Pelaburan, Umum

Skim Persaraan Swasta

sps

Mencapai umur persaraan, namun masih menanggung pelbagai hutang dan pinjaman adalah satu mimpi ngeri bagi setiap insan di dunia ini.  Duit KWSP yang diterima setelah ditolak dengan pinjaman perumahan, kereta dan bayaran hutang kad kredit menunjukkan nilai defisit.  Duit simpanan pula tidak mencukupi untuk menanggung kos perbelanjaan harian keluarga seperti membayar petrol, bil utiliti, pakaian dan makanan.  Ini senario yang biasa dalam masyarakat di negara kita.  Tentu anda akan terfikir, di saat itu, dan dengan usia yang sudah mencapai 55 tahun, apa lagi yang mampu mereka lakukan?

Senario di atas disokong oleh satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010.  Kaji selidik ini khusus untuk mengkaji tahap celik wang rakyat Malaysia.  Didapati purata responden yang bakal menghampiri umur persaraan, mempunyai tahap celik wang yang sangat rendah.  Kaji selidik ini juga mendapati rakyat Malaysia dalam golongan persaraan ini juga kurang mahir menguruskan kewangan mereka jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia daripada kumpulan umur yang lain.  Agak menakutkan, bukan?  Tentu tiada masalah, jika anda seorang pesara kerajaan yang bakal menikmati wang pencen setiap bulan.  Namun, jika anda seorang pesara swasta, dan tidak memiliki kemahiran menguruskan kewangan, wang KWSP yang diperoleh mungkin tidak akan kekal untuk kegunaan jangka masa yang lama.

Statistik jangka hayat rakyat Malaysia juga menunjukkan purata hayat bagi warga lelaki adalah pada usia 75 tahun dan bagi wanita pula adalah pada usia 80 tahun.  Ini bermakna, jika anda seorang pesara swasta yang memilih untuk pencen pada usia 55 tahun, maka masih ada baki 20 tahun lagi tempoh ‘survival’ untuk hidup tanpa gaji bulanan dan hanya berbekalkan wang KWSP tadi sahaja.  Bagi wanita pula, mereka berkemungkinan akan hidup 25 tahun lagi selepas tempoh persaraan.  Mampu kah mereka hidup dan melalui tempoh 20-25 tahun ini dengan hanya berbekalkan wang KWSP sahaja?

Untuk mengatasi masalah kekurangan simpanan selepas persaraan, beberapa persoalan perlu dijawab untuk mengagak kedudukan kewangan anda sekarang.  Pertama sekali kira berapa jumlah simpanan dan aset yang anda miliki, termasuk wang simpanan peribadi, wang di dalam akaun KWSP, pelaburan Unit Trust, pelaburan emas, jumlah wang yang diterima daripada polisi insurans yang telah matang, juga aset rumah dan kenderaan.  Kedua, kira berapakah baki pinjaman yang anda ada, seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta atau pinjaman peribadi.  Ketiga, tentukan jumlah simpanan daripada pendapatan bulanan anda.  Semakin meningkat usia anda, sepatutnya semakin banyak wang yang disimpan setiap bulan.  Setiap kali kenaikan gaji, masukkan sebahagian daripadanya ke dalam simpanan persaraan.  Keempat, kira baki tahun yang anda anda sebelum anda mencapai umur persaraan.  Adakah anda akan hidup selesa menjelang usia persaraan anda? Atau mungkin kah segala hutang piutang itu akan kekal sehingga anda bersara kelak?

Apabila semua yang di atas tadi telah terjawab, maka anda akan dapat mengenal pasti tahap kewangan anda.  Jika simpanan anda kurang, maka mulalah menabung untuk persaraan.  Kerajaan Malaysia juga amat komited dalam membantu rakyat negara ini melalui tempoh persaraan mereka.  Baru-baru ini, Skim Persaraan Swasta (PRS) telah diperkenalkan sebagai salah satu alternatif untuk menambah baik taraf kehidupan warga Malaysia khususnya bagi mereka yang bekerja swasta selepas persaraan mereka nanti.

