Strategi Pemasaran Virgin

0
464

 

virgin-atlantic

Virgin atau Virgin Airlines merupakan satu kumpulan syarikat yang besar dan mempunyai rangkaian anak syarikat atau rakan niaga di seluruh dunia. Antara anak syarikat atau rakan niaga di bawah kumpulan Virgin adalah Virgin America, Virgin Atlantic dan termasuk juga Air Asia X.

Syarikat-syarikat di bawah kumpulan Virgin terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan. Perniagaan teras adalah yang melibatkan penerbangan, dan yang lain-lain adalah termasuk agensi pelancongan, kedai buku, pusat membeli belah mega dan juga industri permotoran.

Virgin diasaskan oleh Richard Branson yang dilahirkan pada tahun 1950 . Beliau merupakan rakyat warganegara British. Kreativiti beliau bermula dengan melahirkan majalah Student seawal usia 16 tahun. Pada tahun 1972, Richard telah menubuhkan Virgin Records yang merupakan rangkaian kedai menjual kaset dan lain-lain produk hiburan.

Sir Richard Branson dan pakar-pakar di kumpulan syarikat Virgin mempunyai strategi pemasaran yang tersendiri dan berjaya untuk mengembangkan perniagaan bukan sahaja dalam industri penerbangan dan yang bersangkutan dengannya tetapi juga dalam industri lain termasuk penerbitan buku dan dunia permotoran dan perlumbaan. Dalam indutri penerbitan buku, Sir Richard Branson yang pernh menyandang gelaran individu yang ke 5 terkaya di dunia tidak pula lokek untuk berkongsi sejarah hidup, pengalaman dan suka duka beliau membangunkan Virgin. Buku biografi beliau mencatat hasil jaulan yang membanggakan juga!

Dengan menggunakan slogan perniagaan yang seragam kepada seluruh syarikat dibawah naungan Virgin, pencapaian perniagaan oleh setiap syarikat amatlah membanggakan. Ia menjadi terkenal diseluruh dunia dan merupakan jenama pilihan oleh masyarakat setempat.

Ciri-ciri penjenamaan yang diaplikasi oleh Virgin adalah tentang keseronokan, harga yang berbaloi, kualiti, inovasi, berdaya saing dan khidmat pelanggan yang terbaik.

Keseronokan

Jika kita rujuk kepada sejarah bermulanya idea perniagaan oleh Richard Branson, kita akan sedar bahawa beliau yang pada awalnya menubuhkan Virgin Records merupakan seorang yang gemarkan hiburan dan terdorong untuk membuat aktiviti yang menyeronokkan. Seorang yang mempunyai sifat yang sedemikian dan bijak pula untuk menterjemahkan minat kepada perniagaan yang boleh menjana jutaan pendapatan.

Ciri keseronokan ini dapat kita lihat bahawa untuk penerbangan yang selesa dan menyeronokkan, Virgin menyediakan alat berteknologi canggih seperti permainan video, tayangan filem yang terbaru dan semasa untuk keseronokan dan kegunaan pelanggan semasa penerbangan mereka. Dengan adanya alat-alat tersebut, penerbangan yang lama pastinya tidak akan dirasakan oleh penumpang. Alat-alat teknologi yang canggih ini bukan sahaja untuk keseronokan semata-mata tetapi juga boleh digunakan untuk golongan yang mahu menyiapkan kerja semasa dalam penerbangan. Contohnya penumpang yang membeli tiket penerbangan di bahagian kelas perniagaan atau kelas pertama akan diberi komputer riba yang kecil untuk mereka gunakan.

Tarikan kepada sesuatu yang luar biasa

Apabila sesuatu yang ditawarkan memberi keseronokan kepada pelanggan, anda akan dapat bayangkan bagaimana pelanggan akan lebih teruja apabila syarikat Virgin menawarkan produk atau perkhidmatan yang tercanggih berbanding pesaing mereka. Branson merupakan seorang yang sukakan kelainan dan ingin menjadi perintis dalam segenap hal terutamanya aktiviti-aktiviti lasak seperti dunia perlumbaan dan permotoran.

Richard bijak mengaplikasi kemahiran syarikat permotoran dibawah naungan Virgin untuk menawarkan pula sesuatu produk yang akan memberikan pelanggan suatu pengalaman yang tidak dilupakan seperti menawarkan pakej percutian dengan aktiviti lasak, perlumbaan menaiki bola yang besar menuruni cerun bukit dan sebagainya. Beliau selalu memikirkan untuk memenuhi kehendak pelanggan tidak kira umur dan latar belakang. Bersesuaian dengan kuasa membeli sesorang pelanggan, Virgin atau salah satu anak syarikatnya pasti akan dapat menawarkan sesuatu yang luar biasa kepada pelanggan.

