana untuk membina perhubungan yang baik dengan pelanggan anda.

Untuk nampak menarik, pelanggan ada kalanya sanggup mengeluarkan wang semata-mata untuk tampil bergaya dengan busana ataupun pakaian yang berkualiti dan mengikut selera mereka. Hargai pelanggan anda dengan memberikan barangan yang berkualiti, harga yang berpatutan dan khidmat pelanggan yang baik. Tiada apa yang lebih mengembirakan, jika kunci kira-kira anda setiap bulan ditutup dengan keuntungan!