Perniagaan Online Pun Perlu Bayar Cukai

0
435

Selebriti Internet dan individu, termasuk golongan bawah umur, yang memperolehi pendapatan daripada paid review, sokongan jenama dan perniagaan yang dijalankan menerusi media sosial atau secara online, kini tertakluk kepada cukai pendapatan, jika pendapatan yang mereka perolehi melebihi RM5,000 sebulan.

Aktiviti penjanaan pendapatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai profesion, dan oleh itu mereka perlu mengisytiharkan pendapatan, dan dibenarkan menuntut perbelanjaan perniagaan dan pembayaran balik cukai.

Kesemua individu yang terbabit digalakkan datang ke pejabat LHDN untuk mendapatkan nasihat mengenai pengisytiharan pendapatan dan pengiraan cukai.

LHDN telah menggunakan medium seperti televisyen dan radio untuk merapati kepada golongan sasaran, malah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk pergi ke sekolah dan universiti bagi mewujudkan kesedaran mengenai perkara itu

LHDN  akan dapat mengesan individu yang gagal mengisytiharkan pendapatan mereka apabila syarikat yang membayar untuk perkhidmatan selebriti Internet terbabit mengisytiharkan cukai syarikat masing-masing dan berkongsi maklumat mengenai duta atau vendor yang mereka upah.

Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, kanak-kanak bawah umur yang mendapat pendapatan dalam jumlah yang dikenakan pendapatan, juga tertakluk kepada bayaran cukai.

Bagi kes seumpama itu, ibu bapa atau penjaga masing-masing perlu mengisytiharkan pendapatan yang diperoleh oleh anak-anak di bawah umur, bagi pihak mereka.