PayPal – Cara Pembayaran Mudah Untuk Peniaga Internet

0
341

secured-paypal-payments

PayPal – The world’s most-loved way to pay and get paid.

Idea transaksi yang dilakukan melalui PayPal adalah mudah: Melakukan penyulitan data (‘data encryption’) untuk membolehkan penggunanya membuat pemindahan wang dengan selamat dan tanpa ragu-ragu. Idea yang mudah ini akhirnya telah menjadikan PayPal sebagai salah satu medium pembayaran dalam talian yang selamat di dunia.

PayPal boleh membantu penggunanya melakukan beberapa aktiviti kewangan seperti:

  1. Menghantar atau menerima bayaran untuk barangan yang di bida secara dalam talian dalam laman web eBay atau laman web yang lain

  2. Membeli atau menjual barangan dan perkhidmatan kepada individu tertentu

  3. Memberikan sumbangan derma atau menerima derma daripada pihak yang lain

  4. Melakukan transaksi wang tunai dengan seseorang, tidak kira sama ada rakan atau ahli keluarga

Bergantung kepada tujuan penggunaan akaun PayPal, pengguna boleh memilih sama ada untuk membuka akaun persendirian, akaun perniagaan atau akaun premier. Sudah tentu, untuk setiap satu daripada akaun ini, terdapat kelebihan serta syaratnya yang tersendiri dan perlu dipatuhi. Kesemuanya diterangkan dengan lebih lanjut dalam laman web PayPal sendiri. Namun, usah bimbang. Sekiranya anda sudah pun memiliki akaun persendirian dan ingin melakukan urus niaga menggunakan akaun PayPal, anda hanya perlu menaik taraf akaun persendirian ini kepada akaun perniagaan atau akaun premier.

Terdapat 2 cara bagaimana PayPal beroperasi dan seterusnya menjana pendapatan, iaitu:

  • Mengenakan caj kepada pihak penjual dalam transaksi yang dilakukan bersama pembeli

  • PayPal tidak seperti institusi kewangan yang lain, yang memberikan faedah kepada pemegang akaun atas simpanan yang ada. Maka, segala faedah ke atas wang yang masih terdapat dalam akaun PayPal adalah menjadi milik PayPal sendiri.

Sejarah Penubuhan PayPal

Pada Disember 1998, dua orang sahabat iaitu Peter Thiel dan Max Levchin telah mengasaskan sebuah syarikat yang dinamakan Confinity. Confinity kemudiannya bergabung dengan syarikat X.Com, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dalam Internet. X.Com ditubuhkan oleh Elon Musk pada March 1999. Penggabungan kedua-dua syarikat ini berlaku pada March 2000, dan PayPal merupakan sebuah syarikat baru yang terhasil daripada gabungan kedua-dua syarikat Confinity dan X.Com. Idea asal penubuhan syarikat ini adalah untuk membolehkan penggunanya melakukan transaksi wang tanpa sempadan dan bebas daripada terma dan syarat yang kebiasaannya terdapat dalam institusi kewangan yang ada.

Kejayaan awal PayPal banyak bergantung kepada jumlah penggunanya yang melakukan transaksi bidaan dalam laman web eBay. Sehinggalah pada October 2002, eBay telah memutuskan untuk membeli pegangan saham PayPal dengan belian stok sebanyak $1.4 bilion. eBay kemudiannya telah bekerjasama dengan PayPal, dan menjadikan PayPal sebagai ‘payment gateway’ dalam laman web eBay sendiri. Pengguna eBay yang mempunyai akaun PayPal hanya perlu klik pada logo PayPal untuk menang dalam bidaan mereka, seterusnya pembayaran untuk barangan yang di bida dapat dibuat dengan segera. Hanya selepas 15 bulan penubuhan PayPal, dan dibantu dengan peluang kerjasama dengan eBay, jumlah penggunanya telah melonjak kepada 1 juta orang.

