Kisah Empayar Jeruk Madu Pak Ali

0
4598

Mungkin ramai yang tahu Jeruk Madu Pak Ali berasal dari Penang, tapi pastinya ramai antara kita yang tidak tahu lagi asal-usul penubuhannya. Perusahaan Jeruk Madu Pak Ali dijalankan sejak tahun 1985 secara kecil-kecilan di rumah, diasaskan oleh Hj. Ali Omar. Mula dikomersialkan pada tahun 2007, di bawah syarikat Kunci Kreatif, bermula dengan modal RM15, 000 kini mempunyai modal pusingan lebih RM300, 000. Selain itu, Jeruk Madu Pak Ali merupakan satu-satunya kilang jeruk bumiputera yang menghasilkan jeruk secara komersial. Produk (jeruk) dibawah bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Kementerian Pertanian (MOA), Jabatan Pertanian, FAMA dan MARA. Jeruk yang dihasilkan memerlukan buah-buahan yang dipajak terus dari ladang-ladang seperti ladang mempelam sala di Perlis. Hasil komersial jeruk seperti mangga kuning, mangga sala, mangga air, kedondong hijau, kendondong kuning, betik, jambu batu,   salak madu,   pala penang, pala sagat, cermai, kabung, kelubi, anggur, dan  sengkuang mampu menjana ekonomi penduduk setempat. Terdapat lebih 30 jenis jeruk basah dan 50 jeruk kering. Juga terdapat produk-produk untuk membuat acar buah.

Dari segi pembuatannya, kini telah dipertingkatkan lagi dengan beberapa pembaikan di dalam proses pengeluaran. Ini adalah bagi menjamin kawalan kualiti produk dapat dibuat sepenuhnya walaupun terdapat peningkatan didalam aktiviti pengeluaran, sejajar dengan peningkatan permintaan dari pelanggan. Pembungkusan produk kini dibuat didalam bilik berhawa dingin. Pekerja yang terlibat juga memakai penutup mulut dan sarung tangan semasa proses pembungkusan dijalankan. Larutan gula dibuat dengan menggunakan air yang ditapis, di didihkan dan disejukkan ke suhu 70 darjah celcius sebelum ianya digunakan. Kandungan gula disukat dengan menggunakan mesin Agato Digital Refractometer. Selain itu, semua pekerja dari setiap bahagian akan melalui “Bilik Persalinan Pekerja” terlebih dahulu setiap kali sebelum memulakan tugas. Di bilik ini pekerja akan memukarkan pakaian biasa kepada uniform pekerja iaitu dengan memakai kasut, apron, baju dan tudung kepala yang disediakan. Pekerja juga akan membasuh tangan (7 Langkah Mencuci) dengan sempurna setiap kali sebelum masuk dan keluar dari tempat bertugas. Satu Manual Operasi dan “Standard Operating Procedure” juga disediakan untuk digunakan pekerja dan memudahkan kerja-kerja operasi pengeluaran.

Turut dipertingkatkan ialah proses pencucian garam dari buah-buahan yang telah dipotong. Bagi memastikan proses pencucian dapat dijalankan dengan berkesan, buah-buahan tersebut dimasukkan kedalam tong pencucian yang dilabelkan. Pencucian dengan menggunakan air bersih (dari Jabatan Bekalan Air)  yang ditapis dialkukan beberapa kali sehingga rasa garam tersebut hilang. Ukuran kandungan garam ini  di periksa dengan menggunakan alat sukatan Agato Master Alpha Refractometer. Pelanggan-pelanggan juga dapat menyaksikan sendiri aktiviti pemprosesan jeruk dari galeri yang disediakan. Ini termasuklah aktiviti pemotongan buah, pembersihan dan pembungkusan jeruk. Bagi memudahkan pelanggan pihak Pak Ali Food Industries turut menyediakan satu ruang khas untuk sesi taklimat atau penerangan kepada pelanggan yang datang secara berkumpulan. Juga disediakan ialah sebuah surau (berasingan untuk lelaki dan wanita) dan juga tandas yang selesa. Ruangan tempat letak kereta yang luas juga kini terdapat disini, semuanya untuk kemudahan pelanggan-pelanggan.

Keistimewaan Jeruk Madu Pak Ali pertama sekali ialah Jeruk Madu Pak Ali menggunakan gula pasir (tiada ibu gula) seperti kebiasaan pengusaha lain. Dan ia ada tambahan madu lebah asli sebagai citarasa unik yang menjadikan ia Jeruk Madu. Jeruk yang dihasilkan menggunakan cuka epal yang memang baik untuk kesihatan dan kecantikan. Paling ketara ialah sesiapa yang makan Jeruk Madu Pak Ali tidak akan batuk dan tidak sakit tekak seperti kebiasaan kita makan jeruk lain yang ada di pasaran. Selalunya saya akan basuh jeruk bila beli tetapi apabila beli Jeruk Madu Pak Ali, saya tidak perlu berbuat demikian. Selain itu, air jeruk juga boleh diminum. Jeruk juga boleh bertahan selama empat bulan maksimum. Satu-satunya perusahaan jeruk di Pulau Pinang yang ada sijil halal JAKIM.

Pak Ali juga membuka ruang dan peluang perniagaan kepada peruncit dan pengedar. Beliau mengamalkan konsep jualan terus kepada pelanggan, “cuba dulu baru beli”. Pengedar/peniaga/peruncit amat dialu-alukan, modal dalam lingkungan RM500 (40kg jeruk), keuntungan di antara 40%- 50%.  Terdapat lebih 30 produk (jeruk) basah dan kering. Pengedar/peniaga juga diberi kebebasan untuk menentukan kaedah/cara jualan, dan sekiranya ia melibatkan sewa tapak di sesebuah premis perniagaan maka sewa tersebut adalah dibawah tanggungjawab pengedar/peniaga itu sendiri. Jeruk Madu Pak Ali juga mempunyai  potensi pasaran yang besar di Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur, produk suci, bersih dan halal.

Kini, Jeruk Madu Pak Ali telah mendapat liputan yang meluas dari pihak media cetak dan turut mendapat sambutan di luar negara seperti Korea. Jeruk Madu Pak Ali mempunyai peminatnya tersendiri. Walaupun, jeruk ini boleh didapati dia serata Malaysia tetapi ada juga yang sanggup ke Penang semata-mata untuk membeli jeruk. Oleh kerana, rasa jeruk keluaran beliau yang mempunyai keunikan tersendiri, rasa manis buah-buahannya amat ketara sekali kerana citarasa keterampilannya amat berbeza sekali. Rasa sekali pasti nak lagi, cuba lah tanpa was-was. Selain itu, Jeruk Madu Pak Ali turut mengeluarkan Kuah Rojak Pak Ali. Selepas Pak Ali meninggal pada 2013 akibat strok yang turut membataskan pergerakkan beliau dan legasi perniagaannya kini diuruskan oleh anaknya, Alias Ali.