Terkini, Sir Richard Branson mencetus idea untuk pengalaman dan pakej percutian atau pengembaraan yang singkat ke angkasa lepas. Ramai telah membuat tempahan untuk menyertai pakej tersebut yang datangnya daripada golongan jutawan dari pelbagai latar belakang seperti artis antarabangsa dan jutawan-jutawan lain.

Harga yang berbaloi

Sir Richard Branson mempunyai kelebihan untuk menterjemahkan strategi pemasaran Virgin kepada sesuatu yang menjadi ikutan syarikat-syarikat lain dalam industri penerbangan. Untuk menarik pelanggan supaya membeli produk Virgin, mereka telah melancarkan cara pembelian tiket penerbangan secara atas talian. Dengan cara ini, kos yang dibelanjakan untuk membayar gaji pekerja yang menjual tiket secara konvensional dapat diturunkan. Jadi pada keseluruhannya, Virgin dapat menurunkan harga tiket penerbangan dan dapat mengalahkan pihak pesaing yang masih mengamalkan cara pembelian tiket secara kaedah konvensional. Apabila mereka mempelopori sesuatu kaedah yang merupakan strategi pemasaran yang bagus untuk syarikat, pertumbuhan kewangan Virgin lebih melonjak.

Strategi ini juga diaplikasi kepada seluruh anak syarikat di bawah naungan Virgin seperti agensi pelancongan dan juga kedai bukunya. Tambahan pula, harga yang ditawarkan kepada seorang pelanggan adalah lebih murah jika lebih dari satu produk dibeli daripada mana-mana syarikat dibawah naungan Virgin.

Pengalaman yang menyeluruh

Oleh kerana kumpulan syarikat Virgin mempunyai lebih kurang 400 buah syarikat yang bernaung di bawahnya, seorang pelanggan yang membeli produk pertama dengan Virgin sudah pasti akan juga membeli produk kedua dan seterusnya dengan salah satu syarikat yang bernaung di bawah Virgin. Ini adalah kerana syarikat-syarikat yang bernaung dibawah kumpualn Virgin menawarkan produk perniagaan yang menyokong satu produk keluaran syarikat yang lain. Contohnya agensi pelancongan menawarkan pakej percutian yang menarik dan dengan harga yang lebih murah berbanding jika individu membeli tiket penerbangan sahaja. Pakej insuran untuk perjalanan dan percutian juga ditawarkan dengan harga yang minima supaya pelanggan boleh memulakan perjalanan dan percutian mereka dengan lebih selesa dan tidak bimbang akan keselamatan serta kejadian kemalangan yang tidak diingini kerana segala kerugian yang bakal dialami akan dilindungi dengan adanya pakej insuran tersebut.

Virgin Records pula akan menawarkan harga tiket konsert sesuatu kumpulan pemuzik dengan harga yang lebih murah jika individu memilih untuk membeli rekod artis tersebut melalui kedai Virgin Records secara atas talian dan sebagainya. Oleh itu, strategi pemasaran yang berkesan untuk memberi pelanggan satu pengalaman yang menyeluruh apabila mereka mula menjadi pelanggan Virgin.

Amalan memberi kepada yang memerlukan

Pepatah ada menyebut bahawa tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima, yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul. Walaupun kaya raya dan dikenali seluruh dunia, Sir Richard Branson tidak bongkak dengan kemewahan yang beliau ada, jauh sekali untuk menjauhkan diri daripada masyarakat. Beliau percaya apabila seseorang mempunyai kemewahan yang berlebihan, individu tersebut patut berkongsi kemewahan tersebut dengan golongan yang memerlukan.

Akan tetapi falsafah memberi yang diamalkan oleh Richard dan kumpulan syarikat Virgin bukan pula tejurus kepada sekadar memberi wang kepada yang memerlukan. Virgin akan mengadakan sesuatu penganjuran besar-besaran atau menaja sesuatu konsert untuk tujuan amal. Ianya bertujuan untuk menarik ramai lagi golongan yang mampu untuk sama-sama membuat amal dan menyumbang. Dengan cara ini, seseorang boleh membuat amal sejurus menjadi pelanggan Virgin. Sejumlah kecil wang daripada harga tiket yang anda beli mungkin akan disalurkan oleh Virgin untuk menolong mana-mana badan kebajikan yang memerlukan.

