Amanah Ikhtiar Malaysia

0
2368

AMANAH IKHTIAR

Pada 17 September 1987 Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) telah ditubuhkan di bawah Akta Amanah (1952) sebagai badan amanah persendirian.

Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada pegawai yang mewakili Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan juga beberapa individu yang dilantik berdasarkan kapasiti peribadi dipertanggungjawabkan menguruskan AIM.

Penubuhan AIM adalah sebagai usaha mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia khususnya masyarakat luar bandar iaitu melalui pembiayaan kecil-kecilan atau kredit mikro yang digunakan untuk membiayai kegiatan ekonomi yang boleh menjana pendapatan.

Pernahkan anda mendengar tentang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)? Amanah Ikhtiar Malaysia merupakan antara salah satu badan Amanah secara persendirian yang ditubuhkan mengikut undang-undang. Ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian Amanah Ikhtiar Malaysia serta didaftarkan di bawah Akta Amanah 1952 (pindaan 1981) (Akta 258). Badan amanah yang berusia kira-kira 24 tahun ini telah ditubuhkan secara bersama oleh Universiti Sains Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Kerajaan negeri Selangor serta disokong kuat oleh Pusat Pembangunan Asia Pasifik. Objektif atau tujuan utama badan amanah ini ditubuhkan adalah untuk membantu golongan-golongan yang kurang berkemampuan serta secara langsung mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia dengan cara pengeluaran Pembiayaan Ikhtiar terhadap masyarakat-masyarakat miskin di kawasan luar bandar yang membolehkan pembiayaan terhadap sebarang kegiatan untuk menambahkan pendapatan sampingan.

Ringkasan Sejarah Penubuhan

Melihat kepada sejarah awal penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia, Prof Muhamad Yunus merupakan salah seorang yang bertanggungjawab sehingga tertubuhnya badan amanah ini. Usaha mulia beliau bermula daripada pengenalan kredit mikro dalam membasmi kemiskinan di Bangladesh pada 1976 dan telah berkembang ke seluruh dunia. Projek ikhtiar merupakan antara projek asas atau projek awal yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dasar (PPD) Universiti Sains Malaysia pada ketika itu untuk mendapatkan info-info berkaitan serta menguji pendekatan Bank Grameen (PBG) dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar yang ketika itu begitu tinggi dengan cara memberi hak kredit mikro kepada golongan miskin. Pemberian kredit mikro ini bertujuan untuk membantu usaha-usaha golongan-golongan miskin dalam meningkatkan pendapatan harian mereka sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Prof Muhamad Yunus yang bertugas sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Chittagong pada ketika itu, mengkaji dan mendapat kesimpulan bahawa golongan-golongan miskin amat kurang melibatkan diri dengan dunia perbankan. Ini disebabkan, mereka kekurangan modal dan amat sukar untuk meningkatkan taraf hidup mereka sekiranya hanya bergantung kepada pendapatan harian yang mereka perolehi. Maka, beliau mengetengahkan idea untuk memberi sumbangan berbentuk modal kepada golongan miskin agar dengan modal tersebut dapat memberi peluang kepada mereka untuk menambahkan pendapatan. Kronologi penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia mengambil masa bertahun-tahun lamanya dengan melalui Projek bank Grameen sehinggalah Amanah Ikhtiar Malaysia dapat berdiri sebagai satu badan amanah seperti yang ada pada hari ini dengan menjalankan usaha-usaha menarik keluar masyarakat luar bandar daripada masalah kemiskinan yang membelenggu kehidupan mereka.

