Orang Melayu dan Skim Cepat Kaya

0
633

skim cepat kaya

Skim cepat kaya merupakan satu skim yang memerlukan pelabur melaburkan sejumlah wang mereka kepada syarikat yang berkenaan dengan janji bahawa wang yang dilaburkan akan dikembalikan semula dalam tempoh tertentu. Faedah atau keuntungan yang ditawarkan adalah berlipat kali ganda, ada yang sehingga 300% daripada modal pelaburan. Kebiasaannya syarikat pelaburan itu berpangkalan di sebuah negara asing, menyebabkan anda tidak mungkin dapat menyiasat dengan lebih terperinci tentang syarikat tadi. Sejak zaman dahulu lagi, masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan skim cepat kaya. Skim Pak Man Telo yang popular seawal tahun 1970-an boleh dianggap sebagai titik permulaan sejarah skim cepat kaya di Malaysia. Skim ini diusahakan oleh Osman Hamzah atau lebih dikenali sebagai Pak Man Telo. Dianggarkan lebih 50, 000 pelabur, kebanyakannya pelabur Melayu telah diperdayakan dan hilang wang pelaburan mereka dalam sekelip mata, sehingga ada yang nekad menculik anak Pak Man Telo dan menuntut wang tebusan demi mendapatkan semula wang pelaburan mereka. Persoalannya sekarang, mengapakah bangsa Melayu cepat terpengaruh dengan skim cepat kaya? Apakah punca orang Melayu senang untuk diperdayakan?

Kemewahan – memang benar jika dikatakan bahawa ejen skim cepat kaya ini kebiasaannya akan menunjuk-nunjuk kemewahan yang diperoleh daripada skim tersebut. Mereka akan menggunakan kereta mewah, memakai pakaian dan beg tangan berjenama apabila berjumpa dengan pelanggan mereka. Sifat iri hati dan cemburu terhadap kejayaan yang diperoleh oleh ejen skim cepat kaya ini tadi akan kemudiannya membinasakan diri anda sendiri. Bagi mereka yang mudah dikaburi dengan kemewahan yang ditunjukkan, tentunya tidak akan ragu-ragu untuk melabur tanpa menyelidik terlebih dahulu perihal syarikat dan urus niaga yang dijalankan. Ejen juga bijak untuk tidak menyatakan secara terperinci aktiviti perniagaan mereka kerana sememangnya tiada aktiviti lain selain pentingnya mencari ‘down line’!

[auth]

Skim cepat kaya ini juga akan mempergunakan sifat malas yang ada pada diri seseorang itu. Pelabur akan ditabur dengan janji-janji manis, iaitu keuntungan dalam masa yang singkat tanpa perlu bersusah payah dan mengeluarkan peluh dan tenaga. Ada juga dalam kalangan ejen skim cepat kaya ini yang akan bertindak lebih jauh lagi dengan menawarkan diri untuk membantu mendapatkan bantuan pinjaman daripada bank tempatan bagi mereka yang berminat.

Ejen-ejen skim cepat kaya ini juga bijak memainkan sentimen bangsa, dengan menyuarakan hasrat mereka untuk menolong bakal pelabur merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat dan membantu masyarakat Melayu yang ketinggalan dari aspek ekonomi. Ada juga yang berpendapat faktor takutkan kegagalan dan persaingan menyebabkan orang Melayu tidak berani untuk membuka bisnes mereka sendiri. Ada juga yang tidak ada modal yang mencukupi untuk berniaga lantas memilih untuk melabur dalam skim cepat kaya sebagai jalan yang lebih mudah untuk mengecap kemewahan hidup.

Skim cepat kaya ini telah terbukti hanya memberi keuntungan kepada beberapa individu tertinggi sahaja dalam sesebuah syarikat pelaburan itu. Di Malaysia sendiri, sesiapa yang didapati bersalah menjalankan Skim Cepat Kaya boleh didakwa di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989. Sabit kesalahan boleh dihukum hukuman penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya. Demi mengelakkan diri kita daripada terlibat dalam aktiviti skim cepat kaya adalah penting untuk kita mengenal pasti ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan cepat kaya.

[/auth]