Bahana Kad Kredit

0
537

debt2

  • Laporan Bank Negara mendedahkan hampir separuh daripada pemegang kad kredit yang diisytiharkan bankrap adalah mereka yang berusia di bawah 30 tahun!
  • 15 peratus daripada hampir 40, 000 individu yang menyertai program pengurusan kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun!

Muda-muda lagi sudah menanggung beban hutang dan kemungkinan diisytiharkan muflis! APA perasaan anda apabila menyandang status muflis pada usia yang masih terlalu muda? Muflis terjadi apabila berlaku situasi ketidakupayaan membayar kembali hutang, liabiliti, entiti, aset atau apa jua kaedah dalam urus niaga mata wang kertas kepada pemberi hutang melebihi tempoh yang dibenarkan.

Gerun?

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kad kredit?

Kad kredit merupakan satu kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Kad plastik ‘ajaib’ ini membolehkan kita membeli secara kredit dengan had maksimum yang boleh dicaj. Apabila seseorang pengguna menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membayar kepada peniaga terlebih dahulu bagi pihak pengguna dan kemudiannya meminta bayaran daripada pemegang kad kredit dalam bentuk penyata bulanan.

Frank MacNamara memperkenalkan konsep kad kredit ini pada tahun 1950 dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran. Pada ketika itu hanya golongan kelas atasan sahaja yang mampu menggunakan kad kredit. Bagaimanapun, sekarang ini kad kredit telah mampu dimiliki orang kebanyakan. Di negara kita penggunaannya semakin meluas apabila kerajaan membenarkan pemilik kad kredit kepada individu berpendapatan RM1500 sebulan atau lebih, bermula 28 Julai 1999.

Segala-galanya menjadi mudah dengan kad kredit. Tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah besar. Keselamatan lebih terjamin daripada risiko disamun atau kemungkinan wang hilang. Gaya hidup moden mementingkan keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit antara perkhidmatan memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya. Ramai orang berpendapat bahawa kad kredit adalah simbol kemewahan dan harus dimiliki oleh mereka. Sebaliknya, kini kad kredit ini telah menjadi seolah-olah ”ceti teknologi” kerana ia boleh menyebabkan pemegangnya terjebak dalam masalah hutang.

Menurut sumber yang dipetik daripada Bank Negara Malaysia(BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3 kad kredit. Lagi, hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan, bank-bank di Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5).

Hebat?

Tapi kalau digunakan secara baik, rasanya tak akan menimbulkan masalah.

Masalahnya sekarang, kad kredit ini lah yang telah menjadi bahana utama dalam hidup, terutamanya bagi orang muda.

Mengapa pula?

Mari kita tinjau faktor-faktornya yang menyumbang pada bahana kad kredit:

1. Kelonggaran dan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, seseorang yang berpendapatan RM1, 500 sebulan layak untuk memiliki kad kredit. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan sektor kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara kita.

2. Sekarang ada pula kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Bank-bank di Malaysia menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu. Tindakan ini bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Jika sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral yang memerangkap diri.

Pemegang kad kredit yang tidak membuat apa-apa pembayaran dalam tempoh enam bulan disifatkan sebagai hutang tidak berbayar (NPL). Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status bankrap dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu.

3. Jiwa muda sukar mengawal diri daripada keinginan untuk bergaya. Jika boleh semua hendak kelihatan hebat dan lebih berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, wang tunai tidak cukup untuk memenuhi kehendak itu. Maka,  sebagai jalan mudah, mereka menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar. Hidup nampak bergaya dan menarik pada pandangan orang lain.

Menyenaraikan faktor-faktor memang mudah, tapi bagaimana cara hendak mengatasi bahana ini?

Yang pertama, pihak berwajib seharusnya meningkatkan had minimum kelayakan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini terlalu rendah dan tidak sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat.

Kedua, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit terutamanya golongan muda perlu memikirkan kesan penggunaannya. Jangan jadikan kad kredit sebagai cara mudah memperoleh hutang. Langkah perancangan berkesan yang baik ialah mengetahui apa yang hendak dibuat dengan wang dan mengetahui perginya wang itu. Individu mesti mengenal pasti tabiat berbelanja, agar terhindar daripada berbelanja melebihi daripada pendapatan.