 [auth]

Kejayaan PayPal banyak disokong oleh statistik yang dikeluarkan oleh pihak PayPal sendiri. Statistik yang diperoleh pada March 2012 menunjukkan:

  • Jumlah pembayaran yang dibuat melalui PayPal setiap hari adalah sebanyak $315.3 juta

  • Peratus jumlah e-dagang yang membuat pembayaran menerusi PayPal adalah sebanyak 18%

  • Jumlah laman web di Internet yang menggunakan PayPal adalah sebanyak 341, 497

  • Jumlah akaun PayPal yang aktif adalah sebanyak 106 juta

  • Jumlah keuntungan yang diperoleh oleh PayPal pada tahun 2010 adalah sebanyak $3.4 bilion.

  • Jumlah pembayaran yang diproses oleh PayPal pada tahun 2010 adalah sebanyak $56 bilion.

  • Sejumlah 25 mata wang digunakan dalam pelbagai transaksi PayPal

  • Jumlah bayaran tahunan yang dibuat oleh pengguna telefon mudah alih adalah sebanyak $1 bilion.

Di sebalik kejayaan, tentunya tersurat pelbagai dugaan. PayPal juga tidak terkecuali. PayPal dilihat sebagai salah satu peluang untuk penggodam dan sindiket penipuan wang untuk melakukan penipuan transaksi dan pelaburan wang haram. Beberapa kes penipuan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan PayPal juga pernah beberapa kali di saman oleh penggunanya. PayPal kemudiannya telah menguatkuasakan beberapa langkah keselamatan dalam perkhidmatannya, termasuklah memperkenalkan kaedah pin keselamatan untuk transaksi yang dibuat oleh pelanggannya. Sehingga kini, PayPal dianggap sebagai antara kaedah pembayaran dalam talian yang selamat.

Mengapa Peniaga Perlu Mempertimbangkan Kaedah Pembayaran Melalui PayPal

PayPal Pilihan Pelanggan. Mengikut statistik laman web PayPal berdasarkan negara, laman web PayPal menduduki tangga ke-33 yang kerap kali dikunjungi penduduk Malaysia berdasarkan jumlah purata pelawat dalam sehari dari Malaysia adalah sebanyak 0.7% pengguna. Sebagai pengguna, mereka lebih cenderung untuk melakukan transaksi menerusi PayPal kerana selain daripada selamat, pengguna juga tahu bahawa mereka tidak perlu membayar apa-apa bayaran di atas transaksi yang dilakukan melalui PayPal. Ini kerana, semua caj akan ditanggung oleh penjual. Dengan skim Perlindungan Percuma untuk Pembeli, jika barangan yang dibeli tidak sampai atau tidak seperti yang diharapkan, maka pembeli tidak perlu untuk membayar sesen pun. Melalui skim ini, pihak PayPal akan membantu pembeli menyelesaikan sebarang isu yang berkaitan dengan kehilangan barangan, dan seterusnya menjamin kepuasan hati pelanggan.

Di samping itu, PayPal juga sering kali menawarkan pelanggannya pelbagai kupon yang memberi potongan harga untuk pembelian secara dalam talian di gedung pilihan pelanggan itu sendiri. Ini tentu sahaja dapat menarik hati pelanggan untuk lebih berbelanja menerusi PayPal.

Mudah dan Murah. Bagi peniaga yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dalam talian atau bagi mereka yang melakukan perniagaan secara kecil-kecilan, memiliki akaun PayPal mungkin merupakan satu pilihan yang bijak. Jika bajet yang ada untuk memulakan sesuatu perniagaan itu tidak lah sebesar mana, maka tidak perlu bersusah payah untuk membeli sebuah aplikasi e-dagang yang hebat. Sebaliknya, akaun PayPal mungkin boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif untuk mengendalikan kewangan jual beli anda.

Membuka akaun PayPal juga adalah percuma. Tiada kos penyelenggaraan dan tidak juga perlu untuk membayar yuran tahunan. Pendek kata, jika nasib tidak menyebelahi anda, dan tiada transaksi niaga untuk perniagaan anda pada bulan itu, maka anda tidak perlu membayar apa-apa kepada pihak PayPal.

