Empayar Bisnes Les Copaque

0
683

Betul.. Betul.. Betul.. Pasti anda pernah mendengarnya bukan? Tagline ini amat sinonim dengan karakter sepasang kembar lelaki, Upin dan Ipin yang menjadi kegilaan kanak-kanak pada zaman kini. Bukan sahaja terkenal di kalangan kanak-kanak, malah karakter ini turut digemari oleh orang dewasa. Dibantu oleh watak-watak tambahan seperti Jarjit, Fizi, Ehsan,  Mei Mei, Mail, Susanti, Kak Ros, Opah, Tok Dalang dan lain-lain, cerita kanak-kanak yang sarat dengan mesej ini telah menjadi begitu popular. Bukan sahaja di Malaysia malah turut mendapat sambutan di negara jiran, Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam dan Singapura. Tambah mengagumkan lagi adalah, apabila rancangan ini turut disiarkan di rangkaian Hilal TV di Turki.

Les’ Copaque yang ditubuhkan pada 2005 adalah sebuah syarikat produksi filem yang merupakan salah satu perintis bidang animasi di Malaysia, dengan misi untuk membawa cerita Malaysia ke mata dunia. Syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) ini telah menghasilkan pelbagai animasi 3D berkualiti tinggi untuk rancangan televisyen bersiri, pengiklanan dan khidmat pesanan masyarakat. Filem pertama mereka yang dihasilkan pada 2009, Geng: Pengembaraan Bermula telah memenangi anugerah filem animasi terbaik pada Festival Filem Kuala Lumpur. Penghargaan lain yang diterima Les’ Copaque adalah Anugerah Viewer’s Choice Award melalui Festival Filem Kanak-Kanak Indonesia dan Best On-Screen Chemistry Award melalui Shout! Awards.

Sejarah perkembangan

Syarikat ini telah diasaskan oleh tiga sekawan iaitu Mohd. Nizam Abdul Razak,  Mohd. Safwan Abdul Karim, dan juga Usamah Zaid Yasin. Ketiga-tiganya merupakan bekas mahasiswa dari Multimedia University Malaysia. Mereka pada awalnya bekerja sebagai pekerja di sebuah organisasi animasi sebelum akhirnya bertemu dengan bekas pedagang minyak dan gas,  Haji Burhanuddin Radzi dan isterinya Hajah Ainon Ariff pada tahun 2005. Pertemuan itu seterusnya membawa kepada penubuhan organisasi Les’ Copaque. Ahli lembaga syarikat ini terdiri daripada Tn. Hj. Burhanuddin Md. Radzi sebagai Pengarah Urusan, Hjh. Ainon binti Ariff sebagai Pengarah Kreatif dan Usamah Zaid bin Yasin sebagai Pengarah Eksekutif.

Mengimbas kembali penubuhan Les Copaque yang disebut ‘last kopek’ (bermaksud pilihan terakhir) ini, Tn. Hj. Burhanuddin memberitahu pembabitannya dalam penerbitan siri televisyen dan filem animasi pada awalnya adalah untuk membantu tiga graduan Universiti Multimedia yang mahu menerbitkan filem animasi iaitu Mohd Nizam Abd Razak, Mohd Safwan Abdul Karim dan Usamah Zaid Yasin. Menurutnya lagi, semuanya berlaku tidak dirancang, dan ianya berlaku selepas beliau bersara daripada industri minyak dan gas. Pembabitannya dalam industri animasi ini pada mulanya hanyalah sekadar suka-suka dan langsung tidak menjangka syarikat yang ditubuhkan itu mampu berdaya saing di pasaran dan bergerak maju sehingga kini.

Pencapaian Les’ Copaque

Syarikat ini juga melebarkan jenamanya dengan menyediakan latihan menghasilkan filem animasi di pusat latihannya, LCP Animation Training Centre Sdn. Bhd. Pusat latihan ini ditubuhkan pada Februari 2008 bertujuan untuk menyediakan latihan profesional kepada pelajar lepasan pengajian tinggi ataupun individu yang berminat untuk melebarkan karier mereka di dalam industri filem dan animasi.
Les’ Copaque juga telah membawa jenama Upin & Ipin satu langkah lagi ke hadapan dengan menceburi industri makanan dan minuman dengan pembukaan ‘Geng’s Corner’. Restoran pertamanya telah dibuka di Shah Alam dan menyediakan pelbagai sajian tempatan dan barat di dalam suasana yang sesuai untuk seisi keluarga. Antara menu yang disediakan adalah Ayam Goreng Upin & Ipin, Nasi Ayam Upin & Ipin dan Gulai Kawah Opah. Geng’s Corner juga menyediakan perkhidmatan untuk sambutan hari jadi, aturcara korporat dan aktiviti kekeluargaan.

Les’ Copaque turut mengukuhkan jenamanya di pasaran dengan menembusi bidang penghasilan barangan di mana mereka bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menghasilkan produk berlesen bagi jenama Upin & Ipin yang terdiri daripada alat tulis, komik, permainan, DVD, cenderahati, bekas makanan dan minuman, coklat dan gula-gula.

Puteri cipta kelainan

Baru-baru ini, pihak Les’ Copaque telah melancarkan siri animasi terbarunya yang diberi nama Puteri. Berbeza dengan Upin & Ipin yang membawa elemen tempatan, siri Puteri mencipta kelainan apabila membawa tema ‘Princess’ namun masih mengekalkan elemen kekeluargaan dalam jalan ceritanya. Siri ini menceritakan tentang kisah lima orang puteri yang tinggal di Kerajaan Limau. Istimewanya tentang siri terbaru ini adalah disebabkan setiap puteri ini mempunyai kuasa mereka yang berbeza-beza, namun apabila mereka bergabung, kuasa mereka mampu menyelamatkan Kerajaan Limau daripada bahaya. Siri Puteri ini boleh ditonton pada setiap hari Khamis pada pukul 9 malam di TV3.
Penghargaan bertaraf dunia

Upin & Ipin telah diberi penghargaan bertaraf dunia apabila dilantik sebagai duta negara untuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Malaysia selama dua tahun. Pelantikan ini mencatat rekod dunia kerana Upin & Ipin merupakan watak animasi pertama seumpamanya yang dilantik sebagai duta pertubuhan antarabangsa itu.
UNICEF sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa siri animasi lain seperti Pocoyo dari Sepanyol tetapi tidak pernah melantik watak daripada mana-mana animasi untuk menjadi duta pertubuhan mereka. Sebelum ini, hanya selebriti serta tokoh-tokoh terkenal yang dilantik untuk menjadi duta pertubuhan berkenaan.