Usaha murni seperti ini sewajarnya dipuji dan dihargai oleh kita semua. Peranan AIM bukan sahaja untuk membantu golongan-golongan miskin, malah secara tidak langsung dapat membantu menjana ekonomi negara kearah yang lebih baik. AIM meletakkan tiga objektif utama penubuhannya. Pertama, mengurangkan kemiskinan dalam kalangan isi rumah miskin dan termiskin di Malaysia dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro untuk membiayai kegiatan-kegiatan yang boleh menambah dan meningkatkan pendapatan. Yang kedua, AIM mensasarkan untuk menyediakan kemudahan kewangan berterusan kepada usahan-usahawan ikhtiar dan yang ketiga menyediakan bimbingan dan latihan berterusan kepada isi rumah miskin, termiskin dan juga untuk usahawan-usahawan ikhtiar. Bagi memastikan objektif-objektif yang telah disasarkan itu dapat dilaksanakan, AIM menyediakan beberapa cara melalui dengan penyediaan produk-produk seperti pembiayaan modal, simpanan wajib serta Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat. Melihat kepada objektif-objektif penubuhan AIM, dapat dirumuskan bahawa konsep yang dibawa oleh Amanah Ikhtiar Malaysia adalah tidak jauh beza dengan konsep zakat yang diperkenalkan oleh Islam. Zakat bertujuan untuk membantu golongan-golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan. Selain itu, pemberian zakat juga tidak hanya dalam bentuk kewangan semata-mata malah turut menyumbang barang-barang yang berbentuk fizikal seperti makanan iaitu beras dan sebagainya. Oleh itu, boleh dikatakan pendekatan atau konsep yang dibawa oleh AIM ini mirip kepada konsep zakat itu sendiri. Pastinya, usaha murni sebegini perlu untuk dikekalkan dan diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

JENIS SKIM PEMBIAYAAN

Skim i-Mesra

Merupakan skim asas atau yang pertama sebelum layak untuk memohon skim yang lain. Proses bagi skim ini amat mudah.

Jumlah Pinjaman

Mendapat pembiayaan sehingga RM 10,000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik ialah 100 minggu

Skim i-Srikandi

Merupakan pembiayaan untuk meningkatkan pendapatan

Jumlah Pinjaman

Pembiayaan sehingga RM30,000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik ialah 150 minggu.

Skim i-Wibawa

Merupakan pembiayaan bermusim

Jumlah Pinjaman

Pembiayaan sehingga RM5000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik 25 minggu atau setiap bulan sehingga 6 bulan atau pun membuat pembayaran sekaligus.

Skim i-Sejahtera

Merupakan pembiayaan sosial dan bisnes

Jumlah Pinjaman

Pembiayaan sehingga RM15000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik ialah sehingga 100 minggu.

Skim i-Bestari

Merupakan skim pembiayaan berkonsepkan Sahabat dan Keluarga.

Jumlah Pinjaman

Jumlah pembiayaan hingga RM5000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh pembayaran balik hingga 100 minggu

Skim i-Penyayang

Merupakan pembiayaan untuk Sahabat yang mengalami kegagalan projek terdahulu.

Jumlah Pinjaman

Pembiayaan hingga RM 5000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik hingga 100 hari.

Skim i-Emas

Pembiayaan untuk sahabat yang berumur 75 tahun ke atas.

Jumlah Pinjaman

Pembiayaan sehingga RM2000

Tempoh Bayaran Balik

Tempoh bayaran balik sehinga 50 minggu

Faedah

Semua skim pembiayaan AIM akan dikenakan caj pengurusan sebanyak 10% untuk setahun. Sekiranya pemohon memilih untuk membuat pembayaran balik untuk tempoh 25 minggu pula akan dikenakan faedah sebanyak 5%. Bagi pembiayaan di bawah Program Kewangan Mikro bandar (PKMB) pula akan dikenakan caj pengurusan sebanyak 1% sebulan.

Syarat Kelayakan

  • Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun keatas.
  • Pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3855 atau perkapita RM838.
  • Pemilikan aset yang tidak melebihi sebanyak RM 50 000.
  • Menubuh kumpulan yang mempunyai ahli seramai 5 orang.Ahli haruslah tinggal dalam kawasan yang sama dan tiada tali persaudaraan, saling percaya mempercayai dan bertanggungjawab.
  • Mengikuti kursus jangka pendek selama 5 hari, iaitu 1 ½ jam sehari sebagai memberi kefahaman tentang peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh AIM.

Proses Permohonan

Pemohon perlu menjadi ahli (sahabat)  serta menghadiri Mesyuarat Pusat dan membentangkan cadangan pembiayaan.

Proses kelulusan adalah dalam tempoh 28 hari daripada tarikh pembentangan pembiayaan dibuat.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Ibu Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia
Menara Amanah Ikhtiar
No 3 Jalan Cempaka SD 12/1A,
Bandar Sri Damansara PJU9
52200 Kuala Lumpur

Hubungi Talian Khidmat Pelanggan 1-300 888 246. Untuk mengetahui alamat pejabat AIM seluruh negara anda juga boleh layari laman web aim.gov.my