Untuk mendaftar, peniaga hanya perlu memiliki kad kredit atau kad debit untuk melakukan transaksi dan juga akaun e-mel untuk tujuan pengesahan. Segala butiran peribadi dan kewangan anda hanya perlu diisi sekali sahaja semasa pendaftaran dan selepas itu anda tidak perlu lagi untuk mengulangi perkara yang sama. Bayaran sebanyak RM10 diperlukan untuk melakukan pengesahan kad kredit atau kad debit bank dan akan dipulangkan semula ke dalam akaun PayPal anda. Wang ini kemudiannya boleh digunakan untuk sebarang transaksi di kemudian hari. Apabila anda sudah mula menerima bayaran daripada pelanggan dan pemindahan wang ke dalam akaun PayPal anda sudah berlaku, maka sejumlah kecil caj akan dikenakan. Kebiasaannya yuran transaksi adalah sebanyak 3.4% daripada jumlah jualan dan yuran tetap pula adalah sebanyak RM2 untuk setiap transaksi. Walau bagaimanapun, terma dan syarat ini mungkin berubah. Sebaik-baiknya bolehlah merujuk kepada laman web PayPal sendiri untuk memastikan caj sebenar yang perlu dipatuhi.

Sekiranya anda ingin menutup akaun pula, tiada yuran pembatalan yang akan dikenakan. Mudah bukan?

Lebih Global. Jika mengikut statistik yang dipaparkan di atas, terdapat sejumlah 106 juta pemilik akaun PayPal yang aktif dan berdaftar. Dengan kebolehan melakukan transaksi dalam 24 mata wang asing di seluruh dunia, adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk anda berupaya menjangkau pelanggan anda di serata dunia tidak kira masa dan tempat di mana mereka berada.

Perkhidmatan Yang Boleh Dipercayai. Ramai di antara pelanggan yang masih teragak-agak untuk melakukan transaksi melalui Internet, dan hanya akan mempercayai transaksi wang yang dilakukan melalui PayPal. Bagi mereka, pembayaran melalui PayPal adalah kaedah yang boleh dipercayai, di dokong oleh jumlah transaksi yang diterima oleh PayPal sendiri pada setiap hari. Tidak seperti institusi kewangan dalam talian yang lain, PayPal memberi komitmen yang sangat tinggi untuk memastikan bahawa butiran pelanggan, kad kredit dan akaun bank untuk setiap pelanggannya tidak akan jatuh ke tangan orang lain.

Sekiranya terdapat keperluan untuk peniaga tadi menghantar wang kepada rakan niaga yang berada di tempat lain di seluruh dunia, maka PayPal mungkin menjadi pilihan anda. Dengan hanya perlu memastikan yang rakan niaga anda tadi juga memiliki akaun PayPal, anda berupaya untuk melakukan pemindahan wang menerusi akaun PayPal. Anda tidak perlu beratur di kaunter bank seterusnya menjimatkan masa anda!

Percaya atau tidak, PayPal juga boleh bertindak sebagai kerani akaun syarikat anda! Setiap transaksi wang keluar dan masuk ke dalam akaun anda melalui PayPal akan di rekod dan disusun rapi mengikut tarikh transaksi dan sebagainya. Data-data ini kemudiannya boleh dimuat turun ke dalam bentuk Excel ataupun PDF. Anda juga boleh menghasilkan laporan bulanan dan tahunan berdasarkan templat yang disediakan oleh pihak PayPal sendiri.

Di sebalik segala faedah yang tertulis di atas, terdapat juga kebarangkalian untuk PayPal melakukan pembekuan ke atas akaun anda. Jika PayPal mendapati sebarang keraguan dalam transaksi yang dilakukan atau menganggap ia menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan, mereka tidak akan teragak-agak untuk membekukan akaun sehingga notis selanjutnya. Apabila akaun anda dibekukan, ia mungkin akan mengambil masa yang lama untuk penyiasatan selesai dan seterusnya mengaktifkan semula akaun anda tadi.

Segala-galanya terletak di tangan peniaga itu sendiri. Peniaga mempunyai pilihan sama ada untuk membuka akaun PayPal mereka sendiri, yang sudah tentunya tidak memerlukan banyak pelaburan dan dapat menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit peniaga itu sendiri.

 [/auth]