Pergh! Untung RM12,000 Sebulan Dengan Kerisik

0
2026

Mengambil catatan dari Wikipedia, kerisik merupakan sejenis rempah yang dihasilkan daripada isi kelapa yang telah diparut. Isi kelapa tersebut akan digoreng tanpa menggunakan minyak dan seterusnya digiling hingga lumat. Kerisik banyak digunakan dalam masakan tradisional seperti rendang dan kari.

Kerisik digunakan dalam masakan dengan tujuan untuk menyedapkan lagi masakan, memekatkan kuah dan memberi rasa lemak pada masakan. Penggunaan kerisik juga membuatkan makanan lebih tahan lama dan perkara ini sering digunakan oleh masyarakat zaman dahulu.

Kerisik dapat dijadikan sebagai salah satu perniagaan yang boleh membawa keuntungan kepada usahawan yang melakukannya. Walaupun kerisik mudah untuk dihasilkan, tetapi masih ada permintaan yang tinggi terhadap rempah ini terutamanya peniaga yang membuka restoran ataupun hotel.

Dipetik dari berita Harian Metro (2016), Muhammad Mahatma Abdullah bersama isterinya Nhajmun Sindar Madar mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan lagi perniagaan mereka dengan melibatkan diri dalam pembuatan kerisik di sebuah kilang yang disewa di Pulau Pinang.

Mereka berdua berjaya membuka perniagaan kerisik di bawah syarikat Nuur Anniesak Trading. Produk kerisik yang beliau hasilkan mendapat permintaan di negeri pantai timur kerana kerisik tersebut mempunyai rasa yang unik.

“Kerisik saya mula mendapat perhatian sejak saya bertemu seorang cef yang memperkenalkan beberapa resipi menggunakan kerisik dalam pelbagai jenis masakan selain kari dan rendang.

“Ketika itu, saya dan isteri mula mempelajari cara memasak pelbagai jenis resipi dengan memasukkan kerisik dalam masakan kami.

“Kami tidak sangka rasanya begitu lain hingga mendapat idea mempromosi produk ini kepada pengguna Facebook. Apabila saya meletakkan satu resipi setiap hari di laman sosial itu, bermakna saya perlu menyediakan 365 resipi setahun”, kata Muhammad Mahatma Abdullah.

Beliau juga berkata, permintaan meningkat terhadap produknya yang menjadikan mereka menghasilkan keuntungan RM12,000 sebulan dengan menjual 30,000 peket kerisik dalam masa sebulan. Peningkatan permintaan yang mendadak ini kerana mereka menggunakan kelapa mawar yang mempunyai bau yang wangi. Kelapa mawar tersebut boleh didapati di Perak dan Kelantan.

Dari segi pembungkusan pula, mereka menggunakan kerajang aluminium untuk memastikan produk kerisik tahan lama dan boleh digunakan dalam masa setahun. Pada masa ini, beliau memfokuskan proses menghasilkan produk minyak kelapa dara.

Demikianlah perkongsian oleh usahawan yang menghasilkan kerisik dan menjadikan kerisik sebagai pendapatan utama mereka. Anda juga boleh mencuba untuk menghasilkan kerisik dengan mencipta rasa yang unik untuk menarik ramai pelanggan.



Berminat nak mulakan bisnes sendiri?


Dapatkan Konsultansi Bisnes



Lihat artikel menarik yang lain