Virgin sebagai satu jenama untuk penajaan tersohor

Dunia perlumbaan dan permotoran, dunia hiburan dan dunia pelancongan adalah industri yang sinonim dengan nama Virgin. Kumpulan syarikat ini amat serius dengan strategi mereka untuk menjadi jenama yang tersohor di dunia. Lebih-lebih lagi sebagai jenama untuk dunia perniagaan.

Bagaimanakah Virgin melakukannya? Strategi yang agak mudah tetapi memerlukan modal yang besar. Sejumlah besar wang akan diperuntukkan untuk membuat penajaan sesuatu acara. Acara yang dipilih pula adalah selari dengan slogan syarikat yang mementingkan keseronokan.

Oleh sebab itu, Virgin merupakan salah satu penaja yang penting untuk perlumbaan Formula One. Syarikat sudah maklum bahawa hanya golongan yang berpendapatan agak tinggi sahaja akan mampu untuk berbelanja dan menyaksikan perlumbaan ini. Peluang ini digunakan oleh Virgin dengan sebaik mungkin. Hak yang diberikan sebagai penaja penting acara akan membolehkan Virgin mengumpul maklumat dan menghubungi peminat-peminat dunia perlumbaan ini untuk memasarkan produk-produk keluarannya yang lain seperti pakaian, alatan, pakej percutian semasa acara ataupun selepas perlumbaan.

Keunggulan Khidmat Pelanggan

Menitikberatkan pengalaman pelanggan semasa berurusan dengan mana-mana syarikat dibawah naungan Virgin, sejumlah wang yang besar dilaburkan untuk memantapkan lagi prestasi kumpulan kakitangan khidmat pelanggan samada mereka berurusan secara bersemuka dengan pelanggan ataupun hanya berurusan dengan pelanggan melalui telefon sahaja.

Pakaian seragam yang menggunakan warna teras merah dan putih serta gaya yang jelas dan tidak berserabut akan membuatkan pelanggan selesa apabila berurusan dengan kakitangan khidmat pelanggan. Kepada yang menguruskan pelanggan melalui telefon pula, mereka akan diberi tunjuk ajar dari segi menjawab soalan yang diajukan oleh pelanggan secara objektif. Senyuman akan diberikan walaupun pelanggan tidak dapat melihat mereka. Rata-rata pelanggan akan mengalami pengalaman yang agak selesa semasa berurusan dengan kekitangan khidmat pelanggan Virgin.

Mungkin terdapat beberapa kejadian yang tidak dapat dielakkan tetapi situasi ini adalah agak terpencil. Strategi pemsaran ini diamalkan di kesuluruhan syarikat yang bernaung di bawah kumpulan Virgin. Pada waktu yang bersesuaian, Virgin akan bekerjasama dengan syarikat khidmat pelanggan tempatan supaya pelanggannya mendapat kepuasan yang diingini.

Contoh kerjasama ynag dijalankan untuk sesi perlumbaan Formula One. Oleh kerana Virgin aktif dalam penajaan perlumbaan Formula One dan membawa jenama Virgin keseluruh bandar-bandar besar di dunia. Jika pihak Virgin tidak mempunyai strategi pemasaran yang bagus, kumpulan khidmat pelanggan yang sama akan dibawa menjelajahi dunia untuk memberi khidmat kepada pelanggan. Cara ini akan menelan belanja yang besar dan Virgin pasti akan mengalami kesukaran untuk memahami kehendak pelanggan yang pada kebiasaannya akan lebih selesa berurusan menggunakan bahasa harian. Cuba bayangkan berapa lama Virgin terpaksa menanggung kos untuk kakitangannya mahir berbahasa Arab atau bahasa-bahasa lain di dunia.

Oleh itu, kerjasama yang strategik dijalinkan untuk memberi suatu pencapaian menang menang untuk sesuatu urusan perniagaan dengan syarikat tempatan. Pihak syarikat tempatan tentunya berebut-rebut untuk menjalinkan hubungan perniagaan dengan Virgin. Ianya akan menjadi satu pemangkin untuk syarikat tempatan itu berjaya ke tahap yang seterusnya. Dalam erti kata yang lain, Virgin sekali lagi menjalankan tugas amal secara tidak langsung untuk menolong syarikat-syarikat tempatan menjadi syarikat yang lebih berdaya saing.