Kisah Kejayaan Sate Kajang Haji Samuri

0
2135

Berkunjung ke Kajang, Selangor pastilah tidak lengkap jika tidak menikmati hidangan istimewa daerah tersebut iaitu sate. Sate dan Kajang amatlah sinonim dan populariti Sate Kajang memanglah tidak boleh disangkal lagi. Menurut sejarah awalnya, Sate Kajang telah diasaskan oleh Haji Tasmin Sakiban pada tahun 60-an. Namun, jika kita pergi ke Kajang pada hari ini, dapat kita lihat pelbagai gerai yang menjual jenama sate berbeza-beza seperti Sate Kajang Haji Samuri, dan Sate Willy. Walaupun pelbagai jenama sate tumbuh bagai cendawan selepas hujan, nama Sate Kajang Haji Samuri tetap berada di hati penggemar sate di Malaysia. Jenama sate yang terkenal di seluruh Malaysia ini diasaskan oleh Tuan Haji Samuri bin Haji Juraimi dan diusahakan oleh beliau sendiri dengan dibantu oleh ahli keluarganya. Bagi pemiliknya, untuk memperkenalkan Sate Kajang Haji Samuri di Malaysia bukanlah satu perkara yang mudah kerana ada yang mengatakan perusahaan ini menumpang semata-mata populariti yang dimiliki oleh Sate Tasmin sebelum ini. Beliau yang memulakan perniagaannya daripada bawah terpaksa mengalami pelbagai kesukaran kerana rata-rata pengunjung ketika itu datang ke gerainya kerana mahukan Sate Kajang Tasmin.

Lebih perit lagi apabila ada pelanggan yang meninggalkan gerainya apabila mengetahui gerai beliau bukanlah gerai Haji Tasmin. Disebabkan itulah, pemiliknya lebih gemar menggunakan nama beliau sendiri dalam menjenamakan perniagaan satenya di samping memudahkan orang ramai untuk mengenalinya.Bagi pemilik Sate Kajang Haji Samuri ini. Untuk memulakan perniagaan sate sebenarnya tidak memerlukan modal yang terlalu besar. Tetapi, jika ingin memiliki gerai sendiri, modal yang agak tinggi perlu dilaburkan antara sekita RM18000 hingga RM30000. Bercerita mengenai kisah Sate Kajang Haji Samuri ini, semuanya bermula apabila pengasasnya iaitu Haji Samuri belajar membuat sate dari pengasas Sate Kajang, Haji Tasmin ketika beliau menumpang di rumah Haji Tasmin. Ketika itu, setiap kali habis waktu persekolahan, Haji Samuri akan membantu Haji Tasmin berniaga sehinggalah beliau tamat persekolahan pada tahun 1963. Selepas itu, beliau bertekad untuk membantu Haji Tasmin secara sepenuh masa sebelum mendapat pekerjaan tetap. Ketika beliau mula bekerja dengan Telekom Malaysia pada tahun 1965, beliau masih lagi menolong Haji Tasmin berniaga secara sambilan. Namun, pada tahun 1987, beliau akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerja di Telekom dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan sate. Berbekalkan pengalaman berpuluh tahun menguruskan perniagaan sate, akhirnya disertakan dengan idea dan desakan daripada anaknya, menjadikan Haji Samuri nekad untuk membuka perniagaan satenya sendiri dengan menggunakan nama Sate Kajang Haji Samuri.

Haji Samuri memulakan perniagaan sate pertamanya di gerai No. 5 di Medan Sate Kajang yang diambil alih daripada seorang tauke Cina yang sebelum ini menjual air tebu. Bermula dari gerai kecil itulah, Sate Kajang Haji Samuri mampu berkembang sehingga berjaya membuka hampir 20 cawangan. Sate yang mendapat permintaan tinggi tentulah sate ayam dan diikuti dengan sate daging.

Istimewanya di sini, Sate Kajang Haji Samuri turut menghasilkan sate ikan yang mempunyai tekstur lembut dan rasanya yang manis. Selain itu, uniknya lagi tentang Sate Kajang Haji Samuri ini adalah kuah sate akan dihidangkan di dalam mangkuk bersaiz besar dan hal ini secara tidak langsung membuatkan pelanggan berasa lebih teruja untuk menikmati sate di kedai tersebut.

Bagi Haji Samuri, jatuh bangun dalam perniagaan adalah adat untuk orang berniaga. Oleh itu, untuk terus memenuhi citarasa pelanggan yang pelbagai, beliau gemar membuat kajian tentang apa yang disukai dan sebaliknya oleh para pelanggan. Jika kebanyakan gerai sate biasanya dibuka pada sebelah petang, beliau mengambil inisiatif dengan membuka gerainya lebih awal lagi iaitu pada sekitar jam 9.30 pagi. Di samping itu, beliau akan sentiasa memastikan bekalan satenya sentisa mencukupi di setiap cawangan demi memenuhi permintaan daripada pelanggannya. Beliau mempunyai tenaga kerja hampir 600 orang bagi menyiapkan setiap proses pembuatan sate bermula daripada proses mencampur ramuan, mencucuk sate, membakar dan melayan pelanggan. Setiap hari, sebanyak 100000 hingga 130000 cucuk sate berjaya dihasilkan terdiri daripada ayam, daging, ikan, kambing, dan lain-lain lagi. Bagi menampung jumlah pengeluaran sate yang semakin hari kian mendapat sambutan, Haji Samuri membeli sebuah kilang bernilai dua juta ringgit di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Kilang tersebut menempatkan segala alatan yang digunakan untuk penghasilan sate dan juga kuahnya. Demi memudahkan para pekerjanya, Haji Samuri juga menyediakan asrama untuk para pekerja tinggal selama mana mereka bekerja dengan beliau.

Hal tersebut bukan sahaja memudahkan para pekerjanya, malah memberi motivasi untuk pekerjanya bekerja lebih keras lagi, apatah lagi proses pembuatan sate selalunya dilakukan secara manual. Perniagaan satenya kini dikendalikan oleh generasi kedua keluarga beliau, dan menjadi harapan beliau untuk melihat perniagaan tersebut akan diteruskan oleh legasi yang akan datang. Beliau juga berharap agar anak-anaknya dapat membawa jenama Sate Kajang Haji Samuri ke peringkat yang lebih tinggi dan merealisasikan impian beliau yang mahukan perniagaan sate ini berkembang maju setanding dengan nama-nama besar yang lain.