Ketiga, jangan buat permohonan kredit kad yang baru. Walaupun kita ditawarkan dengan pelbagai hadiah untuk memujuk membuat permohonan baru, sila elakkan. Pastikan keadaan ekonomi dan kewangan stabil dahulu. Kita kena belajar menyatakan “tidak mahu” walaupun hati nak sangat hadiah yang ditawarkan.

Seterusnya, jangan hanya bayar jumlah minima setiap bulan. Sebagai contoh, hutang kad kredit RM 10, 000 akan selesai sepenuhnya selepas lebih 89 pembayaran atau 7.4 tahun dengan jumlah faedah berbayar RM 4, 055. Tetapi, jika kita sentiasa membayar 5% dari had kredit, (contoh : Had Kredit RM 10, 000 dan kita membayar RM 500 setiap bulan, tanpa mengguna kad kredit itu semula), hutang kad kredit kita akan selesai dalam masa 2 tahun sahaja!

Kemudian, jika kita punyai sejumlah wang yang besar, kita boleh gunakan ia untuk mengurangkan atau menyelesaikan hutang kad kredit anda. Daripada melaburkan wang tersebut ke dalam akaun simpanan tetap yang hanya memberi pulangan 3.5% setahun atau ke dalam pelaburan yang hanya beri pulangan 9.25% setahun, adalah lebih sesuai jika diselesaikan hutang kad kredit yang caj faedah 18% – 21% setahun. Tapi jika kita tidak mempunyai sejumlah wang yang besar dan hanya boleh menyelesaikan hutang kad kredit secara ansuran bulanan, kita seharusnya melindungi diri anda dengan Insurans kad kredit atau Insurans hayat. Ini kerana, jika berlaku kematian atau cacat keseluruhan (lumpuh) ke atas diri kita, keluarga kita terpaksa menanggung beban hutang kad kredit anda. Menjadi lumpuh memang menyusahkan, tetapi menjadi lumpuh tanpa pendapatan berterusan dan hutang yang banyak adalah lebih perit lagi untuk ditanggung oleh keluarga.

Berita baik, pada 18 Mac 2011, berkuat kuasa dengan serta-merta, Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarat kelayakan baru untuk mendapatkan kad kredit seperti yang berikut:

  • Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit baharu ditetapkan pada RM24, 000 setahun;

Perkara berikut adalah terpakai bagi pemegang kad yang berpendapatan RM36, 000 setahun atau kurang:

  • Pemegang kad hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja
  • Pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberikan tempoh sehingga akhir tahun 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing. Pemegang kad juga akan diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang telah dibatalkan bagi memenuhi keperluan ini.
  • Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar.
  • Pemegang kad sedia ada yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh tangguh selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu ini.


Akhir sekali ialah dapatkan bantuan pakar. Sekiranya buntu untuk menyelesaikan masalah kewangan akibat kredit kad, dapatkan bantuan pakar seperti AKPK dan sebagainya. Jangan memasuki skim yang tidak jelas seperti  forex ,   internet investment  dan sebagainya pula!

Tetapi bagi yang masih lagi mahu memakai kad kredit, fahami caj-caj lazim:

1. Yuran penyertaan-Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan kad kredit. Bayaran ini dikenakan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu institusi pengeluar kad kredit dengan yang lain.

2. Yuran tahunan-Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.

3. Caj kewangan (faedah)-Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang tidak dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Anda dinasihatkan supaya meminta pengeluar kad kredit anda memberi penjelasan mengenai kaedah yang digunakan untuk mengira caj kewangan ini kerana jumlahnya akan bertambah sekiranya anda tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

4. Yuran pendahuluan wang tunai-Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.

5. Caj bayaran lewat-Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika pembayaran dibuat selepas tempoh tanpa faedah berakhir, anda bukan sahaja dikenakan caj kewangan ke atas baki belum jelas tetapi juga caj bayar lewat ke atas jumlah bayaran minimum bulanan.

Kad kredit ada baik dan buruknya, terpulang kepada bagaimana ia diurus dalam merancang kewangan individu dan keluarga tersayang