Nama merupakan pengenalan terhadap sesuatu perkara atau objek sama ada benda hidup atau mati. Nama juga sangat penting untuk mengenalpasti benda tersebut. Bukan sahaja manusia dan haiwan yang mempunyai nama, syarikat juga mempunyai nama yang tersendiri. Nama syarikat melambangkan syarikat secara keseluruhannya. Tetapi, tahukah anda bagaimana untuk memilih nama syarikat yang unik dan cepat terkenal? Berikut 7 tips untuk memilih nama syarikat anda!
Nama Pendek Dan Padat

Menggunakan nama syarikat yang pendek memudahkan orang lain mengingat syarikat anda. Sebaiknya menggunakan maksimun 1 hingga 2 perkataan sahaja. Anda boleh lihat, kebanyakan syarikat yang terkenal hanya menggunakan 1 hingga 2 perkataan seperti Adidas, Huawei, Google dan banyak lagi. Anda boleh mencari nama yang ringkas, padat dan pendek untuk syarikat anda.
Kesesuaian

Sangat penting untuk mencari nama syarikat sama ada ia sesuai atau tidak. Nama tersebut mesti mempunyai kaitan dan relevan dengan perniagaan yang anda jalankan. Sebagai contoh, anda berniaga alat ganti kenderaan tetapi anda menamakan perniagaan anda sebagai Kedai Runcit Ali.
Nama syarikat perlu melambangkan perniagaan apa yang anda jalankan, contohnya anda berniaga perkhidmatan “printing”, anda boleh menamakannya “Printing Express”. Nama tersebut bersesuaian dengan perkhidmatan yang anda jalankan. Pemilihan nama yang sesuai dengan perniagaan yang dijalankan adalah untuk mengelakkan kekeliruan pelanggan.
Kategori Perniagaan

Sangat penting untuk mengetahui kategori perniagaan yang akan anda jalankan agar mudah untuk memberi nama syarikat. Kategori yang dimaksudkan adalah sama ada perniagaan yang akan dijalankan dalam bidang penerbangan, pembinaan, jurutera, perkhidmatan atau F&B. Contohnya, Sushi King menyediakan makanan sushi yang tergolong dalam kategori F&B di mana nama yang digunakan melambangkan mereka berniaga makanan sushi.
Mudah Diingat

Tips ini juga sangat penting. Nama syarikat yang mudah diingat menunjukkan anda telah berjaya mempengaruhi pelanggan. Memang sukar untuk mempengaruhi pelanggan dengan menggunakan nama syarikat, lebih-lebih lagi jika nama yang dipilih tidak dapat memberi “rasa” kepada pelanggan apabila melihatnya.
Oleh itu, cari nama yang unik, yang mampu memberi “rasa” kepada pelanggan apabila mengingatkan syarikat anda. Sebagai contoh, syarikat penerbangan MAS Airlines, dalam pemikiran kita, kita dapat menikmati keindahan alam semulajadi apabila berada di atas udara, kita akan dapat melihat persekitaran yang terdapat di muka bumi.
Menggabungkan Nama Dengan Perkhidmatan

Tips untuk mencipta nama syarikat juga ialah anda boleh menggunakan gabungan nama anda dan perkhidmatan yang anda jalankan. Sebagai contoh, anda menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan, maka anda boleh namakan “Mael Sparepart”. Pastikan nama yang digunakan mudah diingat dan popular di kalangan masyarakat, contohnya “Mael Sparepart”, penggunaan nama “Mael” sangat terkenal di Malaysia. Namun begitu, anda juga boleh gunakan nama sendiri sebagai tanda anda merupakan pemilik perniagaan tersebut.
Website Domain

Bagi syarikat yang besar, penciptaan nama syarikat sangat penting untuk diwujudkan dalam carian internet. Oleh itu, anda sebagai pencipta nama, perlu melihat dari segi ini sama ada nama syarikat anda sudah berada dalam internet atau belum. Pada masa kini juga, ramai orang mencari idea melalui internet, hal ini menyebabkan pertindihan nama syarikat akan berlaku.
Anda perlu mencari nama syarikat yang mudah dan banyak dalam carian internet. Sebagai contoh, Usahawan Dot Com di mana nama syarikat ini mudah muncul dalam carian sekiranya kita mencari mengenai perniagaan. Perkembangan teknologi yang berlaku dari semasa ke semasa membuatkan kita bekerja secara kritikal untuk mengeluarkan idea yang mampu bersaing dengan syarikat yang lain. Oleh sebab itu, nama syarikat perlu melambangkan kseluruhan yang berkaitan dengan perniagaan anda.
Tidak Mengelirukan

Tips yang terakhir ialah nama akronim yang tidak mengelirukan. Sering kita lihat syarikat banyak menggunakan nama akronim untuk memudahkan disebut dan diingat. Tetapi harus diingat, penggunaan nama akronim tidaklah mengelirukan pelanggan mahupun pemilik syarikat tersebut. Lebih-lebih lagi jika nama tersebut sama dengan nama syarikat multinasional seperti PNB. Elakkan untuk berbuat demikian agar kekeliruan tidak akan berlaku.