Bantuan Mentor, Perniagaan Menjadi Lebih Maju

0
548

Anda malas untuk memikirkan tentang perniagaan tetapi mahu berjaya? Anda baru belajar berniaga dan ingin terus berjaya? Anda berniaga sambil bekerja tetapi perniagaan anda tetap maju? Jawapannya adalah, carilah mentor dalam perniagaan!

Istilah mentor perniagaan atau business coach baru diperkenalkan dalam dunia perniagaan sejak akhir-akhir ini. Padahal sebenarnya ia sudah lama dipraktikkan secara tidak lansung dalam lingkungan perniagaan. Mentor perniagaan merupakan seorang pengamal perniagaan yang berpengalaman kemudian berkongsi ilmunya kepada pengusaha yang baru berkecimpung. Ia banyak dipraktikkan dalam masyarakat kita seperti ayah yang membimbing anaknya atau seorang bapa saudara membimbing anak buahnya.

Kenapa kita memerlukan mentor?

Dengan bimbingan seorang mentor, seorang usahawan muda dapat belajar dan mencontohi pengalaman seorang mentor yang sudah berjaya. Jadi usahawan muda dapat mengurangkan risiko melakukan kesilapan berbanding dengan melakukan cubaan sendiri. Dengan ini dia dapat menjimatkan waktu, wang dan tenaga yang terbuang apabila melakukan cuba dan gagal (trial and error).

Dalam dunia perniagaan moden, cara ini banyak dipraktikkan. Contohnya dalam bidang pemasaran internet atau multilevel marketing dan perniagaan franchise. Dalam bisnes MLM, kejayaan seseorang banyak ditentukan oleh kebolehannya mencontohi seniornya yang lebih dahulu berjaya. Begitu juga dalam perniagaan franchise. Anda hanya perlu mencontohi sistem perniagaan yang telah teruji berkesan sebelum ini.

Bagaimana caranya mencari mentor?

Belajar daripada orang terdekat dan orang atasan.

Masyarakat kita banyak mempraktikkan cara ini. Contohnya, seorang anak buah belajar daripada bapa saudaranya, atau seorang usahawan yang berjaya kemudian membimbing pekerjanya. Biasanya orang yang sudah berjaya lebih senang hati berkongsi pengetahuan. Orang yang sudah berjaya biasanya mempunyai sifat berkelimpahan (abundance). Dia suka bersedekah, memberi ilmu kepada orang lain dan sebagainya. Cara belajar ini paling berkesan kerana ia merupakan pembelajaran secara langsung. Terdapat banyak contoh kejayaan yang dicapai melalui cara ini.

Mempunyai mentor peribadi

Trend terbaru adalah mempunyai mentor peribadi yang bertindak sebagai guru peribadi yang akan mengajar selok-belok perniagaan yang tidak kita ketahui. Melalui pertemuan rutin, seorang mentor dapat membimbing muridnya selangkah demi selangkah dalam menjalankan perniagaan.

Melalui buku, DVC atau internet

Ini juga dapat dilakukan melalui buku-buku, buku audio atau laman web orang-orang yang telah berjaya, di mana terdapat banyak perkongsian pengalaman berharga. Contohnya, Jay Conrad Levinson (penulis buku Guerilla Marketing), Michael E. Gerber (penulis buku E-Myth), Anthony Robbins (penulis Awaken the Giant Within), Harvey Mackay, Brian Tracy, Zig Ziglar, dan lain-lain.

Melalui seminar atau kursus

Hampir setiap minggu terdapat seminar perniagaan dan peningkatan kendiri yang diadakan di Malaysia. Kita boleh mendapat pengajaran dari sesi begini. Seminar dan kursus oleh speaker terkenal seperti Dr Azizan, Jamaluddin, Azizi Ali, Irfan Khairi dll

Adakah mempunyai mentor menjamin kejayaan? Tidak sama sekali, jika nasihat mentor tersebut tidak dipraktikkan. Pada awal proses mentoring, saya banyak menganalisa dan membantah. Saya sering mengatakan bahawa idea mentor itu mustahil atau tidak masuk akal. Akhirnya setelah saya mulai akur, tidak terlalu banyak berfikir dan mempunyai sikap mahu mencuba, ia mula menampakkan hasil.

Kesimpulannya, adalah mudah untuk mencapai kejayaan di zaman ini kerana sumber-sumber ilmu terdapat di mana-mana. Buku, internet, majalah, radio, seminar dan kursus mengenai perniagaan senang diperolehi. Kita cuma perlu memilih. Tidak seperti dahulu, ketika saya masih belajar, amat sukar untuk mencari sumber-sumber pengetahuan perniagaan yang praktikal seperti sekarang.