Ketam Nipah, Haiwan Eksotik Yang Mempunyai Permintaan Tinggi

0
1702

Terdapat pelbagai isu yang timbul mengenai ketam nipah antaranya adalah; adakah ketam nipah ini halal untuk dimakan? Hal ini timbul berikutan ketam nipah dikatakan adalah sejenis haiwan dua alam. Jika dikaji dengan lebih teliti, haiwan dua alam terdapat dua kategori iaitu reptilia dan juga amfibia yang mempunyai sistem pernafasan paru-paru. Kehidupannya sebahagian di dalam air dan sebahagiannya lagi di atas darat seperti katak.

Tetapi, ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla Serrata adalah daripada jenis rustasia iaitu sama seperti udang dan kerang di mana keseluruhan hidupnya adalah di dalam air dan bernafas melalui insang dan bukannya melalui paru-paru. Ketam nipah bernafas menggunakan oksigen di dalam air sebagai pelarut. Ketam nipah hanya boleh berada di darat dalam tempoh masa yang singkat kerana di dalam insangnya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air. Air tersebut digunakan untuk bernafas, dan sekiranya air itu kering, ketam nipah itu akan mati. Oleh itu, dari segi hukum, ketam nipah adalah haiwan yang boleh dimakan.

Potensi pasaran ketam nipah

Jangan terkejut bahawa sebenarnya ketam nipah mendapat permintaan yang sangat tinggi bukan sahaja dari pasaran domestik malah juga dari pasaran luar negara. Permintaan dari pasaran domestik terutama dari restoran mewah dan hotel-hotel dilihat semakin meningkat setiap tahun. Namun, bekalan yang diterima daripada hasil kutipan liar dan juga ternakan secara tradisional pula semakin merosot setiap tahun.

Harga ketam nipah di pasaran pula menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan iaitu;

Ketam padat (saiz>250g/ekor); betina: RM25-28/kg, jantan: RM20-25/kg

Ketam lembut (saiz 120-180g/ekor); RM 25-30/kg

Ketam nipah juga turut mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran luar negara terutama dari Shanghai, Singapura, Hong Kong dan juga Dubai. Harga yang ditawarkan pula boleh mencapai sehingga RM35 sekilogram.

Cara ternakan ketam nipah

Ketam nipah boleh diternak sama ada di dalam kolam tanah, di dalam sangkar, di dalam tangki simen ataupun di dalam tangka fiber. Lebih mudah sekiranya anda menggunakan sistem tangki tertutup berbanding cara tradisional untuk menternak ketam nipah kerana;

Modal yang diperlukan untuk memulakan penternakan adalah lebih rendah.

Kawasan yang diperlukan juga adalah kecil.

Peratusan untuk ketam nipah hidup adalah lebih tinggi.

Kawalan mutu air juga mudah untuk dilakukan.

Kawalan makanan boleh dilakukan dengan lebih tepat.

Proses penuaian hasil dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Kebersihan tempat dan kualiti ketam yang diternak lebih terjamin.

Kos makanan untuk ketam nipah juga adalah rendah. Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.

Ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai. Hal ini disebabkan oleh ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka ‘menyendiri’ bagi mengelak menjadi habuan binatang lain. Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam nipah sudah boleh mula dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.

Sistem Ketam Bersepadu (ICS)

Memanfaatkan kemudahan teknologi sedia ada untuk kebaikan di masa hadapan. Itulah yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB), sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah. Syarikat ini cuba mempernalkan sistem tertutup di mana air ternakan akan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi ini dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) dan ianya dilihat sebagai satu revolusi dalam bidang akuakultur dan mampu menjana pengeluaran ketam yang berlipat kali ganda. Syarikat ini juga mendapat sokongan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan menerusi kerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak Kedah.

Syarikat ini telah melabur sehingga RM1 juta bagi membangunkan sistem ini di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan. Di situ, anak ketam dibiakkan di dalam kolam untuk membesar namun ianya lambat untuk mencapai saiz pasaran selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan juga perebutan makanan.

Di sinilah ICS diperkenalkan, di mana anak-anak ketam yang bertanya sudah mencapai 100 gram akan ditempatkan di dalam petak khas yang diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat bagi ternakan tersebut. Di bawah sistem ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit.

Sistem ini dilihat mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penternak ketam seperti kesukaran memperoleh benih ketam, ketiadaan teknologi yang sesuai dan modal yang tidak mencukupi. Ketika ini, Malaysia masih lagi mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam. Jadi dengan adanya ICS ini, ianya dilihat mampu mengurangkan kadar import tersebut. Ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini mendorong TMSB dan Jabatan Perikanan untuk mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila ketam nipah mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180 gram dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.