Skim persaraan swasta (PRS) yang mula ditawarkan kepada orang ramai pada penghujung tahun 2012 adalah merupakan satu skim pelaburan yang dibuat secara sukarela oleh pencarum nya.  Skim ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bekerja swasta untuk membuat simpanan bagi persaraan mereka. Jangan pula keliru, PRS adalah berbeza dengan caruman mandatori yang dibuat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  Objektif utama tabungan PRS adalah untuk memastikan setiap pencarum nya mempunyai simpanan dan aset kewangan yang mencukupi untuk kegunaan menjelang persaraan nanti.  Idea mengenai PRS ini adalah hasil daripada cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada Kerajaan Malaysia.

[auth]

Dengan hanya memberi bukti pengenalan diri seperti kad pengenalan atau pasport, seseorang itu boleh membuka akaun PRS.  Setelah akaun dibuka, mereka akan menerima nombor akaun dan kata laluan untuk digunakan setiap kali ingin melakukan transaksi dalam dana yang di carum.

Pelabur yang mencarum dalam PRS boleh memilih dana persaraan berdasarkan beberapa faktor seperti matlamat, keperluan ketika persaraan dan ketahanan risiko.  Pilihan dana yang ditetapkan juga bergantung kepada faktor usia.  Untuk Dana Berpertumbuhan, bagi mereka yang di bawah umur 40 tahun dan memiliki maksimum ekuiti sebanyak 70%, pelaburan di luar Malaysia adalah dibenarkan.  Begitu juga di bawah Dana Sederhana, bagi mereka yang berumur antara 40-50 tahun dan memiliki maksimum ekuiti sebanyak 60%, mereka juga dibenarkan untuk membuat pelaburan di luar Malaysia.  Namun di bawah Dana Konservatif, bagi mereka yang berumur melebihi 50 tahun, pelaburan di luar Malaysia adalah tidak dibenarkan.  Begitu juga jika masih jauh lagi tempoh persaraan, anda mungkin boleh menimbangkan untuk melabur dalam dana yang berisiko tinggi namun boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi.  Sebaliknya jika anda hampir bersara, maka lebih baik memilih bentuk pelaburan yang lebih konservatif dan stabil.

Setiap ahli mempunyai pilihan sama ada untuk mencarum dalam satu dana atau lebih daripada satu dana di bawah satu PRS atau mencarum lebih daripada satu dana di bawah PRS yang berlainan.  Jika pencarum merasakan dia perlu untuk menukar dana dalam satu PRS atau bertukar kepada PRS yang lain, maka mereka boleh berbuat demikian tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh Penyedia PRS.  Namun pertukaran yang pertama hanya boleh dibuat selepas setahun ahli membuat caruman pertama.  Setiap caruman yang dibuat kepada PRS akan dibahagikan kepada sub-akaun A dan B.  Apabila pencarum PRS sudah mencecah umur persaraan, mereka berhak untuk mengeluarkan 70% simpanan daripada sub-akaun A mereka manakala baki 30% daripada sub-akaun B pula boleh dikeluarkan setahun sekali selepas itu.  Majikan juga berpeluang membuat caruman kepada PRS untuk pekerjanya dengan menentukan jumlah caruman dan memilih dana yang ditawarkan oleh Penyedia PRS.  Walau bagaimanapun, caruman daripada pihak majikan mungkin berdasarkan syarat-syarat perkhidmatan tertentu.

Sehingga 5 April 2012, 8 Penyedia PRS yang diluluskan adalah seperti AmInvestment Management Sdn Bhd, – American International Assurance Bhd, CIMB-Principal Asset Management Bhd, Hwang Investment Management Bhd, ING Funds Bhd, Manulife Unit Trust Bhd, Public Mutual Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd.

