Rahsia Kejayaan Jack Ma

0
1900

Pada tahun 1999, Jack Ma mengumpulkan 17 orang rakan-rakan serta pelajar-pelajar di pangsapurinya di Hangzhou untuk menerangkan suatu visi untuk menakluk pasaran global. Mereka mengumpul wang sebanyak USD$60, 000 sebagai modal dan memulakan perniagaan online business to business yang bertujuan untuk menghubungkan perusahaan-perusahaan kecil dan menengah di seluruh China dengan pelanggan di seluruh dunia. Mereka memulakan perusahaan e-dagang itu secara sederhana dan mengambil masa empat tahun untuk mula menjana keuntungan.

Sejak itu, Alibaba memperkembangkan perniagaan yang dijalankan daripada “keluarga” kecil kepada sebuah organisasi dengan lebih dari 25, 000 kakitangan. Kejayaan ini diikuti dengan pencapaian terbesar apabila mencatat sejarah dengan penjualan saham perdana sehingga USD 25 juta. Untuk menjelaskan kejayaan ini: Alibaba melayan 100 juta pembeli dalam sehari, dan telah mencipta 40 juta pekerjaan di China.

• Rahsia kejayaan

Apakah rahsia kejayaan Alibaba dan apakah budaya kerja unik yang mengubah Jack Ma dari seorang guru Bahasa Inggeris menjadi godfather perniagaan global yang lahir di China? Sejak muda lagi kehidupan telah mengajar Ma tentang pelbagai cabaran. Jack Ma berkata, dia pernah gagal sebanyak 30 kali ketika mencari kerja, gagal ujian di universiti, ditolak memasuki Universiti Harvard, dan gagal mendapat perkerjaan di KFC.

Dalam ucapannya di Universiti Stanford, Jack Ma berkata, “Tidak seorang pun yang percaya saya akan mampu melakukan sesuatu yang bermakna di masa depan. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki masa depan seperti hari ini.” Pengalaman dalam kegagalan bukan sekadar menjadi pembakar semangat juangnya, malah ia membuatkannya setia pada visi untuk mencipta tempat di mana para rakan sekerja dan para kakitangannya dapat merasakan bahawa diri mereka adalah sebahagian penting dalam kewujudan Alibaba. Kesetiaan dan pembangunan semangat berpasukan yang erat menjadi falsafah utama perniagaannya. Menurut Joe Tsai, Wakil Pemimpin Alibaba, Jack Ma adalah seorang yang terbuka dan bergaul, serta tahu bagaimana untuk berkongsi.

Ma sering menyemai semangat untuk menang di kalangan para kakitangan, nilai-nilai perniagan yang baik, dan keyakinan bahawa mereka mampu melakukan dan mencapai apa sahaja jika bersatu padu. “Kami akan melakukannya kerana kami masih muda dan kami tidak pernah menyerah kalah, ” katanya. Itu merupakan kata-kata yang digunakan oleh Jack Ma pada awal penubuhan Alibaba untuk dijadikan inspirasi dan menaikan semangat pasukannya. Apabila telah berjaya pada tahun-tahun berikutnya, Ma menambah, “Kami tetap percaya bahawa di masa hadapan orang-orang biasa dapat melakukan perkara-perkara yang luar biasa.”

Elemen yang benar-benar unik dalam budaya perusahaan Alibaba dipengaruhi oleh mitos dan novel-novel legenda seni mempertahankan diri Cina yang menjadi realiti kehidupan harian para kakitangannya. Jack Ma minat dengan pahlawan-pahlawan kungfu sejak remaja lagi dan ini mempengaruhi strategi perniagaannya. Dia menyalurkan kebaikan dan kekuatan legenda-legenda itu ke dalam dirinya dan para kakitangannya. Para kakitangannya turut diberi nama watak novel-novel kungfu. Ini bukan sekadar budaya yang menyeronokkan di Alibaba, malah ia juga satu cara untuk mewujudkan hierarki yang rata. Mereka yang berada di teraju perusahaan dipanggil dengan nama gelaran tersendiri. Jack Ma digelar sebagai Feng Qingyang yang merupakan pemain pedang lagenda yang pendiam, tak terduga dan agresif.

Dalam mempertahankan visinya sebagai hati dan jiwa perusahaan, Jack Ma berpegang kepada prinsip “hidup serius dan bekerja dengan senang hati”. Dia turut merasmikan upacara pernikahan secara besar-besaran para kakitangannya setiap tahun. Dia ingin pekerjanya hidup bahagia dan menikmati hidup.
Satu perkara lain yang mengubah Alibaba dari perusahaan start-up sederhana menjadi pemain global adalah tai chi, yang merupakan sebahagian penting dalam budaya perniagaan dan program kesejahteraan pekerja. Itu merupakan kunci strategi Jack Ma dan falsafah hidupnya. Seni mempertahankan diri yang dipraktikkan oleh para pekerjanya sangat berfaedah dan menyalurkan tenaga (energy). Tambahan pula, ia merupakan komponen penting dalam proses mengambil pekerja.

Jack Ma sendiri adalah seorang master seni mempertahankan diri. “Tai chi seperti yin dan yang. Hidup adalah umpama sungai yang mengalir ke arah yang berbeza. Bagaimana cara menyalurkan, melepaskan, mengumpulkan, atau melarutkannya, begitu juga cara anda mengelola perniagaan, ” katanya.