Kerja Sambilan dan Pelajar : Keperluan atau Tuntutan?

0
4405

Mempunyai kerja separuh masa mahupun sambilan bukanlah satu perkara yang asing bagi pelajar universiti pada masa kini. Rata-rata pelajar memilih untuk melakukan kerja sambilan ialah ingin mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian. Selain itu, bekerja separuh masa memberikan peluang kepada bakal graduan merasai pengalaman bekerja sebelum memasuki industri pekerjaan yang sebenar. Malahan ada yang melakukan kerja sambilan semata-mata ingin mengisi masa lapang. Walaupun begitu, bekerja sambilan bagi pelajar mempunyai kebaikan dan keburukan yang seimbang. Tambahan lagi, sejauh masa kerja sambilan yang dilakukan oleh pelajar ini mempengaruhi kehidupan pelajar sebagai pelajar sepenuh masa serta pekerja sambilan separuh masa.

Sebab utama pelajar mahu bekerja sambilan ialah untuk menambah pendapatan. Persoalannya kini, tidak cukupkah perbelanjaan harian yang dibiayai oleh PTPTN kepada pelajar. Ramai yang memberikan respon bahawa mereka memilih untuk bekerja kerana sama ada pinjaman PTPTN ataupun biasiswa tidak cukup serta tidak berkembang. Maklum saja, yuran pengajian setiap semester bagi IPT awam saja dalam lingkungan RM1000, dan pembiayaan yang diberikan hanyalah 10% hingga 30% sahaja daripada yuran pengajian. Jadi bagaimana pelajar hendak mencari wang sara diri. Hal ini tidak lagi termasuk dengan perbelanjaan tambahan dalam subjek seperti kos pencetakan, perbelanjaan untuk kerja lapangan dan sebagainya. Justeru, pelajar memilih untuk bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan-perbelanjaan tambahan seperti yang dinyatakan.

Selain menambah pendapatan, mencuba pengalaman baru dan mengisi masa lapang adalah antara sebab lain pelajar memilih untuk bekerja sambilan. Kerja separuh masa melatih pelajar menjadi bakal graduan yang berdisiplin. Disiplin diri seperti pengurusan masa boleh diperbaiki dengan cara mengurus masa antara bekerja dan belajar pada masa yang sama. Dengan perancangan masa yang betul, pelajar akan sedaya upaya menggunakan masa belajar dan bekerja dengan sebaiknya. Sebagai persediaan untuk menguruskan masa, pelajar perlulah mempunyai buku perancangan (planner) harian supaya pelajar tidak terlepas atau terlupa apa-apa tarikh atau perkara penting dek kerana kesibukan bekerja dan belajar. Bukan itu saja, bekerja sambilan boleh mengasah kemahiran amali pelajar seperti kemahiran komunikasi. Penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah satu aspek yang penting yang perlu ada dalam diri pelajar. Apabila bekerja, pelajar dapat bertutur dan berbual dengan cara formal yang mana tidak diamalkan semasa sesi pembelajaran. Tempoh masa bekerja ialah waktu latihan secara tidak langsung yang patut diambil oleh pelajar bagi membaiki kelemahan dalam bertutur Bahasa Inggeris. Kemahiran seperti komunikasi ini perlu dilatih supaya menjadi amalan kebiasaan yang mana pelajar tidak akan teragak-agak ataupun dianggap anti sosial sekiranya tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik semasa bekerja nanti.

Bekerja sambilan juga membantu pelajar meluaskan jaringan perhubungan pelajar dengan industri. Jaringan perhubungan pelajar bukan saja boleh diluaskan dengan pertemuan dalam sesuatu program saja, malah boleh dilakukan dengan melakukan kerja sambilan. Dengan bekerja separuh masa, pelajar mendedahkan diri kepada tokoh-tokoh mahupun orang yang berpengaruh dalam industri pilihan kelak. Apabila mempunyai kenalan yang ramai dalam industri, proses pencarian kerja semasa melangkah masuk ke dalam industri juga akan menjadi lebih mudah. Ringankanlah mulut untuk bertanya dan janganlah lokek untuk meminta bantuan dan nasihat. Sesungguhnya orang yang bekerja dalam industri adalah lebih berpengalaman dan lebih mengetahui selok-belok sesuatu industri dengan lebih mendalam. Bekerja sambilan juga menyediakan bakal graduan ke arah senario kerja sebenar yang akan melangkah ke dalam bidang pekerjaan. Umumnya sewaktu pembelajaran, apa yang dipelajari di universiti adalah lebih kepada teori dan mempunyai kekurangan dari aspek praktikal. Apabila terdedah kepada dunia sebenar, pelajar akan lebih mudah menyesuaikan diri dalam keadaan sekeliling yang baru seterusnya membantu proses bekerja dengan lebih cepat lagi. Bekerja sambilan menyediakan pelajar mengenai perkara yang perlu dijangka dan tidak terjangka dalam industri pekerjaan.

Namun begitu, kerja sambilan turut memberi impak kepada diri pelajar. Pelajar yang sibuk mengejar wang boleh leka justeru mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Umumnya kita tahu, kelas, nota, tugasan, kuiz, dan peperiksaan adalah tanggungjawab yang perlu dijalankan sebagai seorang pelajar. Sekiranya pelajar melalaikan tanggungjawab ini maka pelajar berisiko untuk gagal dalam pelajaran, hasilnya boleh mempengaruhi masa depan pelajar sendiri. Tambahan, pelajar boleh mengalami stress dan depressi akibat tidak pandai menguruskan masa dan diri semasa belajar dan bekerja. Tugasan sebagai sudah cukup membebankan sekiranya tidak pandai membahagikan masa antara belajar dan kerjaya. Justeru, pelajar perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal sebelum membuat keputusan untuk bekerja sambilan. Sekiranya dirasakan mampu untuk menggalas kedua-dua tanggungjawab ini dengan baik maka tiada risiko yang perlu ditanggung oleh pelajar. Namun sekiranya pelajar mempunyai masalah mengurus masa dengan baik, sebaiknya mempertimbangkan dahulu sebelum memutuskan untuk membuat kerja sambilan.

Sebagai bakal graduan, tidak salah mempersediakan diri dengan kemahiran-kemahiran yang secukupnya, tetapi pelajar perlu sedar akan kemampuan serta kekuatan dan kekurangan diri dalam mengimbangi antara belajar dan bekerja. Bak kata orang masa itu emas, dan hidup ini hanya sekali. Jadi buatlah yang terbaik supaya tidak menyesal di kemudian hari.