Satu badan yang diberi nama Pentadbir Pencen Swasta (PPA) telah ditubuhkan dan berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menjadi penyimpan rekod bagi semua data transaksi pencarum.  PPA juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan hal-hal yang berkaitan dengan PRS di Malaysia.  Di samping itu, PPA juga bertindak menjaga kepentingan ahli dan melindungi ahli dalam caruman PRS yang dibuat.   Badan ini berfungsi selaku pemangkin untuk pelaksanaan PRS, di samping melaksanakan penggalakan dan memberi kesedaran umum tentang kepentingan PRS kepada orang ramai.   Puan Zaiton Mohd Hassan telah diumumkan sebagai Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta yang pertama, bersama Ahli Lembaga Pengarah yang lain iaitu Datuk Nozirah Bahari; Datuk Dr. R. Thillainathan; Ou Shian Waei dan Ahmad Zakie Ahmad Shariff yang telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui Pentadbir Pencen Swasta ini.

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012, setiap individu yang mencarum dalam PRS mendapat pelepasan cukai sehingga RM3, 000 setahun bagi 10 tahun pertama bermula dengan tahun taksiran 2012.  Majikan juga turut mendapat faedah.  Melalui skim ini majikan akan diberikan potongan cukai pada kadar yang diwajibkan sehingga 19% daripada pendapatan pekerja atas caruman kepada PRS yang dibuat bagi pihak pekerja.  Pengecualian cukai turut diberikan ke atas pendapatan yang diterima daripada skim itu.

Namun harus diingat bahawa risiko pelaburan dalam mana-mana dana PRS tetap ada.  Harga seunit dan pembayaran pengagihan adalah tidak pada kadar yang tetap.  Ada kalanya akan naik dan ada kalanya mungkin turun bergantung kepada prestasi dana PRS.  Pencarum boleh menyemak pelaburan mereka melalui laman web PPA atau menghubungi terus Penyedia PRS mereka.  Sudah tentu, Penyedia PRS juga akan menghantar penyata mengenai pelaburan yang dibuat oleh pencarum. 

Daripada aspek pengeluaran pula, wang yang disimpan dalam dana PRS hanya boleh dikeluarkan sehari selepas ahli mencapai usia persaraan.  Ahli yang meninggalkan Malaysia buat selama-lamanya untuk berhijrah nak menetap di negara lain juga dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang daripada dana PRS.  Bagi ahli yang telah meninggal dunia, wang simpanannya akan diserahkan kepada pelaksana, pentadbir wasiat atau waris yang dinamai.  Pencarum juga dibenarkan untuk membuat pengeluaran sebelum persaraan dalam akaun Sub-B sekali pada setiap tahun dan dibuat setahun selepas caruman pertama.  Penalti cukai 8% akan dikenakan berdasarkan jumlah yang dikeluarkan dan akan ditolak dari akaun sub-B tadi.

Kesimpulan

Inti pati utama artikel ini ditulis adalah untuk mengingatkan semua tentang pentingnya untuk merancang persaraan daripada aspek kewangan. Kehidupan memerlukan wang, dan jika hanya bergantung kepada duit KWSP, berkemungkinan besar ia tidak akan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas persaraan nanti.   Anda mempunyai pilihan, sama ada bersara dengan hati yang senang atau terpaksa menagih simpati anak-anak dan terpaksa bekerja semula bagi menampung beban hutang yang ada. 

Skim persaraan swasta (PRS) adalah salah satu alternatif saranan kerajaan demi untuk membantu rakyat Malaysia khususnya yang bekerja swasta, menghadapi hari-hari sukar selepas persaraan.  Bagi mereka yang berminat untuk mencarum, maka tetapkan matlamat persaraan dan profil risiko anda.  Daripada situ, anda mungkin sudah boleh memilih Penyedia PRS dan dana yang anda percayai.  Perlulah diingatkan sekali lagi betapa pentingnya untuk menyimpan wang sebagai persiapan apabila bersara kelak.  Persiapan persaraan yang mencukupi amat penting bagi memastikan seseorang itu dapat hidup dengan tenang dan sejahtera selepas persaraan nanti.  Semoga artikel ini membantu anda, dan Selamat Mencarum!

[/auth]