Alibaba, Budaya Niaga Orang Kita

0
350

Pada 1971, Perdana Menteri kita pada ketika itu Tun Abdul Razak Dato’ Hussein telah memperkenalkan satu program yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru Malaysia (DEB). Matlamat utama DEB digubal adalah untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Masalah ini dilihat sebagai kritikal dan akan menjejaskan perpaduan dan keamanan negara. Melalui DEB, kerajaan Malaysia telah menawarkan hak-hak istimewa kepada masyarakat Bumiputera antaranya termasuk kelayakan untuk mendapatkan lesen, tender dan juga pembidaan kontrak-kontrak kerajaan.

Kebanyakan projek atau tender kerajaan meletakkan status Bumiputera sebagai syarat kelayakan utama dalam permohonan. Secara tidak kita sedari, syarat ini akhirnya telah membudayakan istilah ‘Ali Baba’ – yang mana syarikat Bumiputera akan bekerjasama dengan syarikat bukan Bumiputera untuk mendapatkan lesen atau kontrak, semata-mata untuk memenuhi syarat kelayakan permohonan tender. Kerjasama ‘Ali Baba’ antara Ali (syarikat Bumiputera) dan Baba (bukan Bumiputera) ini boleh berlaku dalam 2 keadaan:

  • Ali dianugerahkan tender dan kemudiannya memindahkan tender tersebut kepada Baba. Ali akan menerima sejumlah wang daripada Baba sebagai pertukaran kepada tender yang diberi
  • Ali dianugerahkan tender yang kemudiannya di sub-kontrak kepada syarikat Baba. Ali tidak akan menjalankan projek itu sendiri tetapi mendapat bayaran keuntungan bersih. Kerja-kerja yang ditetapkan dalam tender akan dilakukan oleh Baba.

Terdapat beberapa sebab mengapa Ali bertindak melakukan perkara sebegini. Pertama, kerana Ali sendiri tidak berminat untuk melakukan kerja-kerja seperti yang disebut dalam tender. Minat Ali hanyalah untuk memenangi kontrak dan seterusnya mendapat wang ‘mudah’ dengan menjual tender tersebut kepada Baba. Kedua, ada yang mengaitkan perbuatan ‘Ali Baba’ semata-mata untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih tinggi. Pembelian bahan mentah dengan kadar yang lebih murah kesan daripada penguasaan bangsa lain dalam industri penjualan bekalan bahan mentah akan seterusnya menambah margin keuntungan sesuatu projek. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kebanyakan kontraktor Bumiputera terpaksa menjual tender mereka gara-gara hendak membayar pemiutang mereka.

Kaedah penyerahan kontrak secara ‘Ali Baba’, telah banyak memberi impak negatif kepada kontraktor Bumiputera yang lain:

  • Menafikan peluang kontraktor Bumiputera yang lebih layak, mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk mendapat kontrak berkenaan.
  • Sememangnya tidak dinafikan melalui kaedah ‘Ali Baba’, kontraktor Bumiputera akan cepat mengaut keuntungan, akan tetapi perbuatan mereka ini akan memberi kesan jangka masa panjang. Mereka tidak akan berpeluang untuk memperoleh pengalaman dan kepakaran yang diperlukan dalam melaksanakan sesuatu projek.
  • Banyak kerja-kerja telah gagal kerana projek diberikan kepada kontraktor yang tidak berkelayakan dan berpengalaman. Ada yang lambat disiapkan melebih tarikh yang sepatutnya dan ada juga projek yang seperti ‘melepaskan batuk di tepi tangga’ – siap tetapi tidak mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh penender.


Kesimpulannya, di mana-mana sahaja dalam dunia ini, konsep Ali Baba ini boleh berlaku. Contohnya di Amerika Syarikat, Baba nya adalah masyarakat Yahudi manakala di Timur Tengah, Singapura dan Australia, Baba nya adalah Amerika Syarikat. Walaupun amalan ini tidak bercanggah dengan undang-undang, namun salah daripada segi moral dan etika kerja. Amalan seperti ini juga dilihat antara salah satu faktor yang membawa kepada ketirisan perbelanjaan kerajaan dan penggunaan dana yang tidak efisien. Usahawan Bumiputera haruslah lebih bijak mengambil peluang yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk lebih berjaya dalam perniagaan masing-masing.