Takaful & Manfaatnya

0
720

Takaful secara ringkasnya boleh didefinisikan sebagai satu konsep insuran yang berlandaskan perbankan Islam. Konsep takaful menerapkan elemen kerjasama, perlindungan dan jaminan antara para peserta.

Takaful adalah daripada kata terbitan bahasa Arab ‘kafala’ yang bermaksud ‘jamin’ dan perkataan tersebut membawa maksud saling menjamin. Istilah ini telah digunapakai dalam konteks insuran secara Islam. Ianya merupakan satu perjanjian antara sekumpulan peserta untuk saling menjamin antara satu sama lain apabila berlakunya musibah atau kerugian tertentu.

Takaful diwujudkan bertujuan sebagai satu saluran yang membolehkan individu berusaha untuk saling membantu bagi menghadapi risiko serta menyediakan manfaat dalam meringankan beban kewangan.

Para peserta dalam kontrak takaful akan bersetuju untuk saling menjamin antara mereka. Kontrak ini berasaskan kepada sifat persaudaraan, kasih-sayang dan juga saling membantu antara satu sama lain. Sumbangan wang yang diberikan oleh para peserta akan dikumpulkan dan wang tersebut akan digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang mengalami musibah atau kerugian.

Ciri-ciri takaful

Berlandaskan perbankan Islam
Tiada unsur maisir (perjudian)
Tiada unsur riba’
Tiada unsur gharar (ragu-ragu)
Adanya tabarru’ (derma ikhlas)
Wujudnya konsep Mudharabah (perkongsian keuntungan)
Adanya akad yang dipersetujui semua pihak

Konsep takaful

Takaful menggunakan konsep Tabarru’ (derma ikhlas) dalam perjalanan operasinya dan mengaplikasikan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep Mudharabah dan juga Wakalah. Konsep Tabarru’ digunakan bagi menghindari daripada unsur-unsur Riba’, Maisir, dan juga Gharar.

Tabarru’ dan Mudharabah

Pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu di atas akad tabarru’, pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya. Jika terdapat lebihan keuntungan setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaannya.

Tabarru’ dan Wakalah

Syarikat pengendali takaful dilantik oleh pencarum sebagai wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu, syarikat takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan di atas dasar Ju’alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.

Manfaat takaful

Para peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredhai Allah untuk meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan. Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.

Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (ragu-ragu),  riba dan juga maisir (judi). Sistem takaful adalah satu sistem yang telus, ikhlas dan bersih.

Sistem takaful tidak mempunyai unsur maisir, sebaliknya mementingkan semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi aktivitinya.

Sistem takaful membolehkan seseorang peserta itu dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru’ (derma).

Keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.

Perkara dalam perjanjian pelan takaful

1.Pembahagian keuntungan daripada perjalanan skim dan pelan takaful antara syarikat takaful dan peserta secara betul.

2.Langkah atau cara syarikat takaful menggunakan wang caruman peserta untuk ditadbir dan dilabur dan sebahagiannya disumbangkan bagi membantu peserta yang ditimpa musibah atau kerugian.

3.Penjelasan tentang hak peserta serta syarat dan perlindungan yang diberi serta manfaat yang akan diperolehi daripada skim dan pelan berkenaan.