Empayar PTS Publishing, Penerbit Buku Tersohor di Malaysia

0
460

Kecintaannya terhadap bahasa ibunda, Bahasa Melayu dan perjuangannya untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini menyebabkan pakar Bahasa Melayu, Puan Ainon Mohd melepaskan jawatannya di DBP selepas 14 tahun berkhidmat bagi membangunkan syarikat penerbitannnya sendiri kira-kira lebih 10 tahun yang lalu.

Bermodalkan wang RM100, 000, Puan Ainon dan dua adik beradiknya yang lain iaitu Ariffin dan Abdul Aziz mula membangunkan syarikat penerbitan mereka yang diberi nama PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. Di awal penubuhan syarikat ini, mereka hanya menerbitkan buku-buku hasil karya Puan Ainon sahaja sebelum mengambil keputusan untuk turut menerbitkan karya penulis lain pula.

Idea di sebalik penubuhan syarikat

PTS ditubuhkan hasil daripada kesedaran Puan Ainon tentang kelemahan buku Melayu dan berusaha untuk mengatasinya. Jika dahulu, orang Melayu tida gemar memegang buku Bahasa Melayu di tempat-tempat awam, namun kini keadaan tersebut sudah berubah kerana buku Bahasa Melayu kini dilihat semakin menarik dan berkualiti.

Mengikut kajian, buku Bahasa Melayu dahulunya tidak cantik dan ini yang menyebabkan pembaca kurang berminat untuk memilikinya. Jika dilihat dahulu terutamanya di kedai-kedai buku elit dan dimiliki oleh kaum bukan Bumiputera, sangat sukar untuk mencari buku berbahasa Melayu kerana mereka lebih gemar menjual buku Bahasa Inggeris. Salah satu sebab mereka tidak menjual buku Bahasa Melayu adalah kerana rekaannya yang tidak menarik. Kedai buku inginkan buku yang cantik dan menarik untuk dijual. Penerbit buku Melayu tidak perlu takut untuk mengeluarkan modal bagi mendapatkan pelukis berbakat untuk menghasilkan ilustrasi cantik bagi buku yang diterbitkan kerana pembaca sering membeli buku melalui tanggapan pertama yang mereka perolehi daripada ‘cover’ buku yang dijual. Semakin menarik ‘cover’ buku yang dihasilkan, semakin tinggi potensi untuk buku tersebut dijual di pasaran.

Namun, perkembangan industri buku Bahasa Melayu sekarang amat memberangsangkan lebih-lebih lagi pasaran novel cinta Melayu. Malah, buku Bahasa Melayu kini menyumbang perolehan besar kepada kedai-kedai buku.
Kata Puan Ainon, penerbit buku seharusnya mengambil kesempatan terhadap perkembangan ini kerana orang Melayu kini lebih berpendidikan dan sudah sedar akan kepentingan amalan membaca. Di PTS, mereka cuba memenuhi kehendak pembaca dengan mengenal pasti terlebih dahulu apa yang diinginkan oleh pembaca. Sebagai contoh, untuk pasaran buku kanak-kanak atau remaja lelaki, PTS akan mengeluarkan komik yang memberi motivasi selain fiksyen atau sejarah. Hal ini secara tidak langsung akan memupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak lelaki tersebut kerana mereka dilahirkan dengan sikap ingin tahu yang sangat tinggi. Jika komik tersebut mampu menimbulkan tanda tanya di dalam diri mereka, secara tidak langsung mereka akan terus membaca untuk mendapatkan maklumat bagi meleraikan persoalan yang mereka hadapi.

Prinsip utama di PTS

PTS menerbitkan 3000 karya dalam masa enam bulan. Kemudian aktiviti mereka semakin rancak apabila menerbitkan antara 6000 hingga 8000 buku dalam tempoh dua bulan, dan enam bulan selepas itu, buku berkenaan diulang cetak lagi.
Menurut Puan Ainon, syarikatnya mengamalkan perniagaan yang bersih daripada rasuah dan riba, manakala semua kemudahan perbankannya diperoleh daripada sistem perbankan Islam. Semua produknya juga dihasilkan mengikut hukum syariah, sebagai contoh, tiada babak berpegang tangan atau pasangan kekasih pergi bertemu janji di dalam novel cinta yang diterbitkannya. Malah, kisah perebutan kekasih juga tidak ada dalam buku yang diterbitkan oleh PTS.

Bagi Puan Ainon, Allah akan menolong hambanya yang berniaga dengan cara yang bersih. Menariknya lagi tentang PTS adalah syarikat ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan tetapi didukung oleh dua bank milik bukan Bumiputera. Baginya, peniaga lain perlu mempunyai keyakinan bahawa orang Melayu mampu berniaga dengan bangsa lain. Ini dibuktikan apabila PTS berniaga dengan pembekal, bank, pencetak dan kedai buku yang dimiliki oleh orang Cina. Malahan pelanggan terbesar buku keluaran PTS juga adalah syarikat Cina iaituPopular dan MPH Bookstore.

Pesan Puan Ainon lagi, tanggapan bahawa orang Cina tidak akan menolong peniaga Melayu harus dikikis sama sekali kerana tanggapan itu sama sekali tidak benar. Selama ini PTS mencetak buku bernilai ratusan ribu ringgit dan yang memberi kredit tanpa cagaran kepada PTS adalah bank Cina. Sebab utama mengapa orang Cina sanggup memberi kredit kepada mereka adalah kerana rekod bersih PTS yang tidak pernah lari daripada membayar hutang. Tambah Puan Ainon, peniaga seharusnya tidak boleh lari daripada hutang. Beliau sentiasa mengamalkan prinsip mendahulukan pembayaran hutang. Biarlah berlapar seketika tetapi hutang mesti dibayar bagi menjaga kepercayaan pembekal dan penulis buku.

PTS sentiasa berhutang RM3 juta kepada pencetak yang memberi tempoh kemudahan kredit tiga bulan, manakala PTS pula memberi kemudahan kredit kepada kedai buku selama tiga bulan. Di samping itu, PTS juga mengagihkan RM1.9 juta bayaran royalti kepada penulis. Salah satu sebab mengapa PTS berjaya hingga ke hari ini adalah disebabkan PTS mempunyai pasukan bagus sebagai pengutip hutang dan pengarang. Dengan bantuan Allah juga, PTS mampu membayar zakat setiap bulan hasil daripada kutipan hutang kedai buku sebelum membayar gaji pekerja.