Jangan Terpedaya Dengan MLM Palsu

0
707

Noni sudah lama ingin untuk memiliki kenderaan sendiri. Sudah lebih 4 tahun dia berulang-alik ke tempat kerja dengan menggunakan pengangkutan awam. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa kurang 20 minit, ada kalanya akan menuntut dirinya menghabiskan masa sehingga sejam apabila menggunakan kenderaan awam. Itu pun kalau hari tidak hujan. Noni pernah menyuarakan hasrat hatinya kepada rakan karibnya Aishah. Aishah usahawan muda, baru berusia 25 tahun tapi sudah memiliki kereta mewah dan menerima gaji 5 angka! Aishah menawarkan diri untuk membantu, tapi katanya Noni perlu sama-sama turut serta melabur dalam bidang perniagaan yang diceburinya. “Jangan risau Noni, kau hanya perlu laburkan RM 34, 888. Bulan pertama, kau akan dapat keuntungan RM10, 000 dan pada setiap bulan berikutnya kamu akan dapat RM 750 hingga RM 800 bergantung pada kadar tukaran mata wang asing USD. Jumlah pulangan keseluruhan adalah sebanyak RM 80, 000. Di samping itu, kamu juga akan dapat beberapa produk-produk kesihatan secara percuma, yang setiap satunya bernilai RM599. Jika berjaya jual produk-produk ini, boleh dapat balik wang pelaburan tadi.” pujuk Aishah.

Noni hanya diam, dia bertekad untuk menyahut cabaran Aishah, lantas membuat pinjaman peribadi dengan bank terkenal di Kuala Lumpur. Sejurus selepas pinjamannya diluluskan, Noni menghubungi Aishah dan mula mengisi borang untuk menjadi pelabur. Noni gembira kerana sejak 4 bulan yang lepas, pelaburan yang dibuat telah mendatangkan pendapatan sampingan untuknya. Namun malang tidak berbau, kegembiraannya tidak lama kerana pada bulan ke 4, wang yang sepatutnya masuk ke dalam akaunnya, tidak lagi ada seperti kebiasaannya. Puas dia menghubungi Aishah, namun panggilannya tidak berjawab. Akhirnya, Noni mendapat tahu bahawa syarikat perniagaan itu telah lingkup. Pengasas syarikat itu juga sudah melarikan diri bersama-sama wang para pelabur.

Laporan polis sudah dibuat, namun tidak dapat mengubati hati Noni. Kereta yang diidamkan tidak mampu dimiliki, ditambah pula dengan beban pinjaman peribadi yang terpaksa dibayar setiap bulan. Kejadian ini benar-benar mengajar Noni agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Industri Jualan Langsung di Malaysia

Kisah Noni cuma lah antara coretan suka duka mereka yang terlibat dalam industri jualan langsung di Malaysia. Hakikatnya, industri jualan langsung atau lebih dikenali sebagai Multi-Level Marketing (MLM) di Malaysia sebenarnya adalah antara yang sedang meningkat naik pada ketika ini. Perniagaan MLM mula bertapak di Malaysia seawal tahun 1970. Pada tahun 1980-an, syarikat-syarikat asing MLM ini kemudiannya telah melebarkan sayap mereka ke negara Indonesia pula. Dalam masa yang sama, MLM juga sudah berkembang pesat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Taiwan. Banyak perubahan positif yang berlaku ketika perniagaan MLM sedang bergiat cergas. Namun di sebalik segala petanda positif, terselit juga elemen-elemen negatif. Ramai dalam kalangan kita yang telah menyalahgunakan perjalanan bisnes ini dengan melakukan penipuan pelaburan kepada orang ramai.

