Beban Cukai Perniagaan Tidak Tertanggung Bukan Masalah Lagi

0
580

Ramai di antara kita terutamanya usahawan merasakan bahawa cukai perniagaan adalah satu beban berat yang perlu dipikul. Lebih-lebih lagi apabila melihat angka-angka cukai yang dikenakan ke atas mereka. Cukai perniagaan sepatutnya dirancang sejak awal tahun lagi bukannya setelah akaun beraudit telah dikeluarkan. Ada juga yang mungkin tidak berpuas hati terhadap penalti yang dikenakan ke atas tambahan cukai mereka. Ada sesetengah syarikat pula langsung tidak pernah menaksirkan cukai mereka malah tidak menghantar boring percukaian syarikat mereka selama bertahun-tahun. Dapatkah anda bayangkan berapa banyak jumlah penalti yang perlu mereka tanggung. Jadi, amatlah penting bagi setiap syarikat untuk merancang cukai perniagaan terlebih dahulu agar ianya tidak bertukar menjadi beban di kemudian hari.

Namun, dalam kita merancang cukai perniagaan, terdapat dua perkara yang perlu dititkberatkan iaitu ‘Tax Avoidance’ dan juga ‘Tax Evasion’. Apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua istilah tersebut? ‘Tax Avoidance’ adalah satu cara untuk mengelak daripada membayar cukai dan mengurangkannya tetapi melalui cara yang sah di sisi undang-undang. Contoh paling mudah adalah penggunaan rebat dan juga pembayaran zakat. ‘Tax Evasion’ pula merujuk kepada usaha atau tindakan syarikat untuk menipu cukai syarikat mereka. Mereka akan memanipulasikan akaun syarikat dengan mengurangkan keuntungan bagi tujuan mengelak daripada membayar cukai. Tindakan ini adalah salah di sisi undang-undang dan individu yang melakukannya akan didenda atau dipenjara.

Para usahawan seharusnya bijak merebut peluang yang telah diberi oleh kerajaan terutamanya di dalam aspek pembayaran cukai. Hal ini disebabkan, terdapat sebilangan insentif cukai yang diberikan kepada usahawan untuk menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan ekonomi. Mereka perlu mengambil kesempatan daripada pelbagai insentif cukai yang diperuntukkan khas kepada mereka. Oleh itu, penting sebenarnya bagi setiap usahawan mempunyai pengetahuan yang baik mengenai insentif cukai yang terdapat di Malaysia agar mereka mempunyai idea untuk merancang dengan sebaiknya strategi perniagaan dan pelaburan mereka. Berikut adalah beberapa insentif utama cukai yang terdapat di Malaysia yang perlu diberi perhatian oleh para usahawan.

Pertama, insentif taraf perintis (Pioneer Status). Insentif taraf perintis ini merupakan pengecualian separa terhadap bayaran cukai bagi tempoh sehingga lima tahun. 70 peratus daripada hasil berkanun syarikat adalah dikecualikan daripada dikenakan cukai. Tempoh pengecualian lima tahun ini dikira bermula daripada tahun syarikat taraf perintis itu memulakan pengeluaran ataupun output. Insentif ini disediakan bagi syarikat yang terbabit dalam aktiviti-aktiviti perniagaan yang digalakkan atau pengeluaran produk-produk pilihan. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi menentukan produk pilihan atau aktiviti.

Kedua, insentif elaun cukai pelaburan (ITA) atau ‘Investment Tax Allowance’. Elaun ini adalah salah satu insentif cukai utama bagi syarikat yang melabur di sektor perkilangan. Kelayakan untuk ITA adalah berasaskan keutamaan-keutamaan tertentu termasuk tahap tokokan nilai, teknologi digunakan dan hubungan-hubungan perindustrian. Syarikat yang diberikan ITA bakal mendapat elaun 60% ke atas perbelanjaan modal yang layak (seperti kilang, jentera dan kelengkapan-kelengkapan lain yang diluluskan), ditanggungi untuk tempoh 5 tahun dari tarikh perbelanjaan modal yang layak pertama.

Syarikat juga boleh mengofsetkan elaun ini dengan 70% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.  Mana-mana elaun yang tidak digunakan boleh dibawa ke hadapan dengan tiada had tempoh sehingga  habis digunakan sepenuhnya.  Baki 30% daripada pendapatan berkanun pula akan dikenakan cukai pada kadar cukai syarikat ketika itu. Permohonan-permohonan hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat yang sudah menerima taraf perintis, tidak boleh menuntut ITA pada waktu yang sama dan juga sebaliknya.

Ketiga, insentif elaun pelaburan semula (RA) atau ‘Reinvestment Allowance’. Insentif ini dibenarkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada syarikat dalam sektor perkilangan yang melabur semula modal masing-masing bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran semasa atau memodenkan kemudahan pengeluaran atau berpindah ke bidang-bidang yang berkaitan. Insentif ini juga boleh didapati bagi syarikat dalam sektor pertanian seperti penanaman sayur-sayuran, penternakan, dan akuakultur. Kadar insentif elaun ini adalah sebanyak 60% ke atas perbelanjaan modal layak yang dikeluarkan dalam masa lima tahun.

Elaun ini boleh ditimbal balik dengan 70% ke atas pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran. Sebarang elaun yang tidak digunakan boleh dibawa ke tahun-tahun berikutnya dan tiada had tempoh. Selain daripada itu, sesebuah syarikat boleh menuntut sehingga 100 peratus daripada insentif elaun ini jika memenuhi syarat-syarat tertentu seperti menghasilkan produk di kawasan-kawasan yang digalakkan. Seperti dua insentif yang disebut sebelum ini, syarikat yang sudah memohon insentif lain tidak dibenarkan menuntut RA pada masa yang sama.

Syarikat kecil dan sederhana juga tidak ketinggalan untuk menerima pelbagai jenis insentif yang boleh mengurangkan cukai perniagaan mereka. Bagi syarikat kecil dan sederhana dengan modal berbayar RM2.5 juta ke bawah layak mendapat 20% pengurangan cukai syarikat ke atas pendapatan bercukai sehingga RM500, 000. Walau bagaimanapun, kadar cukai ke atas baki pendapatan bercukai kekal pada 25%. Insentif cukai diwujudkan bagi memberi dorongan kepada para usahawan untuk terus berusaha memajukan diri di dalam industri bagi mewujudkan suasana ekonomi yang maju dan berdaya saing.