Pernah Hadapi Rakan Sekerja ‘Toksik’ Seperti Ini? Jika Ya, Selamatkan Diri Anda Dari Mereka Segera!

Alam pekerjaan semestinya paling dinanti-nantikan oleh setiap orang terutama sekali bagi pelajar yang baru sahaja menamatkan zaman belajar mereka atau bagi mereka yang sudah lama ingin bekerja. Ini akan menjadi satu berita gembira buat mereka tambah pula jika pekerjaan tersebut adalah pekerjaan yang diimpikan setelah sekian lama. Walaupun begitu, banyak perkara yang perlu disiapkan sebelum menempuh alam pekerjaan terutama dari segi mental dan juga fizikal supaya tiada isu yang tidak diingini berlaku. Hubungan yang baik bersama rakan sekerja dan juga majikan tetap perlu dijaga tidak kiralah bekerja di mana-mana syarikat sekalipun kerana itulah yang dapat membantu mengeratkan lagi hubungan sesama rakan sekerja dan juga majikan tersebut. Tidak salah untuk kita berbuat baik kepada orang lain tetapi jangan sampai perbuatan baik tersebut boleh memudaratkan diri anda sendiri tanpa sedar disebabkan oleh sikap-sikap orang yang kurang beretika itu. Apakah maksud sikap yang kurang beretika itu? Jom kita sama-sama kenali dan waspada supaya tidak terkena jerat mereka!

1) Mengambil kesempatan dengan kebolehan yang anda ada

Mereka nampak anda seorang pekerja yang rajin, berbakat dan mempunyai banyak kemahiran dan mereka akan menggunakan kelebihan yang anda ada supaya buat kerja yang bukan di bawah tugasan anda pun. Secara umumnya, dalam bekerja ini ada kalanya anda memang perlu membuat kerja di luar bidang pekerjaan anda di atas sebab-sebab tertentu. Tetapi, perkara ini boleh menjadi isu apabila anda membuat kerja tersebut sehingga mengabaikan tugasan yang sememangnya anda perlu lakukan. Maksudnya, anda telah membuat tugasan orang lain di mana mereka sendiri yang perlu lakukannya. Jika ingin tolong mereka pun, biarlah berpada-pada janganlah sehingga tugasan sendiri terabai. Apa yang perlu dilakukan apabila situasi ini terjadi? Pastikan anda tanya dan fahamkan dahulu situasi rakan sekerja anda itu, adakah mereka betul-betul memerlukan pertolongan atau sebaliknya. Seterusnya, pastikan anda mengutamakan tugasan anda terlebih dahulu sebelum menolong mereka supaya tiada sebarang masalah. Ada kalanya mereka bukan ingin mengambil kesempatan tetapi hanya ingin melihat reaksi anda terhadap sesuatu dan membuat penilaian terhadap diri anda. Apa jua sekalipun, perlu sentiasa berwaspada dan sentiasa berfikir dahulu sebelum bertindak.

2) Tidak senang dengan kejayaan anda atau orang lain

Semua orang ketahui bahawa tiada kejayaan yang datang tanpa usaha dan siapa yang berusaha keras pasti akan mendapat kejayaan. Itulah hakikatnya. Namun, tidak semua orang senang dengan perkara itu dan pasti ada sahaja dikalangan rakan sekerja anda akan berkata sesuatu yang tidak senang untuk didengar berkenaan kejayaan anda itu. Mahu atau tidak, pasti akan ada orang seperti ini kerana sesuai dengan pepatah Melayu ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Ya, itulah perkara yang anda sendiri perlu ambil berat. Bukanlah bermaksud anda perlu menjaga hati mereka setiap masa kerana hati seseorang ini tidak akan pernah puas dan inginkan lebih lagi dari itu melainkan mereka sendiri sedar perbuatan mereka itu tidak patut dilakukan. Jika anda menghadapi situasi seperti ini, apa yang anda perlu lakukan adalah tidak mengendahkan kata-kata mereka dan teruskan usaha anda menjadi pekerja yang cemerlang kerana inilah cabaran yang anda perlu tempuhi. Buktikan yang anda seorang yang berdedikasi tanpa menghiraukan kata-kata negatif itu.

3) Kerap memberi alasan yang tidak munasabah

Dalam berkawan, tidak kiralah anda ingin berkawan dengan sesiapa sekalipun, tetapi anda ada hak untuk memilih rakan yang berkualiti dalam ‘circle’ anda. Sebab itulah apabila semakin meningkat dewasa banyak pendapat dikeluarkan berkenaan persahabatan ini contohnya seperti kecilkan ‘circle’ anda. Rakan yang seringkali memberikan alasan yang tidak munasabah sedikit sebanyak boleh memberikan impak negatif kepada persahabatan anda seperti kurangnya tahap kepercayaan anda terhadap mereka. Dari situ, orang akan nilai negatif dalam diri mereka ini. Perkara ini boleh dielakkan supaya tidak menjadi semakin teruk dengan menasihati mereka, jika tidak jauhkan diri anda dari mereka supaya tiada aura negatif berlaku.

4) Bergosip dan cerita hal peribadi orang lain

Inilah perkara yang perlu dielakkan kerana tanpa sedar itulah yang akan menunjukkan siapa diri anda yang sebenarnya. Tidak perlu menceritakan hal peribadi orang lain di tempat kerja kerana itu tidak mempunyai apa-apa kaitan pun dengan rakan sekerja yang lain. Walaupun anda sendiri tahu cerita tersebut dari A-Z tetapi elakkanlah perkara ini menjadi bahan bualan orang lain yang tiada kena mengena dengan syarikat tersebut. Jangan sesekali menunjukkan bahawa anda berminat dengan cerita gosip yang tidak bermanfaat ini. Jika anda menunjukkan minat, maka anda sebahagian dari mereka.

5) Menyalahkan orang lain

Perbuatan ini tidak disukai oleh sesiapa pun tambah pula jika anda sendiri yang melakukan kesalahan itu. Memang benar, semua orang melakukan kesilapan tetapi ada kalanya anda perlu berfikir apakah punca masalah itu berlaku dan belajar dari kesilapan tersebut serta tidak mengulanginya lagi, bukan menyalahkan orang lain. Menyalahkan orang lain hanya menunjukkan sikap buruk seseorang itu. Elakkan perkara ini berlaku. Cuba sehabis baik menjadi seoarang yang matang dan profesional dalam menyelesaikan apa jua masalah.



Berminat nak mulakan bisnes sendiri?


Dapatkan Konsultansi Bisnes


    [anr_nocaptcha g-recaptcha-response]


    Lihat artikel menarik yang lain