Di Malaysia contohnya telah berlaku kes-kes penyelewengan apabila ejen-ejen MLM ini telah berjaya meyakinkan orang ramai bahawa dengan menceburi bisnes MLM ini akan dapat menguntungkan mereka di samping mendapat pulangan yang sungguh lumayan. Ada syarikat MLM ini yang bertopengkan penjualan produk seperti menjual produk-produk kesihatan atau produk kecantikan. Testimoni daripada pengguna akan digunakan untuk membuktikan keberkesanan produk yang dijual. Sekiranya pelanggan ini bersetuju, maka mereka akan mengeluarkan wang untuk tujuan pelaburan. Malangnya, modal pelaburan yang diberi itu kemudiannya akan dibawa lari tanpa dapat dikesan. Perkara seperti ini telah banyak berlaku dan disiarkan melalui akhbar–akhbar tempatan dan juga saluran media. Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak serik untuk melabur dalam skim MLM ini.

Fenomena penipuan yang sering kali berlaku dalam skim MLM ini membuatkan orang awam berfikiran bahawa bisnes MLM ini tidak boleh dipercayai. Sudah menjadi kelaziman persepsi negatif akan lebih mudah tersebar kalau nak dibandingkan dengan persepsi positif. Namun begitu, di Malaysia sendiri ada di antara perniagaan MLM ini yang masih dapat bertahan dan mendapat tempat dalam pasaran Malaysia tidak kira sama ada ketika ekonomi sedang pesat membangun mahupun dalam keadaan gawat.

Menurut laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada keadaan negara mengalami krisis kewangan pada 1998, jumlah perolehan jualan tahunan industri telah meningkat sebanyak RM 0.6 billion melalui pertambahan sebanyak 19% berbanding tahun 1997. Pada Oktober 2011 pula, telah dijangkakan industri jualan langsung dalam negara mampu menjana nilai jualan tahunan sebanyak RM 10 billion menjelang tahun 2017. Sasaran ini telah membuktikan keupayaan syarikat-syarikat MLM tempatan pada masa hadapan setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

Tidak ketinggalan juga di negara Indonesia, pada permulaan ketika bisnes ini cuba diperkenalkan, ia menerima tentangan daripada pelbagai pihak. Kes-kes penipuan yang dilaporkan berleluasa, memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap bisnes MLM. Mereka juga dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda melalui program-program yang dikatakan sama seperti MLM. Walhal, program itu hanyalah bayangan yang memang tidak pernah wujud. Pihak yang terbabit berbuat demikian hanyalah untuk mengelirukan orang awam dan seterusnya menipu wang mereka. Tahun demi tahun, persepsi negatif terhadap bisnes MLM ini mula terhapus. Perubahan jelas terlihat apabila permintaan terhadap industri jualan langsung ini mengalami peningkatan sedikit demi sedikit. Dianggarkan sekitar 5.5 juta penduduk Indonesia kini sedang bergiat aktif dalam bidang perniagaan ini dan sebanyak 250 jenis produk yang telah menggunakan sistem pemasaran jaringan ini seiring dengan pertumbuhan industri jualan langsung (MLM) yang sedang berkembang pesat.

Justeru, sebelum kita melibatkan diri dalam bisnes seperti MLM kita haruslah mengenal pasti dan yakin bahawa bisnes itu bukan berbentuk penipuan! Bagi seseorang yang tidak mempunyai kekuatan diri dan mahukan keuntungan dengan mudah, maka ia akan senang untuk dipengaruhi dan ditipu oleh sindiket MLM yang palsu. Untuk memastikan kita tidak mudah ditipu oleh orang yang tidak bertanggungjawab maka kita disarankan untuk mengikut tips-tips seperti yang diterangkan di sini.

Tips-tips Mengenal Pasti Kesahihan Perniagaan MLM

  1. MAKLUMAT SYARIKAT DAN LESEN PERNIAGAAN

Anda hendaklah bertanyakan kepada mereka sama ada mereka mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan ini atau tidak. Ini kerana jika hanya bergantung kepada maklumat syarikat ia mungkin tidak cukup untuk membuatkan anda percaya. Bagi sesetengah pihak yang mahir, mereka boleh memalsukan maklumat syarikat juga lesen perniagaan. Maka jangan terus percaya dengan hanya maklumat syarikat juga lesen yang belum tentu kesahihannya.

  1. SEMAK

Jika mereka mempunyai maklumat syarikat dan lesen perniagaan anda harus mengambil langkah yang kedua iaitu menyemak butiran itu sama ada ia benar atau tidak. Andaikan anda tidak tahu untuk mengenal pasti, sebaiknya anda menghubungi pihak yang lebih arif seperti menyemak di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti berkaitan dengan lesen perniagaan syarikat berkenaan.

  1. FAHAMI PERJALANAN BISNES

Untuk menceburkan diri anda dalam perniagaan seperti ini. Anda perlu tahu keseluruhan dan selok-belok proses yang berjalan daripada awal penglibatan sehingga kepada proses penerimaan imbuhan. Jika bisnes itu tadi menawarkan penjualan produk, maka anda mesti tahu tentang produk yang akan anda jual. Anda juga perlu tahu perincian produk tersebut. Kita boleh nilai kesahihan produk dengan menilai harga yang diletakkan bagi setiap barangan. Contohnya, adalah agak mustahil jika produk kopi yang dijual diletakkan harga ratusan ringgit atau anda dikehendaki untuk membayar ribuan ringgit hanya untuk sepasang pakaian yang kononnya mampu untuk melangsingkan badan.

Ada juga syarikat MLM yang merekrut anda semata-mata kerana hendak mengejar down line. Jika mereka hanya bercerita tentang down line dan mengetepikan soal produk yang hendak dijual, maka LUPAKAN! Barangkali mereka hanya mahukan anda untuk menjadi down line mereka. Ia memang benar, bisnes ini betul tapi perjalanan bisnes ini menjadi tidak betul disebabkan orang-orang yang mahukan keuntungan semata-mata.

  1. SYARIAH

Sebagai seorang Muslim ada banyak perkara yang perlu kita ambil tahu dan berwaspada, terutamanya jika ia berkaitan dengan hasil wang yang kita peroleh. Maka persoalan yang perlu kita tahu ialah adakah perniagaan MLM tersebut mempunyai panel penasihat syariah? Jika jawapannya ya anda perlu mendapatkan nombor telefon dan butiran yang perlu untuk membuat pengesahan.

  1. RISIKO

Jangan percaya pada mereka yang menyatakan MLM itu tiada risiko dan ditambah lagi dengan janji-janji kosong. Logik kah jika sesuatu perniagaan itu tiada risiko? Walaupun anda menceburkan diri dalam bidang pertukaran mata wang ataupun pelaburan, ia juga mempunyai risiko yang tersendiri. Begitu juga dengan MLM, ia mempunyai risiko yang mungkin kita boleh klasifikasi kan dan anggap sebagai cabaran. Antaranya adalah untuk meyakinkan pelanggan bahawa ini bukan perniagaan berbentuk penipuan. Juga, cabaran dalam mengendalikan perniagaan yang selalunya dijalankan melalui online. ‘Kepercayaan’ adalah cabaran yang besar dalam perniagaan MLM ini.

  1. KEMASKINI PENYATA BANK

Setelah anda berkecimpung dalam perniagaan ini dan yakin dengan apa yang anda lakukan ini betul, jangan terus percaya 100% sehingga anda mendapat bahagian anda. Semak penyata bank, lihat sama ada anda dibayar pada kadar yang betul ataupun tidak. Ada sebahagian orang yang tidak dibayar dengan cara yang betul dan apa yang lebih malang apabila duitnya di dalam bank juga turut lesap. Situasi seperti inilah yang kita mahu elakkan.

Kesimpulan

Walau dalam apa-apa bidang yang anda ceburi, anda seharusnya menyelidik terlebih dahulu untuk mengelak daripada ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. MLM merupakan satu perniagaan yang sedang membangun di serata dunia dan ia terbukti apabila perniagaan MLM ini secara tidak langsung telah membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara sejak beberapa tahun yang lalu. Ramai usahawan yang bakat mereka berjaya digilap oleh syarikat-syarikat MLM ini. Pendapatan bulanan mereka sehingga 5 angka dan ada yang sudah bergelar jutawan pada waktu yang sangat singkat. Pada mereka yang berminat dengan perniagaan seperti ini, anda mestilah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan jangan meletakkan kepercayaan yang penuh pada sesuatu yang anda belum pasti.